Skip to main content

Singapura

Dyson serah notis 'tepat pada masanya'; dalam tempoh 5 hari maklumkan pekerja terjejas: MOM

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dyson menyerahkan pemberitahuan pemberhentian pekerja seperti yang diwajibkan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam tempoh lima hari bekerja selepas memaklumkan para kakitangan yang terjejas "tepat pada masanya", menurut kementerian itu pada Sabtu (12 Okt).

Ini membolehkan Pasukan Bertindak bagi Pemberhentian Pekerja Secara Bertanggungjawab dan Mencari Pekerjaan - terdiri daripada wakil MOM, Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) - bekerjasama dengan Dyson untuk menyediakan "khidmat kerjaya dan kit maklumat" kepada kakitangan yang terjejas.

NTUC, United Workers of Electronics and Electrical Industries (UWEEI), dan e2i juga menyediakan bantuan kepada pekerja terjejas yang telah menghubungi pihak mereka, dedah MOM dalam satu kenyataan.

MOM menambah bahawa Dyson telah menyediakan kakitangannya yang diberhentikan kerja dengan faedah pemberhentian yang sejajar dengan Nasihat Tiga Pihak mengenai Mengurus Lebihan Tenaga Manusia dan Pemberhentian Pekerja Secara Bertanggungjawab, yang menyatakan bahawa pekerja yang berkhidmat selama dua tahun atau lebih layak mendapat faedah pemberhentian pekerja.

Dyson juga akan memberi faedah pemberhentian pekerja kepada pekerja yang terjejas dengan khidmat kurang daripada dua tahun, kata MOM.

"Pekerja yang terjejas akan mendapat sokongan penjagaan selepas itu, bantuan penempatan dan akses kepada bimbingan dan kaunseling kerjaya," tambah kementerian itu lagi.

Kenyataan media itu dikeluarkan selepas MOM menghubungi kedua-dua kesatuan dan Dyson untuk memudahkan "penjelasan mengenai isu yang menjadi keprihatinan".

NTUC sebelum ini menyatakan bahawa ia telah menyerahkan perkara itu kepada MOM dan ia kecewa kerana hanya dimaklumkan sehari sebelum pemberhentian pekerja dilakukan.

Awal bulan ini, firma teknologi itu menjalankan pusingan pemberhentian pekerja di Singapura, yang berfungsi sebagai ibu pejabat globalnya. Para pekerja dari jabatan pengilangan dan pemerolehan dilaporkan terjejas.

Pemberhentian pekerja itu tidak dijangkakan, lebih-lebih lagi setelah syarikat itu mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan pelaburan di sini.
Sumber : CNA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita