Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dyson berhentikan pekerja di SG tanpa dijangka, pekerja "terkejut" dan “lemah semangat"

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dyson melakukan satu pusingan pemberhentian pekerja di Singapura pada Selasa (1 Okt) dalam satu langkah “mengejut” yang menyebabkan pekerja di sini berasa terkejut dan dalam keadaan “lemah semangat”.

Ini berlaku sekitar tiga bulan selepas syarikat teknologi itu menyatakan Singapura, yang berfungsi sebagai ibu pejabat globalnya, "tidak terjejas secara langsung" oleh menyusunan semula struktur global yang melibatkan kira-kira 1,000 pemberhentian pekerja di Britain.

Langkah pemberhentian pada Selasa dilakukan "dengan sangat teliti", dengan mereka yang terjejas menerima emel memberitahu mereka tentang pertemuan "secara empat mata", kata seorang pekerja yang diberhentikan pada Selasa dan enggan namanya didedahkan.

“Wakil HR akan berada di dalam bilik. Malangnya, alasan yang diberikan (adalah) pekerjaan itu tidak diperlukan, dan kami perlu mengemas barang-barang kami dan bersedia untuk meninggalkan pejabat," kata pekerja itu.

“Kami tidak akan tahu siapa yang dipanggil masuk ke dalam bilik... (Saya) nampak banyak sampul surat.”

Mereka yang diberhentikan adalah daripada jabatan pembuatan dan pemerolehan, kata pekerja lain yang turut bercakap dengan CNA tanpa memberikan nama. Kedua-duanya tidak pasti mengenai jumlah pekerja yang dilepaskan pada Selasa.

Dyson sebelum ini melakukan satu pusingan pemberhentian di Johor Bahru di mana ia mempunyai pusat pembangunan, kata salah seorang pekerja. Namun, pemberhentian pekerja di Singapura pada Selasa adalah di luar jangkaan, memandangkan syarikat itu sebelum ini mengumumkan bahawa ia meningkatkan pelaburan di sini.

"Orang ramai terkejut dan lemah semangat kerana mereka tidak pasti bila giliran mereka mungkin tiba," kata pekerja itu, sambil menambah bahawa ia merupakan satu "kejutan".

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, jurucakap Dyson berkata: “Kami sentiasa mengubah komposisi pasukan kami dan mengambil langkah untuk memastikan kami mempunyai kemahiran yang betul di tempat yang betul. Cita-cita kami di Singapura kekal tidak berubah, dan kami menjangkakan kami akan terus berkembang di sini dalam jangka sederhana.”

Syarikat itu tidak menjawab soalan lain tentang jumlah pekerja yang diberhentikan pada Selasa, peranan pekerjaan yang kini tidak diperlukan dan sebabnya, serta cara syarikat membantu mereka yang terjejas.

Dyson, yang diasaskan oleh jutawan British James Dyson dan terkenal dengan vakumnya, berada di Singapura selama lebih sedekad, dengan pembukaan pejabat pertamanya di Science Park pada 2007.

Selain daripada berkhidmat sebagai ibu pejabat global firma itu sejak 2019, Singapura juga merupakan hab untuk penyelidikan, kejuruteraan, pengilangan maju dan operasi rantaian bekalan Dyson.

Singapura merupakan tapak, di mana motor digital yang dipatenkan oleh firma itu dibuat, dengan satu motor seperti itu dihasilkan daripada barisan pengeluaran di Jurong setiap dua saat. Dyson juga membuat pembersih udara, pengering rambut dan peralatan lain.

Menjelang 2025, bateri generasi baharu juga akan dihasilkan di kilang berteknologi tinggi baharu yang terletak di Tuas. Dyson menyifatkan kilang bateri Tuas, yang bakal seluas 53 gelanggang bola keranjang, sebagai pelaburan paling penting dalam pengilangan maju dalam sejarah syarikat.

Pada 2022, ia menyatakan bahawa ia akan melabur S$1.5 bilion dalam operasi Singapura dalam tempoh empat tahun akan datang, dan memperbaharui komitmen awal untuk mengupah lebih 250 jurutera dan saintis dalam bidang robotik, pembelajaran mesin dan lain-lain lagi.

Sehingga hujung 2023, Dyson menggajikan lebih 1,920 orang di Singapura.

Jurucakap Lembaga Pembangunan Ekonomi (EDB) berkata Dyson "mengekalkan kehadiran penting" di Singapura merangkumi ibu pejabat, inovasi dan aktiviti pengeluaran maju.

“Sedang Dyson menyemak semula komposisi pasukannya untuk memastikan ia terus membina kepakaran dalam bidang yang berkaitan dengan keperluan perniagaannya, EDB akan bekerjasama dengan syarikat dan agensi pemerintah yang berkaitan untuk membantu pekerja yang terjejas. Ini termasuk memudahkan penempatan kerja dengan syarikat yang memerlukan kemahiran dan keupayaan mereka," tambah kenyataan itu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan