Skip to main content

Singapura

Duta Besar Amerika Anjani Sinha mulakan tugas di Singapura

Duta Amerika Syarikat, Dr Anjani K Sinha, sudah tiba di Singapura untuk memulakan tugas rasminya, menurut Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura pada Khamis (6 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Duta Besar Amerika Anjani Sinha mulakan tugas di Singapura
Duta Besar Amerika Syarikat ke Singapura, Dr Anjani Sinha. (Gambar: Laman web Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura)
SINGAPURA: Duta Amerika Syarikat, Dr Anjani K Sinha, sudah tiba di Singapura untuk memulakan tugas rasminya, menurut Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura pada Khamis (6 Nov).

“Saya amat berbesar hati dapat mewakili Amerika Syarikat di Singapura, rakan Amerika yang menjadi hab utama bagi syarikat-syarikat perniagaan Amerika Syarikat dan tunggak kestabilan di rantau ini,” kata Dr Sinha.

Beliau menambah bahawa beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan pemerintah dan rakyat Singapura untuk mempertingkatkan lagi hubungan dua hala.

“Presiden Donald Trump telah meminta saya untuk meningkatkan kerjasama dengan Singapura, berdasarkan pendekatan saling hormat-menghormati dan menerusi kepentingan yang dikongsi bersama. Secara khusus, saya teruja untuk bekerjasama dengan Singapura dalam bidang-bidang seperti teknologi, tenaga dan keselamatan.”

Dr Sinha, yang disahkan pelantikannya oleh Senat Amerika Syarikat pada Oktober lalu, adalah seorang pakar bedah ortopedik.

Beliau dan isterinya, Kiki Sinha, seorang pakar bius yang sudah bersara, sudah berkahwin selama 48 tahun. Mereka dikurniakan dua orang anak dan tiga orang cucu.

Kedutaan Amerika Syarikat menyatakan bahawa pelantikan Dr Sinha mencerminkan komitmen Amerika Syarikat untuk bekerjasama dengan Singapura demi mencapai matlamat bersama dari segi kemakmuran dan keselamatan.

“Selama hampir 60 tahun, kerjasama antara Amerika Syarikat dan Singapura telah membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara, termasuk dalam bidang-bidang teknologi baharu, jaminan tenaga, penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama ketenteraan,” menurut kenyataan itu.

Dr Sinha berkata: “Dalam kerjaya saya sebagai seorang doktor, saya sentiasa berusaha untuk berhubung dengan orang ramai dan ia membuahkan hasil, dan saya berharap dapat membawa semangat yang sama untuk bekerjasama dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.”

SESI PENGESAHAN SENAT

Dr Sinha menjadi tumpuan utama pada Julai lalu apabila beliau bergelut untuk menjawab soalan-soalan yang diajukan semasa sesi pengesahan di Senat.

Sesi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat itu, yang turut dihadiri oleh empat calon lain bagi pelbagai jawatan, menyaksikan seorang senator Democrat menguji pengetahuan Dr Sinha tentang Singapura.

Dalam ucapan pembukaannya, Dr Sinha menyampaikan “setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Trump atas pencalonannya, dan kepada Setiausaha Negara Mark Rubio atas sokongannya.”

Dr Sinha berkata dalam kenyataannya bahawa Singapura merupakan “rakan dan sekutu strategik utama” Amerika Syarikat di Indo-Pasifik. “Kerjasama rapat dengan Singapura, bersama sekutu dan rakan lain di rantau ini, kini lebih penting berbanding sebelumnya.”

Sebelum memulakan sesi soal jawab, Senator Democrat Tammy Duckworth memberitahu Dr Sinha bahawa peranan sebagai seorang duta bukan sesuatu yang boleh disandang “sewenang-wenangnya, kerana anda fikir ia glamor atau kerana Singapura merupakan tempat yang hebat untuk didiami.”

Beliau berkata Dr Sinha tidak mempunyai kelayakan yang mencukupi untuk menyandang jawatan tersebut, sambil menyuarakan kebimbangan bahawa “kekurangan pemahaman beliau boleh secara tidak sengaja menimbulkan ketegangan dalam hubungan penting kita.”

Senator itu kemudian bertanya kepada Dr Sinha: “Berapakah lebihan dagangan Amerika Syarikat dengan Singapura pada 2024?”

Dr Sinha, yang kelihatan gementar, menjawab AS$80 bilion (S$104.52 bilion), sebelum menukar jawapannya kepada AS$18 bilion (S$23.52 bilion).

Senator Duckworth kemudian memberitahunya bahawa angka sebenar ialah AS$2.8 bilion (S$3.66 bilion) dan berkata bahawa jawapan beliau “jauh dari angka sebenar.”
Duta Amerika Syarikat ke Singapura, Dr Anjani Sinha, di Jabatan Negara Amerika Syarikat. (Gambar fail: Facebook/Kedutaan Amerika Syarikat Singapura)
KERJAYA DAN KEHIDUPAN PERIBADI

Menurut biografi rasminya, Dr Sinha berpengalaman selama beberapa dekad dalam bidang pembedahan ortopedik dan perubatan sukan.

Beliau memperoleh ijazah perubatan dari Sekolah Perubatan MGM dan Universiti Delhi di India, di mana beliau juga memperoleh ijazah Sarjana dalam jurusan pembedahan ortopedik.

Sepanjang kerjayanya, beliau membangunkan dan mengetuai pusat amalan perubatan khusus di lapan lokasi di New York serta berkhidmat sebagai konsultan kanan pembedahan di Florida.

Menurut pihak kedutaan, kerjaya Dr Sinha mencerminkan komitmen mendalam beliau terhadap kemajuan penjagaan kesihatan melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta, serta dengan pengamal perubatan, undang-undang dan perniagaan dalam industri kesihatan.

Dr Sinha dan isterinya juga aktif dalam kerja amal, menyokong pelbagai institusi pendidikan tinggi di New Hampshire, New York dan sekolah perubatan alma mater mereka di India.
Sumber : CNA/AZ/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita