Dulu pemalu kini pemimpin, SCT Muhammad Nor Danish Zainal antara 1,086 kadet terima pentauliahan sebagai spesialis, pakar tentera
Sebagai seorang yang pendiam dan pemalu, bukan mudah bagi dirinya untuk membiasakan diri untuk memaparkan sifat kepimpinan.
SCT Muhammad Nor Danish Zainal. (Gambar: MINDEF)
This audio is generated by an AI tool.
Selain latihan yang mencabar, SCT Muhammad Nor Danish Zainal, turut perlu bekerja rapat dengan para individu dari pelbagai latar belakang, berkomunikasi dengan jelas meskipun di bawah tekanan, serta mengambil inisiatif terutamanya semasa latihan-latihan luar.
Menurutnya, pengalaman-pengalaman sebegitu bukan sahaja meningkatkan keyakinan dan sikap daya tahannya, tetapi juga telah membentuk jati dirinya.
"Secara jujurnya, saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai seorang pemimpin. Dahulu saya seseorang yang lebih selesa untuk mengikut arahan dan bukan memimpin, terutamanya dalam keadaan yang asing dan mencabar.
"Namun, lama-kelamaan dan terutamanya sepanjang cabaran-cabaran yang saya hadapi semasa BMT, saya mula menyedari bahawa saya memiliki kekuatan-kukuatan yang saya tidak pernah sedari. Contohnya, bersikap tenang semasa keadaan mencabar atau penuh tekanan dan memberi sokongan kepada orang lain," kongsi SCT Muhammad Nor Danish kepada BERITAMediacorp.
SOKONGAN PADU RAKAN-RAKAN DAN JURULATIH JADI PEMBAKAR SEMANGAT
Malah, bagi SCT Muhammad Nor Danish, sokongan dan dorongan padu daripada rakan-rakan serta para jurulatih yang telah membakar semangatnya agar tidak berputus asa.
Menurutnya, antara cabaran terbesar yang dihadapinya apabila mendaftarkan diri dalam Tentera Laut tanpa mempunyai ilmu asas tentang teknik menyelamatkan diri dalam air, sesuatu yang dianggap asas sebagai anggota Tentera Laut.
"Rakan-rakan saya akan pulang lewat setelah latihan untuk berlatih besama saya, memberi tip-tip dan kata-kata semangat. Para jurulatih juga amat penyabar, menjelaskan setiap teknik dengan teliti dan memberi saya masa untuk memperbaiki diri. Bimbingan dan kepercayaan mereka terhadap kebolehan saya yang memberi saya keyakinan untuk terus berusaha," dedah SCT Muhammad Nor Danish kepada BERITAmediacorp.
SCT Muhammad Nor Danish adalah antara kadet SAF yang mendapat pentauliahan sebagai spesialis dan pakar tentera pada Khamis (21 Ogos).
Upacara tamat kursus spesialis bagi kohort ke-64 itu telah diadakan di Kem Pasir Laba.
Menteri Negara bagi Budaya, Masyarakat dan Belia Dinesh Vasu Dash yang menjadi Pegawai Pemeriksa di majlis tamat kursus menekankan peranan penting para spesialis dan pakar tentera dalam menjaga kedaulatan Singapura.
BERUSAHA MENJADI TELADAN KEPADA YANG LAIN
Apabila ditanya apakah antara nilai-nilai kepimpinan yang beliau pelajari, ini katanya:
"Sepanjang perjalanan saya di SCS, saya menyedari bahawa kepimpinan bukan mengenai pangkat atau kuasa. Ia mengenai tanggungjawab, integriti dan pengaruh. Antara nilai kepimpinan yang saya telah pelajari dan menerapkan dalam kehidupan peribadi saya ialah untuk menjadi teladan."
Kini, memandang ke hadapan, beliau merancang untuk menyambung kerjaya sebagai anggota Tentera Laut selepas tempoh perkhidmatan negaranya tamat.
"Bagi saya, menyertai Tentera Laut merupakan sesuatu yang selesa dan semula jadi. Saya menggemari strukturnya, komitmen terhadap misi dan peluang menjadi sebahagian daripada sesuatu yang besar. Latihan ini telah mengajar saya mengenai sikap daya tahan, kepimpinan dan semangat berpasukan, yang merupakan nilai-nilai yang ingin saya terus bina," tambahnya.
Selain itu, beliau juga berharap dapat menjadi peran contoh kepada para anggota tentera laut di masa hadapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.