Skip to main content

Singapura

Dunia sastera Melayu S'pura ketandusan penulis muda, kata syarikat penerbitan

Dunia kesusasteraan Melayu di Singapura ketandusan penulis muda meskipun secara purata enam penulis muda menghasilkan pelbagai bentuk karya penerbitan dalam bahasa Melayu setiap tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dunia kesusasteraan Melayu di Singapura ketandusan penulis muda meskipun secara purata enam penulis muda menghasilkan pelbagai bentuk karya penerbitan dalam bahasa Melayu setiap tahun.

Itulah pandangan yang dikongsikan dua syarikat penerbitan buku Melayu tempatan, Pustaka Nasional dan Unggun Creative.

Menurut mereka jumlah penulis muda dan penggiat sastera agak mendatar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan tiada tanda-tanda pertumbuhan yang ketara dapat dilihat.

Mentelah lagi, kewujudan penulis muda itu lebih bersifat "berdasarkan projek" dan tidak mampu bertahan bagi penakatan jangka masa panjang sastera Melayu Singapura.

'PENULISAN SATU PROSES YANG MAKAN MASA'

Satu cabaran utama yang menghambat perkembangan penulis muda adalah penguasaan bahasa Melayu dalam masyarakat itu sendiri, kata Pengarah Pustaka Nasional Syed Ali Semait.

Perkara itu secara tidak langsung menjejas landskap pasaran buku Melayu, kata Syed Ali, kerana jika tiada permintaan, tiadalah juga bekalan.

Beliau berkata: "Mungkin kerana kurang pembelian buku, maka penulis muda kurang berminat untuk berkecimpung sebagai penulis. Ramai pelajar juga kurang fasih berbicara dalam bahasa Melayu dan kurang membaca bahan bahasa Melayu. Maka, mereka tidak berminat atau berkeyakinan untuk menulis dalam bahasa Melayu."

Encik Farihan Bahron dari syarikat Unggun Creative pula berpendapat bahawa satu lagi faktor yang harus dipertimbangkan adalah proses menghasilkan karya yang perlu memakan masa yang lama.

"Bagi saya, seorang penulis itu biasanya mengambil masa untuk menajamkan kalam dan pemikiran mereka. Ramai yang mungkin masih mengumpul asam garam untuk dijadikan rencah dalam penulisan masing-masing," ujar beliau.

Encik Farihan yang juga merupakan seorang penulis, akur kebanyakan penulis mapan di Singapura hanya menghasilkan buku pertama mereka apabila usia sudah mencecah lewat 30-an tahun.

Farihan Bahrom. (Gambar: Singapore Writer's Festival)

"Proses penulisan adalah satu usaha yang perlukan dedikasi dan komitmen. Misalnya, menulis sebuah kumpulan cerpen atau novel mungkin memakan masa selama dua hingga lima tahun.

"Penulis perlu dana atau wang untuk penakatan atau sara hidup dan tidak mampu untuk menulis tanpa bekerja sampingan," tambahnya.

Lantaran itu katanya, tidak hairanlah jika ada penulis muda yang memilih untuk menumpukan perhatian kepada kerjaya sepenuh masa dan keluarga dahulu.

WUJUD GENERASI 'PENULIS ONLINE'

Selain itu, pengaruh kuat media sosial pada zaman kini juga menghasilkan apa yang digelar sebagai generasi 'penulis online'.

Syed Ali berpendapat dengan tiada kekangan ditekankan kepada mutu bahasa dan kandungan penulisan online, ramai anak muda memilih untuk "menarikan pena mereka" dalam ruang siber.

Perkara itu turut diakur oleh Encik Farihan yang menambah bahawa golongan baru itu perlu juga "diiktiraf sebagai penulis".

Beliau berkata: "Tidak ada masalah bagi saya. Label ‘penulis’ bukan eksklusif untuk penulis yang sudah terbitkan buku saja. Akhirnya, khalayak pembaca yang akan menentukan ‘penulis’ mana yang mereka akan ikut dan sokong."

BERANI TAMPIL DIRI KE HADAPAN

Namun begitu, kedua-dua mereka berpendapat ada perlunya golongan penulis online berkenaan memberanikan diri tampil ke hadapan.

Ini boleh dilakukan melalui penyertaan dalam bengkel, program mahupun pertandingan penulisan anjuran pelbagai badan seperti Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan tunjuk ajar daripada para penulis mapan yang ada di Singapura.

"Penulis muda juga harus bersedia menerima maklum balas kekurangan karya mereka oleh penerbit atau penulis mapan. Mereka harus berani ke hadapan untuk karya mereka dinilai oleh pihak penerbit supaya karya mereka diperbaiki dan layak diterbitkan," kata Syed Ali.

Encik Farihan pula berpendapat: "Harapan saya untuk para penulis muda agar cuba untuk menulis karya-karya eceran dahulu dan sumbangkan kepada akhbar dan majalah (sama ada di Singapura, Malaysia, Brunei).

"Hadirkan diri dalam acara-acara sastera untuk meluaskan jaringan dan mengenali rangkaian penulis. Akhir sekali, harus sentiasa dahagakan ilmu." 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita