ECDA bakal selia khidmat intervensi awal, prasekolah jelang lewat 2020
ECDA akan menyelia khidmat Intervensi Awal bagi kanak-kanak prasekolah sepenuhnya menjelang hujung tahun 2020. Untuk itu, urusan intervensi awal yang sebelum ini dikendalikan Pejabat Ketidakupayaan MSF akan dipindahkan secara bertahap-tahap kepada ECDA bermula Julai 2019.
SINGAPURA: Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) akan menyelia khidmat Intervensi Awal (EI) bagi kanak-kanak prasekolah sepenuhnya menjelang hujung tahun 2020. Untuk itu, urusan intervensi awal yang sebelum ini dikendalikan Pejabat Ketidakupayaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), akan dipindahkan secara bertahap-tahap kepada ECDA bermula Julai 2019.
Demikian diumumkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee semasa mengunjungi pusat prasekolah My First Skool di Punggol hari ini (10 Apr).
Dengan ECDA menyelia semua khidmat intervensi awal dan prasekolah sekaligus, khidmat sokongan dan pembangunan awal kanak-kanak dijangka dapat diselaraskan dengan lebih baik.
Ia juga membolehkan agensi itu mengambil pendekatan lebih terselaras dalam perihal tenaga kerja dan pembangunan keupayaan guru-guru prasekolah serta pakar-pakar intervensi awal, untuk membina persekitaran pembelajaran lebih inklusif.
"Akan ada peluang untuk melihat semula dan teliti bagaimana kita boleh memperkukuh latihan agar guru-guru pendidikan dan intervensi awal boleh melihat persamaan dari segi latihan dan keupayaan mereka bagi menyokong lebih baik kanak-kanak prasekolah, termasuk mereka yang memerlukan intervensi awal," jelas Encik Lee.
KUMPULAN KERJA PRASEKOLAH INKLUSIF
Dalam pada itu, sebuah kumpulan kerja akan ditubuhkan bagi mengkaji dan membangunkan saranan-saranan untuk menyokong kanak-kanak prasekolah dengan keperluan pembangunan tahap berbeza-beza.
(Gambar fail: MCI)
Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Faishal Ibrahim akan mempengerusikan bersama kumpulan kerja itu dengan Dekan Bersekutu Institut Pendidikan Nasional Kenneth Poon.
Kumpulan kerja tersebut akan mengkaji program-program prasekolah yang dilakarkan khas bagi kanak-kanak dengan keperluan pembangunan tahap sederhana hingga teruk, agar dapat menghuraikan pendekatan-pendekatan sesuai yang boleh diperluaskan kepada pusat-pusat prasekolah lain.
"Inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Induk Pemerkasaan Ketiga menegaskan tentang iltizam kami dalam membina negara yang prihatin dan inklusif. Kami akan terus menjalinkan kerjasama dan membangunkan huraian bersama-sama dengan sektor prasekolah dan khidmat sosial agar kanak-kanak dengan keperluan pembangunan mendapat permulaan baik dalam kehidupan mereka," kata Dr Faishal.
INISIATIF BANTU JADIKAN PEMBELAJARAN LEBIH INKLUSIF
MSF sejauh ini sudah memperluaskan khidmat-khidmat intervensi awal yang membolehkan para pelajar dengan keperluan pembangunan mendapat akses kepada pendidikan prasekolah dan khidmat-khidmat penjagaan dalam persekitaran yang sama dengan kanak-kanak lain.
Antara inisiatif yang dijalankan termasuk Program Sokongan Pembelajaran (LS) dan Sokongan Pembangunan (DS) di mana pakar-pakar terlibat dalam proses pembelajaran kanak-kanak dengan keperluan pembangunan, dalam bilik darjah.
Misalnya, ahli terapi pertuturan akan ditempatkan dalam kelas seorang kanak-kanak yang memerlukan khidmatnya. Ternyata, ia bukan sekadar membantu pelajar dengan keperluan pembangunan, tetapi juga guru-guru prasekolah.
"Apabila kita jalankan terapi dalam kelas kita dapat lebih melibatkan guru-guru dalam proses terapi. Contohnya, kadang-kala kita mengajar mereka strategi-strategi tertentu atau cara interaksi sesuai yang dapat membantu kanak-kanak lebih bersuara," kata Cik Shamiah Abdul Razak, seorang ahli terapi pertuturan NTUC First Campus (NFC).
Program Sokongan Pembangunan-Plus (DS-Plus) - di mana guru-guru Program Intervensi Awal bagi Kanak-Kanak dan Bayi (EIPIC), selain ahli terapi dan pendidik sokongan pembelajaran turut dihantar ke pusat prasekolah - akan mula dibentangkan secara bertahap-tahap dari 1 Julai tahun ini.
DAHULU ANAK MERAGAM ULANG-ALIK PUSAT PRASEKOLAH, PUSAT EIPIC
Semasa ditemui BERITAmediacorp, seorang ibu berkongsi bagaimana inisiatif MSF sangat membantu dirinya serta anak beliau.
Anak Cik Lita Ang didapati mengalami Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) semasa berusia tiga tahun. Sejak itu, anak beliau, Lucas Isaac Tiornardi, perlu ke pusat EIPIC dan pusat prasekolahnya setiap hari.
"Anak saya akan meragam. Mungkin kerana dia penat kerana perlu naik bas setiap hari," cerita Cik Ang.
Namun, dengan seorang ahli terapi ditempatkan di sekolahnya, Lucas tidak perlu lagi ulang-alik ke pusat prasekolah dan pusat EIPIC.
Malah, kehadiran ahli terapi di sekolah sangat membantunya untuk menyesuaikan diri dengan kanak-kanak lain. Lucas sebelum ini lebih suka menyendiri.
"Dengan adanya ahli terapi pertuturan ataupun pegawai intervensi awal dalam kelas, anak-anak ini tidak perlu ke sekolah lain selepas atau sebelum ke pusat tadika atau tajaka. Semuanya seperti ada di bawah satu bumbung," kata Pengetua Eksekutif NFC, Cik Rabeah Mohter.
"Pembelajaran dalam kelas pun menjadi inklusif kerana kanak-kanak ini dapat membangun bersama dengan kanak-kanak lain."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.