Skip to main content

Singapura

Duta Lautan SG gesa diambil tindakan pantas susuli kejayaan perjanjian lautan luas PBB

Anggaran Waktu Membaca:
Duta Lautan SG gesa diambil tindakan pantas susuli kejayaan perjanjian lautan luas PBB

Persidangan Antara Pemerintah (IGC) mengenai Kepelbagaian Marin bagi Kawasan Di Luar Bidang Kuasa Negara (BBNJ) mengucapkan tahniah kepada Presidennya, Duta Rena Lee, setelah perjanjian BBNJ berjaya dimuktamadkan. (Gambar: MFA)

Diterbitkan : 28 Mar 2023 07:38PM Dikemas Kini : 28 Mar 2023 07:39PM

BANGKOK: Duta Singapura bagi Isu-Isu Kelautan dan Undang-Undang Laut, Rena Lee, menggesa negara-negara supaya mengesahkan perjanjian global untuk melindungi lautan luas secepat mungkin.

Ini menyusuli kejayaan dalam rundingan selama beberapa dekad awal bulan ini.

Cik Lee adalah presiden rundingan di Persidangan Antara Pemerintah (IGC) mengenai Kepelbagaian Marin bagi Kawasan Di Luar Bidang Kuasa Negara (BBNJ). 

Beliau menyelia rundingan dalam kalangan lebih 190 negara yang memuktamadkan perjanjian bersejarah bagi perlindungan lautan luas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  pada 4 Mac.

Perjanjian itu membolehkan kawasan perlindungan marin (MPA) ditubuhkan dan usaha pemuliharaan lain di lautan luas, iaitu kawasan lautan yang wujud di luar sempadan negara.

Lautan luas merangkumi hampir separuh permukaan Bumi dan dikongsi oleh semua negara mengikut undang-undang antarabangsa.

Ini bermakna negara-negara mempunyai hak yang saksama ke atas lautan dan boleh melakukan kegiatan memancing atau penyelidikan saintifik di sana.

Cik Lee turut menyeru semua pihak berkepentingan, termasuk pemerintah, sektor awam dan swasta, supaya mengambil tindakan lebih tegas untuk mengawal kerosakan yang berlaku di lautan luas. 

Dalam satu wawancara bertulis, beliau berkata: "Kita tidak boleh bergantung pada persetujuan itu sahaja. Kita harus dan boleh mengambil tindakan sekarang." 

Perjanjian itu harus diluluskan secara rasmi pada sesi PBB pada tarikh akan datang dan kemudian disahkan oleh sekurang-kurangnya 60 pihak sebelum ia berkuat kuasa. 

Persidangan Parti (COP) akan ditubuhkan agar wakil-wakil negara boleh kerap bertemu dan memastikan mereka saling mematuhi perjanjian tersebut. 

Cik Lee yang juga Duta Khas bagi Menteri Ehwal Luar Singapura, berkata beliau berasa "lega, gembira dan berbesar hati" kerana perjanjian itu berjaya dimuktamadkan, memandangkan rundingan berkaitan perjanjian itu bermula pada 2004 dan "dunia kini lebih berpecah belah".
 

Sumber : CNA/LL/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita