Skip to main content

Singapura

Dunia harus berwaspada dari terjerat dasar perlindungan, PM Lee beri amaran

Negara-negara dunia mesti berwaspada supaya tidak berpaling ke dasar perlindungan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (24 Jun). Beliau turut memberi amaran bahawa ia "mustahil" bagi mana-mana negara untuk menghasilkan sendiri apa saja yang diperlukannya.
 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jun 2022 09:32AM Dikemas Kini : 25 Jun 2022 09:10PM
KIGALI, Rwanda: Negara-negara dunia mesti berwaspada supaya tidak berpaling ke dasar perlindungan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Jumaat (24 Jun). Beliau turut memberi amaran bahawa ia "mustahil" bagi mana-mana negara untuk menghasilkan sendiri apa saja yang diperlukannya.

Ini sedang pandemik menunjukkan betapa rumit dan lemah rantaian bekalan sejagat, kata Encik Lee, sambil merujuk kepada bagaimana bekalan sarung tangan, peralatan perlindungan diri (PPE) serta bahan-bahan untuk ujian dan vaksin kadangkala terganggu dan terhalang.

“Ketika berdepan dengan keadaan darurat, sesetengah pemerintah campur tangan untuk mengatasi operasi biasa pasaran terbuka," kata beliau sambil mengimbas kembali bagaimana para pembekal tidak dapat memenuhi penghantaran yang dijanjikan.

Encik Lee berkata demikian semasa berucap di Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (CHOGM) berhubung pemulihan pasca COVID-19, yang diadakan di Kigial, Rwanda.

Kejutan pada rantaian bekalan angkara COVID-19 membawa kepada "pengalaman tidak menyenangkan" bagi negara-negara dunia dan menggoyahkan keyakinan masing-masing terhadap penyejagatan, kata Encik Lee.

"Negara-negara kini lebih menitikberatkan keperluan diri sendiri, beralih dari pengeluaran yang tepat pada masanya kepada langkah berjaga-jaga sekiranya apa-apa berlaku," ujar beliau.

“Tindak balas seumpama itu boleh difahami tetapi kita mesti berhati-hati agar tidak bertindak keterlaluan atau akhirnya mengamalkan dasar perlindungan. Ia mustahil bagi mana-mana negara untuk menghasilkan sendiri apa saja yang diperlukannya, dalam apa cara sekalipun."

Negara-negara seperti India dan Indonesia mengharamkan eksport gandum serta sawit untuk mengutamakan bekalan dalam negeri. Manakala Malaysia pula menarik balik separa larangan eksport ayam.

“Langkah keterlaluan untuk memindahkan semula perniagaan ke dalam negeri atau ke negara sekutu boleh mengakibatkan perpecahan ekonomi yang kian meningkat, menjadikan kita kurang selamat dan bukannya lebih selamat lantas meninggalkan kita semua dalam keadaan lebih teruk berbanding sebelumnya," jelas Encik Lee.

Encik Lee turut menukil mekanisme perdagangan Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika dan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) Asia - yang meliputi hampir sepertiga daripada penduduk dunia - sebagai "cara-cara praktikal" untuk negara-negara meningkatkan kerjasama.

BERSIAP SIAGA BAGI SATU LAGI PANDEMIK

Encik Lee berkata dunia perlu melakukan "lebih banyak lagi" bersama-sama untuk meningkatkan kesiapsiagaan terhadap pandemik.

Ini termasuk menyusun semula Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara lain, untuk membangunkan sebuah "sistem pemantauan antarabangsa yang berkesan" yang berupaya mengesan kemunculan serta penularan patogen dan virus baru, kata beliau.

“Sementara itu, kita mesti memperkukuhkan keupayaan tindak balas kesihatan awam negara masing-masing," ujar Encik Lee sambil menekankan bahawa penduduk di banyak negara membangun masih lagi belum divaksin secukupnya terhadap COVID-19.

Berdasarkan satu rencana pada Mac di lelaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), meskipun jumlah vaksin yang diberikan di seluruh dunia sudah meningkat "dengan mendadak", begitu juga dengan ketidaksamarataan dalam pengedaran vaksin.

Daripada lebih 10 bilion dos vaksin yang disuntik di seluruh dunia, hanya satu peratus diberikan kepada negara-negara berpendapatan rendah.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita