Skip to main content

Singapura

ECDA lancar khidmat rintis jagaan bayi, kanak-kanak di rumah mulai 1 Dis 2024

Para pengasuh akan mula menawarkan khidmat jagaan bayi dan kanak-kanak di rumah mereka di bawah program perintis baharu oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Nov 2024 12:21PM Dikemas Kini : 22 Nov 2024 12:04AM
SINGAPURA: Para pengasuh akan mula menawarkan khidmat jagaan bayi dan kanak-kanak di rumah mereka di bawah program perintis baharu oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).

Bakal dilancarkan pada 1 Dis, program perintis itu akan dijalankan selama tiga tahun, menurut agensi tersebut dalam kenyataan medianya pada Khamis (21 Nov).

Khidmat itu akan dibuka kepada bayi dan kanak-kanak yang berusia antara dua bulan hingga 18 bulan dan mestilah rakyat Singapura.

Tiga pengendali - EduNanny by Butler, Kidibliss dan NannyPro Care - dilantik untuk menyediakan khidmat perintis tersebut, dedah ECDA. Mereka akan mendapatkan khidmat pengasuh kanak-kanak untuk menjaga bayi dan kanak-kanak.

Ibu bapa yang berminat boleh menghubungi pengendali-pengendali itu secara langsung untuk mendaftar bagi program tersebut.

Program perintis itu akhirnya akan meliputi para pengasuh kanak-kanak yang menawarkan jagaan bayi dan kanak-kanak di ruang-ruang masyarakat seperti balai rakyat dan kelab masyarakat.

Sungguhpun demikian, ia tidak termasuk khidmat di rumah ibu bapa. Ini kerana pengasuh kanak-kanak berkemungkinan hanya menjaga seorang kanak-kanak pada satu-satu masa di bawah aturan sedemikian, kata ECDA.

"Ini mengehadkan bilangan bayi dan kanak-kanak kecil yang boleh mendapat manfaat daripada aturan penjagaan sedemikian," katanya lagi.

Di bawah program perintis itu, para pengasuh kanak-kanak boleh menjaga sehingga tiga bayi dan kanak-kanak pada satu-satu masa.

Awal tahun ini, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan bahawa program perintis itu akan menampung 500 kanak-kanak pada tahun pertama, dengan jumlah tersebut akan dinaikkan kepada 700 selepas itu.

PILIHAN BERPATUTAN UNTUK IBU BAPA

Menurut ECDA, ia adalah sebahagian daripada usaha pemerintah untuk menawarkan ibu bapa jaminan yang lebih besar semasa peringkat pertama kehidupan anak mereka.

"Program perintis itu bertujuan untuk mengembangkan khidmat jagaan kanak-kanak menjadi pilihan jagaan bayi dan kanak-kanak yang dimampui, selamat dan diyakini untuk ibu bapa," kata agensi itu.

Khidmatnya semasa waktu bekerja biasa akan diberikan subsidi oleh pemerintah.

Subsidi-subsidi itu akan disediakan untuk khidmat jagaan yang disediakan dalam tempoh lima jam atau 10 jam antara pukul 7.00 pagi dan 7.00 malam dari Isnin hingga Jumaat, tidak termasuk cuti umum.

"Bergantung kepada keperluan pengasuhan masing-masing, ibu bapa mempunyai kelonggaran untuk memilih bilangan hari dalam seminggu yang mereka memerlukan khidmat mengasuh bayi, dan tempoh jagaan untuk setiap hari," kata ECDA.

Ibu bapa yang hanya memerlukan khidmat jagaan bagi hari-hari tertentu dalam seminggu hanya perlu membayar untuk tempoh khidmat yang digunakan, tambah ECDA.

Tempoh lima jam dan 10 jam itu masing-masing berharga S$16.50 dan S$33 tidak termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut ECDA, penggunaan khidmat sepenuh masa - di mana ibu bapa melanggani tempoh khidmat 10 jam selama lima hari dalam seminggu selama empat minggu - akan menelan belanja S$719.40 sebulan, termasuk GST.

Ini lebih rendah daripada kos biasa khidmat menjaga kanak-kanak sekarang ini, kata agensi itu.

MSF sebelum ini melaporkan bahawa ibu bapa yang memilih khidmat privet bagi menjaga anak mereka – biasanya oleh pengasuh di rumah – membayar antara S$1,200 hingga S$2,800 sebulan.

Subsidi hanya diberikan sehingga 10 jam sehari pada hari bekerja untuk memastikan pengasuh kanak-kanak dapat mengimbangi kerja, komitmen peribadi dan keperluan mereka, kata ECDA.

"Jika ibu bapa memerlukan lebih daripada 10 jam atau jika mereka memerlukan khidmat menjaga anak di luar pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam pada hari bekerja, mereka boleh membuat aturan berasingan dengan pengendali secara langsung berdasarkan kadar biasa mereka, di luar program perintis itu," tambah ECDA.

Ibu bapa juga boleh menggunakan dana Akaun Pembangunan Anak (CDA) untuk menampung perbelanjaan mereka bagi perkhidmatan menjaga kanak-kanak, katanya lagi.

MEMASTIKAN KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN BAYI & KANAK-KANAK

Para pengendali yang dilantik dan pengasuh kanak-kanak mereka perlu mematuhi syarat-syarat perkhidmatan dan piawai industri tertentu.

"ECDA mengutamakan keselamatan bayi dan kanak-kanak melalui syarat-syarat dan peraturan-peraturan perkhidmatan dan bekerjasama dengan pihak pengendali untuk membangunkan piawai perkhidmatan industri yang diharapkan daripada semua pengendali dan pengasuh kanak-kanak," kata agensi itu.

Sesetengah syarat dan piawai termasuk menyerahkan butiran bakal pengasuh kanak-kanak kepada ECDA untuk pemeriksaan latar belakang serta memastikan pengasuh kanak-kanak telah menerima latihan yang diwajibkan dan ditauliahkan sebagai sihat dari segi perubatan untuk menangani bayi dan kanak-kanak.

Pengendali yang didapati melanggar piawai dan peraturan akan dikenakan hukuman dan boleh digugurkan daripada program perintis itu.

Pengasuh kanak-kanak yang didapati tidak sesuai untuk penjagaan bayi dan kanak-kanak juga boleh digugurkan daripada program tersebut dan dilarang bekerja dalam sektor pembangunan awal kanak-kanak.

Di bawah program perintis itu, perkhidmatan menjaga kanak-kanak juga akhirnya akan disediakan di ruang-ruang masyarakat.

"Penyediaan khidmat menjaga kanak-kanak di ruang-ruang masyarakat adalah model baharu yang sedang diuji oleh ECDA, untuk meningkatkan akses ibu bapa kepada perkhidmatan di lokasi yang dianggap selesa," kata agensi itu.

Setakat ini, Balai Rakyat Tampines East dan Balai Rakyat Nee Soon East telah dikenal pasti untuk program perintis itu.

Ibu bapa boleh menjangkakan untuk mendaftar anak mereka bagi khidmat menjaga bayi dan kanak-kanak di ruang-ruang masyarakat pada separuh pertama 2025.

ECDA juga akan bekerjasama dengan para pengendali untuk mendapatkan lebih banyak ruang di lokasi-lokasi di mana terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk khidmat sedemikian kata agensi itu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita