Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dunia harus 'lawan kecenderungan pandang ke dalam' di tengah cabaran global yang belum pernah berlaku: Iswaran

Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, S Iswaran berkata adalah penting untuk negara-negara melawan kecenderungan untuk melihat ke dalam di tengah-tengah cabaran global seperti ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Dunia harus 'lawan kecenderungan pandang ke dalam' di tengah cabaran global yang belum pernah berlaku: Iswaran

Gambar fail Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan S Iswaran di Sidang Penerbangan Changi di Singapura pada 17 Mei 2022. (Gambar: Roslan RAHMAN/AFP)

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, S Iswaran berkata adalah penting untuk negara-negara melawan kecenderungan untuk melihat ke dalam di tengah-tengah cabaran global seperti ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan. 

Berucap di satu sidang ekonomi di Perancis pada Sabtu (9 Jul), Encik Iswaran menarik perhatian bahawa dunia sedang menghadapi "pertembungan cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini". Negara-negara terpaksa menangani kesan COVID-19 serta perang di Ukraine.

"Kita juga sedang mengalami gangguan rantaian bekalan atas pelbagai sebab," katanya di sidang Les Rencontres économiques d'Aix-en-Provence anjuran badan pemikir Perancis, Le Cercle des économistes. 

"Di peringkat sejagat dan peringkat negara, kita perlu memikirkan tentang apakah strategi dasar ekonomi dan politik yang wajar dan harus kita dakapi."

Membentangkan tiga bidang tumpuan, Encik Iswaran berkata dunia seharusnya "melawan kecenderungan untuk memandang ke dalam tetapi memastikan bahawa kita mengekalkan keterhubungan antarabangsa sedunia."

"Ini penting kerana apabila kita cakap tentang daya bingkas rantaiaan bekalan, kepelbagaian itu penting," tambah beliau. 

Encik Iswaran juga menarik perhatian Singapura sudah memulakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dan terus melakukannya sepanjang dua tahun lalu.

Ia memeterai FTA dengan Kesatuan Eropah (EU) dan sedang terus melakukannya dengan banyak negara serta wilayah, kata Encik Iswaran.

Beliau menambah terdapat juga keperluan untuk memperdalam kerjasama dalam bidang-bidang pertumbuhan seperti ekonomi digital dan ekonomi hijau.

Ketika menggariskan usaha pendigitalan, Encik Iswaran berkata ia penting bagi perniagaan, ekonomi dan penduduk untuk mempunyai pengetahuan tentang bidang itu bagi memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan. 

Singapura sudahpun memulakan perjanjian ekonomi digital dan kerjasama dengan banyak negara seperti Australia, New Zealand dan Chile. Ia juga sudah memulakan dialog dengan EU. 

Selain itu, kata Encik Iswaran, Singapura juga mahu memastikan pertumbuhan yang bukan sahaja mampan tetapi inklusif. 

"Kita mesti memastikan bahawa, sebagai contoh, perusahaan kecil dan sederhana (SME) dilengkapi dengan baik untuk menyertai pertumbuhan ini, sama ada ia akan ke luar negara untuk menembusi pasaran baru, meningkatkan kehadiran di wadah digital, dan/atau membangunkan keupayaan masing-masing."

Singapura juga, tegas Encik Iswaran, mesti melabur dalam modal insannya. 

"Melainkan orang ramai merasakan mereka mempunyai bukan saja peluang tetapi juga kemahiran dan keupayaan untuk menyertai peluang-peluang baru ini atau ini akan menjadi kejayaan yang merugikan. 

"Apa gunanya pertumbuhan jika kita tidak boleh memberi manfaat kepada orang ramai secara amnya."

Beliau menambah maka itu, pelaburan dalam latihan dan pembangunan keupayaan adalah kunci keseluruhan strategi itu.

Sekalipun negara-negara mengejar hubungan luar, hala tuju baru, pertumbuhan digital dan mampan, adalah "penting" bagi Singapura untuk juga melengkapi usaha ini dengan dasar-dasar domestik yang menyokong kapasiti SME serta juga keupayaan rakyatnya. 

Sebelum ke Perancis, Encik Iswaran berada di United Kingdom dan Jerman awal minggu ini di mana beliau bertemu dengan rakan-rakan sejawatannya bagi mengesahkan lagi hubungan ekonomi antara Singapura dengan kedua-dua negara itu.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan