Edar dadah, pekerja pembersihan di kelab masyarakat Bedok dipenjara 10 tahun, 12 sebatan
Gambar: CNA/Jeremy Long
SINGAPURA: Seorang pekerja pembersihan di kelab masyarakat Heartbeat@Bedok,mendapat tahu tentang "peluang" untuk mengedar dadah daripada penyelianya.
Pasangan itu kemudian mula menyimpan pelbagai jenis dadah di dalam bilik stor pekerja pembersihan, memandangkan ia tempat selamat bagi mereka.
Kegiatan jenayah mereka itu terbongkar apabila pihak berkuasa memberkas seorang lelaki, yang sedang mengatur untuk menyerahkan heroin dan methamphetamine kepada pasangan itu.
Pegawai dari Biro Narkotik Pusat (CNB) menggantikan dadah tersebut dengan dadah olok-olok sebelum mengaturkan bagi kedua-dua lelaki tersebut mengambilnya. Pekerja pembersihan dan penyelianya itu ditahan sebaik mereka datang untuk mengambil bahan haram tersebut.
Pekerja pembersihan tersebut, Devendran Shanugam, rakyat Malaysia berusia 25 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan pada Isnin (20 Nov).
Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki dadah dengan niat bersama bagi tujuan mengedar.
Mahkamah diberitahu bahawa Devendran mengenali rakan subahatnya, Tiben Raj Anbalagan, juga rakyat Malaysia berusia 29 tahun, ketika mereka bekerja bersama di sebuah syarikat pembersihan.
Devendran ditugaskan bekerja di bawah penyeliaan Tiben Raj di Heartbeat@Bedok pada Ogos 2021 dan mereka menjadi rapat.
Tiben Raj berhutang sejumlah wang dnegan orang yang tidak dikenali yang dipanggilnya "Boss", dan bagi mendapatkan wang tunai untuk membayar balik Boss, Tiben Ray bersetuju untuk mengedar dadah untuknya, iaitu dadah jenis diamorphine, ganja dan methamphetamine.
Apabila Devendran dapat tahu tentang hal tersebut, dia memberitahu Tiben Raj bahawa dia pernah melakukan kegiatan menghantar dadah dan menawarkan untuk membuat penghantara dengan syarat dia dibayar.
Di bawah aturan tersebut, Tiben Raj akan berhubung dengan Boss untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi dan masa untuk mengambil dadah, dan Devendran akan mengambil sendiri dadah tersebut.
Secara keseluruhan, Devendran mengambil dan menghantar dadah termasuk diamorphine, meth dan ganja, atau campuran dadah tersebut, sebanyak 16 kali antara Januari dan Mei 2022.
Dia dibayar S$500 hingga S$2,000 bagi setiap penghantaran.
Pada malam 18 Mei 2022, pihak berkuasa memberkas seorang lelaki Malaysia berusia 29 tahun Muhammad Amsyar Solihin Adnan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Empat beg ditemui di dalam keretanya mengandungi 38 bungkusan heroin seberat kira-kira 17.4 kilogram dan dua paket meth seberat kira-kira 250 gram.
Amsyar sepatutnya menghubungi seseorang yang tidak dikenali bernama "Marku Kari" selepas memasuki Singapura, untuk mendapatkan lokasi bagi penghantaran dadah tersebut.
Pegawai CNB menggantikan dadah tersebut dengan sekitar 16.2 kilogram dadah olok-olok dalam beberapa beg.
Aturan dibuat dengan Marku Kari untuk mengambil dadah itu, dan beg tersebut diletakkan bersebelahan sebuah tong sampah besar dan pokok pasu di Blok 217, Bedok North Street 1.
Sementara itu, Tiben Raj dimaklumkan oleh Boss bahawa keriman dadah tersebut akan tiba ke Singapura selewat-lewatnya pada tengah malam.
Boss memberitahu Tiben Raj untuk mengambil dadah tersebut di alamat di Bedok, dan Tiben Raj pun menunggu berhampiran lokasi itu bersama Devendran.
Pada kira-kira 1.30 pagi pada 19 Mei 2022, Devendran pun mengambil dadah olok-olok itu lalu berjalan ke arah Tiben Raj.
Dia diberkas CNB. Tiben Raj yang cuba melarikan diri dengan menaiki motosikalnya, juga diberkas kemudian.
Kes Amsyar dan Tiben Raj masih menantikan dibicarakan di mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.