Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dulu penerima bantuan makanan percuma, kini 'naik pangkat' bantu orang lain setelah diperkasa FFFA

Dahulu mereka adalah penerima bantuan makanan percuma. Namun sekarang, mereka naik setapak dan menjadi sukarelawan pula.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Dahulu mereka adalah penerima bantuan makanan percuma.

Namun sekarang, mereka naik setapak dan menjadi sukarelawan pula, yang mengagih-agihkan makanan percuma untuk golongan memerlukan lain.

Itulah peningkatan ketara yang dialami sekitar 100 bekas penerima bantuan kebajikan dari pertubuhan Free Food For All atau FFFA. FFFA ialah sebuah badan bukan Pemerintah di Singpura atau NGO, yang khusus mengagihkan makanan secara percuma.

Dalam bahagian kedua Laporan Khas yang menyorot perjuangan badan kemanusiaan FFFA, BERITAmediacorp mencungkil bagaimana ia juga giat mengupaya golongan memerlukan.

RENEMARLINA OSMAN: DARI PENERIMA IHSAN, MENJADI KETUA SUKARELAWAN

Cik Renemarlina Osman antara orang-orang yang pernah melaluinya. Jika sebelum ini merekalah yang beratur untuk mendapatkan bekalan makanan percuma buat diri mereka sendiri ataupun anggota keluarga mereka, kini mereka pula yang menghulurkan bantuan.

'Mereka' yang dimaksudkan ini adalah sebahagian daripada sekitar 100 sukarelawan badan kebajikan Free Food For All. Mereka menyingsing lengan hampir setiap hari demi membantu jiran tetangga yang kurang bernasib baik. Secara keseluruhannya, sekitar 3,000 orang dibantu oleh FFFA.

Secara bersilih ganti, makanan-makanan percuma - yang diderma oleh syarikat-syarikat, kedai, badan-badan ataupun para penaja kepada FFFA - dihantar ke salah satu daripada 13 lokasi di estet-estet merata Singapura.

Setiap estet mempunyai sekitar enam hingga lapan sukarelawan, yang kebanyakannya adalah suri rumah.

Cik Renemarlina, berusia 38 tahun, yang kini menjadi ketua sukarelawan FFFA bagi kawasan Jalan Bukit Merah, menyifatkan pengalamannya sebagai "membuka mata".

"Pada mulanya kak Rene ingat kak Rene susah. Tapi bila kak Rene pergi ke rumah-rumah warga di sini dan dapat tahu yang ada lebih memerlukan daripada kak Rene, kak Rene rasa macam ‘ok, saya bukan seorang'. Ada lagi yang lebih memerlukan.

"Jadi daripada situ membuka hati untuk membantu mereka daripada apa segi pun," cerita suri rumah itu kepada BERITAmediacorp.

JADI 'ORANG BARU' SETELAH JADI SUKARELAWAN FFFA

Sebagai penerima bantuan FFFA sendiri, Cik Rene sememangnya lebih memahami kesulitan hidup yang dilalui jiran tetangganya.

"(Saya) lebih faham yang mereka ini sebetulnya memerlukan bantuan tapi tak tahu ke mana," kongsi beliau. Dewasa ini, antara kerja yang beliau lakukan adalah menyalurkan penerima bantuan ke tempat-tempat yang seharusnya.

Cik Rene juga mengakui, bagi dirinya sendiri, banyak perubahan positif yang membina dirinya, dirasai sejak menjadi sukarelawan.

"Bila melibatkan diri dengan sukarelawan dengan FFFA ini, perubahan banyaklah dari segi kesabaran, komunikasi, lebih rapat dengan anak. Sebab setiap kali bila buat pengagihan, saya akan tarik anak-anak sekali jadi mereka akan melihat apa yang ibu mereka buat," ujar Cik Rene.

Hakikatnya, pelbagai peningkatan yang dialami Cik Rene itu berlaku hasil dorongan Free Food For All, yang mendidik para penerima makanan percumanya, bahawa sebenarnya ada sesuatu yang lebih tinggi daripada sekadar mendapat makanan sahaja - iaitu menjadi berdikari, dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

KALAU JIRAN LAPAR, BUKAN MASALAH PEMERINTAH, TETAPI "ITU MASALAH KITA"

Encik Nizar Mohd Shariff, yang mengasaskan dan mengendalikan Free Food For All berkongsi falsafah beliau selaku peneraju utama badan itu:

"Kita selalu rasa... ia tugas Pemerintah, tanggungjawab Pemerintah untuk menjaga orang susah. Saya rasa kalau kita pergi balik kepada konsep lama semangat gotong royong, Pemerintah ada tugas-tugasnya. Tapi kita sebagai masyarakat ada tugas kita sendiri. Kalau jiran kita lapar dan jiran kita tak ada makan, itu bukan masalah Pemerintah. Itu masalah kita."

Demikian kata-kata tajam daripada beliau yang mahukan individu lebih memikul tanggungjawab terhadap jiran-jiran sekeliling yang perlukan bantuan.

Dorongan semangat seperti itulah, yang dipacu kepada sebahagian penerima bantuan makanan percuma FFFA, ternyata membuahkan hasil.

HASLINA MANAF: ANTARA PENERIMA BANTUAN YANG SAHUT CABARAN

Kini, para sukarelawan Free Food For All ditugaskan untuk juga mengenal pasti jiran tetangga yang memerlukan, serta memastikan proses menghantar dan mengagih makanan dikendalikan dengan cekap dan adil.

Ini suatu pengupayaan. Tetapi ini juga suatu tanggungjawab yang bukan ringan.

Namun ia disahut oleh bekas penerima bantuan seperti Cik Haslina Manaf dengan penuh semangat, sehingga dilantik menjadi Ketua Sukarelawan.

"Cabarannya banyak," akui beliau, yang merupakan suri rumah, penuh jujur.

"Selalunya tentang agihan, masa yang dibutuhkan, pemberian, jumlah, kedatangan. Banyaklah isu-isunya. Tapi alhamdulillah, kita telah mengatasinya peringkat demi peringkat dengan ada cara-cara yang mungkin kita ubah atau perbaiki dari yang sudah-sudah," kata Cik Haslina yang mula melibatkan diri dengan FFFA sejak tahun 2015 lagi.

LAMBANG EVOLUSI FREE FOOD FOR ALL

Bagi Cik Haslina, Cik Rene serta sukarelawan lain, selain daripada transformasi dan pengalaman yang diraih mereka, puji-pujian dan ucapan terima kasih daripada para penerima bantuan juga suatu hadiah bagi mereka.

Para penerima bantuan yang ditemui BERITAmediacorp semasa agihan bahan-bahan dapur percuma dijalankan di Blok 105A Jalan Bukit Merah dan Blok 641 Ang Mo Kio, memuji usaha para sukarelawan FFFA.

Seorang warga tua Cina yang kami temui di situ meluahkan begini tentang sukarelawan seperti Rene: "Mereka bagus. Mereka hubungi saya (minta) saya turun bawah. Dan mereka meminta saya ambil makanan."

Seorang lagi penerima iaitu ibu tunggal lima anak yang menghidap penyakit leukimia Tahap 4 turut memuji seorang sukarelawan bernama 'Kak Jihan'.

Kak Jihan mendekati dan menelefonnya untuk menyuruhnya datang ke Blok 641 Ang Mo Kio itu bagi mengambil makanan. Jelas, sentuhan peribadi seperti itu memastikan golongan memerlukan tidak terlepas mendapat habuan bahan-bahan dapur percuma itu.

Encik Nizar mengakui, inilah juga evolusi Free Food For All - bukan setakat memberi makanan percuma, tetapi mengubah dan memberi cahaya kepada kehidupan golongan susah.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan