Skip to main content

Singapura

ECDA batalkan saranan tutup prasekolah pada Isnin selepas cuti umum hari Sabtu susuli bantahan ibu bapa

Anggaran Waktu Membaca:
ECDA batalkan saranan tutup prasekolah pada Isnin selepas cuti umum hari Sabtu susuli bantahan ibu bapa

Guru prasekolah bersama kanak-kanak. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 04 Apr 2025 06:27PM Dikemas Kini : 04 Apr 2025 06:28PM
SINGAPURA: Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) membatalkan saranan untuk mewajibkan prasekolah ditutup pada hari Isnin jika Sabtu sebelum itu adalah cuti umum. Ini menyusuli bantahan daripada para ibu bapa.

Tinjauan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas telah dilancarkan pada 1 Apr dan ECDA menerima lebih 30,000 respons.

"Walaupun hampir semua prasekolah menyokong, kira-kira dua pertiga ibu bapa tidak menyokong saranan itu disebabkan oleh kesannya ke atas aturan penjagaan keluarga mereka," kata agensi itu dalam notis pada Jumaat (4 Apr), yang memaklumkan ibu bapa tentang keputusan untuk tidak meneruskan rancangan itu.

Notis itu, yang dilihat oleh Mediacorp, dihantar kepada ibu bapa kanak-kanak yang menghadiri beberapa prasekolah pengendali utama dan rakan kongsi.

"Dengan maklum balas yang diterima, ECDA tidak akan meneruskan saranan ini dan sebaliknya akan memberi tumpuan kepada usaha lain untuk meningkatkan kesejahteraan dan keadaan kerja para pendidik kanak-kanak."

Dalam tinjauan itu, ECDA bertanya kepada ibu bapa bagaimana mereka akan terjejas oleh penutupan prasekolah yang disarankan, sama ada mereka mempunyai pilihan penjagaan alternatif dan jika mereka menyokong rancangan itu.

Agensi itu turut mendedahkan bahawa keputusan itu diambil selepas permintaan daripada pendidik dan pengendali untuk menimbangkan saranan menutup prasekolah pada hari Isnin selepas cuti umum pada Sabtu, selaras dengan amalan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk sekolah dan tadika aliran utama.

"Ini terutamanya berpunca daripada cabaran yang dihadapi oleh para pendidik untuk mengambil cuti ganti (off-in-lieu) disebabkan oleh kekangan tenaga kerja," kata ECDA semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

Menjajarkan penutupan prasekolah dengan sekolah aliran utama akan membantu guru dengan kanak-kanak bersekolah mengurus tanggungjawab keluarga mereka dengan lebih baik dan meningkatkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan mereka, kata agensi itu dalam satu kenyataan.

IBU BAPA TUKIL GANGGUAN PADA ATURAN PENJAGAAN

Ibu bapa yang bercakap dengan Mediacorp menyuarakan kebimbangan tentang bagaimana penutupan prasekolah pada hari Isnin akan menjejaskan keupayaan mereka untuk menguruskan penjagaan anak, terutamanya apabila pilihan penjagaan alternatif adalah terhad.

Cik Rachel Lee, seorang akauntan sepenuh masa, berkata dia mungkin kurang terjejas kerana dia mempunyai pembantu rumah, tetapi dia bersimpati dengan ibu bapa lain dalam situasi penjagaan yang lebih tidak menentu.

Anak lelakinya yang berusia 22 bulan menyertai kumpulan bermain di prasekolah setiap hari. Cik Lee membawanya ke sana dua hingga tiga hari seminggu, dan jika dia tidak dapat berbuat demikian, pembantu rumah akan membawanya ke prasekolah.

"Sekiranya kami tidak mempunyai sokongan keluarga, kami tidak mempunyai pembantu ... keadaan boleh menjadi sangat sukar untuk kami, kerana kami masih perlu bekerja," kata Cik Lee.

Di prasekolah, kanak-kanak kerap jatuh sakit dan untuk jangka masa yang lama, kata Cik Lee yang berusia 35 tahun. Kebanyakan ibu bapa yang bekerja sudah menggunakan cuti penjagaan anak apabila anak-anak tidak bersekolah kerana sakit dan akan menghadapi gangguan tambahan jika prasekolah ditutup pada hari Isnin, tambahnya.

Encik Tan Jian Rong, yang mempunyai tiga orang anak berusia tiga, tujuh dan 13 tahun, menyuarakan kebimbangan yang sama.

Anak perempuan bongsunya kini dalam 'Nursery 1', manakala anak-anaknya yang lebih tua sebelum ini didaftarkan dalam khidmat jagaan kanak-kanak kecil dan kumpulan bermain.

Kebanyakan ibu bapa lebih suka menyimpan hari cuti mereka untuk perkara yang lebih penting, tambah lelaki berusia 39 tahun itu.

“Bagi pekerja, ibu bapa yang telah merancang mesyuarat yang tidak boleh diubah pada hari Isnin, dan sekiranya pekerjaan mereka tidak mempunyai orang lain yang dapat menggantikan mereka … disebabkan oleh sifat pekerjaan itu, maka ia akan sangat memberi kesan,” kata Encik Tan.

Tidak semua ibu bapa menentang idea itu. Cik Felicia Ang, yang mempunyai dua anak dalam khidmat jagaan bayi dan kanak-kanak kecil, berkata dia menyokong saranan itu.

Kedua-dua Cik Ang dan suaminya bekerja sepenuh masa, dan keluarga mereka tidak mempunyai pembantu rumah. Tetapi memandangkan pasangan itu boleh bergantung kepada keluarga besar mereka untuk mendapatkan sokongan, mereka akan dapat menangani penutupan prasekolah.

Sekiranya ECDA telah melaksanakannya, dia atau suaminya akan membuat aturan penjagaan dengan ibu bapa mereka - sama seperti apabila anak-anak mereka jatuh sakit.

"Apa salahnya jika mereka (guru) berehat juga, kerana mereka bekerja berjam-jam dan ia bukan kerja yang mudah," kata Cik Ang.

Ramai guru prasekolah meninggalkan industri tersebut kerana pekerjaan itu terlalu membebankan mereka dan keluarga mereka, tambahnya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita