eBuku 'Demi Bahasa' abadikan sumbangan Pendeta Almarhum Cikgu Ariff Ahmad dilancarkan
Tahun ini menandakan genap satu abad sejak kelahiran Almarhum Cikgu Muhammad Ariff, yang diiktiraf sebagai pejuang bahasa dan budaya Melayu.
15 komentar dalam eBuku bertajuk 'Demi Bahasa' itu
menyelitkan nasihat dan nilai-nilai bahasa dan budaya yang dipegang teguh oleh Allahyarham Cikgu Ariff.
Esei tersebut sebelum ini telah diterbitkan dalam ruangan Komentar di BERITA Mediacorp.
'Demi Bahasa' dilancarkan secara rasmi tetamu terhormat Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman di The POD@National Library petang tadi (18 Okt).
SUMBANGAN TIDAK TERNILAI ALMARHUM CIKGU ARIFF
Dalam ucapannya, Encik Fahmi menggambarkan Cikgu Ariff sebagai tokoh yang bukan hanya dicintai oleh masyarakat, tetapi juga dihormati dalam bidang kesusasteraan, kebudayaan, dan pendidikan Melayu.
Beliau juga menarik perhatian kepada komitmen Allahyarham terhadap masyarakat dan bahasa Melayu, terutama melalui penubuhan Angkatan Sasterawan '50 (ASAS '50).

"Di bawah panji ASAS '50, Cikgu Ariff dan rakan seangkatannya memperjuangkan idea bahawa sastera bukan sahaja harus menjadi cerminan keindahan tetapi juga alat untuk perubahan sosial. Mereka percaya bahawa penulisan mempunyai tanggungjawab untuk menangani isu-isu sosial yang mempengaruhi masyarakat mereka," kata Encik Fahmi.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), turut menjulang usaha Allahyarham Cikgu Ariff dalam membentuk generasi penulis dan intelektual yang terus memainkan peranan penting dalam pembangunan budaya Singapura.
PERINGATAN KEPADA GENERASI MUDA TENTANG USAHA MELESTARIKAN BAHASA IBUNDA
Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Melayu Mediacorp, Encik Sujadi Siswo, menekankan bahawa pelancaran e-buku itu bukan hanya untuk memperingati warisan Cikgu Ariff, tetapi juga sebagai peringatan kepada generasi muda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk memartabatkan dan melestarikan bahasa ibunda.

Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran untuk menarik minat generasi muda dalam meneruskan legasi MAS.
"Cabarannya berbeza kalau kita bandingkan 30 atau 40 tahun lalu di mana penggunaan bahasa dan pelaksanaan adat resam itu masih subur dan masih banyak dilaksanakan dalam keluarga, mahupun dalam masyarakat. Jadi apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah mencari cara-cara baharu untuk menarik minat dan ini mungkin kita lanjutkan usaha ini di media sosial.
"Jadi apa yang kita lakukan ialah mencari idea-idea baharu daripada generasi penerus. Apa yang kita boleh laksanakan berbanding apa yang telah dilakukan 30 atau 40 tahun lalu," kata Encik Sujadi.
eBuku 'Demi Bahasa' setebal 72 muka surat itu boleh didapati secara percuma dan mudah di portal BERITA Mediacorp.
Ia boleh dimuat turun ke komputer atau peranti digital seperti telefon pintar, iPad, tablet, dan MacBook.
Antara kelebihan versi ePub itu adalah penyertaan tujuh video sedutan wawancara bersama Allahyarham Cikgu Ariff, serta kesan animasi di setiap bab dan gambar-gambar yang dipaparkan dalam eBuku itu.
Editor Penyelia Unit Berita dan Ehwal Semasa Melayu, Surita Salim pula berkata: "Buku terbitan BERITA MediaCorp ini menjadi satu wadah bagi masyarakat Melayu khususnya golongan pembaca muda untuk menghayati menghargai karya sumbangan yang tidak ternilai oleh Allahyarham Cikgu Ariff kepada bahasa budaya kesusasteraan Melayu di rantau ini dan juga di Singapura.
"Ada 15 komentar yang mengandungi dan menyelitkan nilai-nilai serta nasihat yang begitu dipegang teguh oleh Allahyarham Cikgu Ariff dan kami tawarkan buku ini dalam bentuk penerbitan elektronik EPub dan juga dalam versi PDF."
Selepas pelancaran e-buku, sebuah forum bertajuk ‘Legasi Takkan Mati’ diadakan untuk membincangkan dengan generasi muda tentang legasi Cikgu Ariff dan cara-cara untuk terus memperjuangkan Bahasa Melayu.
Majlis pelancaran hari ini dianjurkan oleh BERITA Mediacorp dengan sokongan Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan Perpustakaan Negara, melibatkan lebih 50 peserta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.