Duta 4 negara sertai konvoi 'mat motor' kumpul dana mangsa gempa-tsunami Palu, Donggala
Konvoi amal motosikal yang diketuai Duta Indonesia ke Singapura, I Gede Ngurah Swajaya hari ini (28 Okt) melambangkan perpaduan antara rakyat Indonesia dan Singapura. Ini ditekankan duta besar itu dalam acara amal yang disertai 400 penunggang motosikal daripada lebih 40 kelab motor.
SINGAPURA: Konvoi amal motosikal yang diketuai Duta Indonesia ke Singapura, I Gede Ngurah Swajaya hari ini (28 Okt) melambangkan perpaduan antara rakyat Indonesia dan Singapura.
Ini ditekankan duta besar itu dalam acara amal petang tadi yang disertai 400 penunggang motosikal daripada lebih 40 kelab motor.
Kesemuanya sanggup meredah panas dan hujan demi membantu mangsa gempa-tsunami Palu dan Donggala baru-baru ini.
Konvoi amal yang bermula dari Tempat Letak Kereta di persimpangan Tampines Road dan Hougang Avenue 7 berakhir di Kedutaan Indonesia di Chatsworth Road.
Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin berkata acara seperti itu menggambarkan pertalian erat antara Singapura dan Indonesia.
"Kami berada bersama rakan-rakan kami di Indonesia terutama apabila mereka mengalami masalah yang rumit sekarang ini. Singapura adalah satu jiran yang setia dan tetap mendampingi rakan-rakan dan saudara kita yang ditimpa musibah," kata Encik Amrin.
Sekitar $6,000 berjaya dikumpulkan dalam konvoi amal itu menerusi sumbangan kelab-kelab motor dan penderma korporat.
Duta Indonesia ke Singapura Encik I Gede Ngurah Swajaya yang mengetuai konvoi tersebut dengan menaiki motor Harley Davidson percaya kerjasama itu menunjukkan betapa manusia saling memerlukan antara satu sama lain.
"Sangat spontan wujud perpaduan untuk berkumpul dan mengadakan kegiatan ini. Dan ini saya fikir menunjukkan memang betapa hubungan antara Indonesia dan Singapura, bukan hanya bagus antara pemerintah dan negara, tetapi juga sesama manusia," kongsi beliau bersama BERITAmediacorp.
Tiga duta lain yang menyokong konvoi itu ialah para duta Portugal, Korea Selatan dan Turki.
Inisiatif konvoi amal motosikal itu dimulakan presiden dan pengasas kumpulan motosikal Riders Aid Singapore Encik Suriya Kumar.
Pihaknya sudah menganjurkan acara amal seumpama itu sejak 10 tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.