E-buku "Menyusur Akar, Menyulam Budi" rakam pencapaian program EMAS, MLEP sepanjang 25 tahun
SINGAPURA: Sebuah buku elektronik mengandungi kisah kejayaan Program Elektif Bahasa Melayu untuk Sekolah Menengah (EMAS) dan Maktab Rendah (MLEP) dilancarkan pada Sabtu (19 Jul), sempena sambutan jubli perak kedua-dua program tersebut.
Berjudul ‘Menyusur Akar, Menyulam Budi’, pelancarannya memanfaatkan teknologi, sekali gus mudah diakses pelajar dan alumni EMAS dan MLEP.
Acara di Maktab Rendah Tampines Meridian itu menghimpunkan para pendidik, pelajar, alumni dan rakan kerjasama program EMAS serta MLEP.
E-buku Menyusur Akar, Menyulam Budi itu mengandungi 95 muka surat, hasil kolaborasi antara alumni EMAS-MLEP dan Kementerian Pendidikan (MOE), yang merakam perjalanan, pencapaian dan kisah kejayaan peserta program tersebut sepanjang 25 tahun yang lalu.
Antaranya penyampai radio CNA 938 Hairianto Diman, yang mengikuti program MLEP semasa di Maktab Rendah Tampines.
"Bagi saya, e-buku ini memberikan satu peluang untuk membina rangkaian alumni. Ia satu perkara yang paling penting bagi saya agar para alumni dapat terus berhubung dengan alumni-alumni yang lain dan terus dapat mengembangkan lagi rangkaian mereka", kata Hairianto.
Tambahnya lagi: "E-buku ini juga menjadi satu wadah bagi kami untuk terus mengekalkan dan memberi semangat dan iltizam kepada para pelajar yang lain yang mungkin sering bertanya apakah itu makna, atau apakah kepentingan mempelajari bahasa Melayu. Terutama sekali di konteks pada hari ini, pada masa kini, di mana mungkin penggunaan bahasa Inggeris lebih berleluasa."
Pengarah Cawangan Bahasa Ibunda di Kementerian Penididikan (MOE), Heng Boey Hong, dalam kata alu-aluan di e-buku itu merakamkan penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen para pendidik dalam menjayakan program tersebut.
Menurutnya program EMAS-MLEP telah membuktikan ia mampu melahirkan generasi cemerlang yang berwawasan dan berdaya saing.
Tambah Cik Heng, beliau berharap e-buku itu menjadi wadah perkongsian kata-kata semangat, penghargaan dan inspirasi bagi pelajar terdahulu, kini dan akan datang.
Program EMAS dan MLEP mula diperkenalkan di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang dan Maktab Rendah Tampines, bertujuan untuk memupuk bakat dwibahasa dan meningkatkan pemahaman pelajar terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu.
Sejak itu EMAS ditawarkan di empat sekolah menengah, manakala lima maktab rendah pula menawarkan MLEP.
Bermula dengan 124 pelajar di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang pada 2001, program itu kini mempunyai 370 pelajar. Bagi MLEP pula, dengan hanya 19 pelajar di Maktab Rendah Tampines pada 2001, lebih 100 pelajar kini mengikuti program itu.
Ia bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada pelajar yang berminat untuk mendalami Bahasa Melayu di peringkat yang lebih tinggi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.