Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dulu meringkuk di penjara, Mohammad Sufian kini gigih bantu penagih lain lawan najis dadah

Mohammad Sufian Mohd Noor berusia dalam lingkungan 40-an tahun apabila beliau berhenti mengambil dadah.

Anggaran Waktu Membaca:
Dulu meringkuk di penjara, Mohammad Sufian kini gigih bantu penagih lain lawan najis dadah

Memperolehi markah cemerlang dalam peperiksaannya membuatkan Sufian menyedari keupayaan beliau serta apa yang mampu dikecapinya. (Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

SINGAPURA: Mohammad Sufian Mohd Noor berusia dalam lingkungan 40-an tahun apabila beliau berhenti mengambil dadah.

Ketika itu, beliau sudah keluar masuk pusat pemulihan dadah selama hampir 20 tahun.

Sewaktu bermuhasabah, Sufian menyedari beliau sudah membazirkan zaman remajanya meringkuk di dalam penjara.

"Saya rasa ibarat saya tiada kehidupan," katanya kepada Mediacorp.

"Saya mahukan kehidupan saya semula."

Kini pada usia 51 tahun, Sufian membantu individu lain, yang bergelut dengan ketagihan dadah, selaku seorang pakar sokongan rakan sebaya di Khidmat Pengurusan Ketagihan Nasional (Nams) di Institut Kesihatan Mental (IMH).

Tugas Sufian adalah untuk memberi dorongan, menyemai harapan dan berkongsi pengalaman peribadinya dengan para penagih dadah yang sedang menjalani pemulihan.

Pengalaman yang dilalui itu membantu Sufian untuk berhubungan lebih mudah dengan mereka yang dianggapnya sebagai rakan-rakannya.

“Saya pernah senasib dengan mereka," kata Sufian dalam episod kedua siri podcast terbaru CNA Insider, Heavy Duty. Siri itu memaparkan segenap insan yang pernah terpalit dengan peristiwa hitam dalam kehidupan mereka.

Pendedahan kepada dadah sejak dari kecil menerusi bapanya, melanggar undang-undang, menjadi rentan berulang kali, memenangi semula kepercayaan keluarganya dan mengharungi jalan penuh berliku untuk kembali ke pangkal jalan - semua itu sudahpun dilalui Sufian.

Beliau juga terbuka untuk berkongsi tentang sejarah masa silamnya dan menyampaikan apa yang diharapkan oleh Nams daripada program pakar rakan sebayanya.

“Pakar sokongan rakan sebaya memainkan peranan penting dalam merawat ketagihan. Proses mereka berkongsi pengalaman yang dilalui membantu untuk menjalin kepercayaan dan sokongan dengan para pesakit," kata Samuel Chua, Kaunselor Kanan dan Ketua Kesihatan Bersekutu Nams.

“Ini adalah ciri-ciri dorongan dalam pemulihan seseorang kerana perjalanan mereka boleh kelihatan suram dan penuh dengan cabaran."

MANA-MANA ​​PENJARA SAYA PERGI, SAYA NAMPAK WAJAH ANDA

Sufian tahu betapa pentingnya untuk mempunyai tempat bagi meluahkan perasaan dan seorang penyokong ketika menjalani pemulihan.

Dalam tempoh lima tahun terakhir menjalani hukuman penjaranya selama sembilan tahun, seorang pegawai penjara membuatkan Sufian tersentak. Ketika itu, Sufian berusia 38 tahun dan mereka pertama kali bertemu apabila beliau berusia 20-an tahun.

Pegawai berkenaan berleter kepada Sufian dan berkata, "mana-mana penjara saya pergi, saya nampak muka anda", imbaunya.

Dalam memberi tindak balasnya, Sufian mencabar pegawai berkenaan: "Jika anda mahu saya benar-benar berubah, kenapa tidak anda mengesyorkan supaya saya menjadi seorang pelajar."

Namun Sufian sebenarnya tidak serius untuk belajar. Beliau setakat menganggap ia akan memberinya hak istimewa di penjara.

Pegawai itu menyerahkannya satu borang tetapi rakan-rakan banduan Sufian mencemuhnya. Bahkan, seorang daripadanya mengoyakkan borang tersebut.

Namun Sufian mengambil langkah di luar sangkaannya sendiri untuk mendapatkan borang baru dan mengisinya.

Permohanannya itu diterima.

Pada awalnya, Sufian tergapai-gapai dan gagal teruk bagi semua ujian pertamanya.

"Guru saya bertanya saya, 'Kenapa anda gembira sangat? Anda gagal subjek Matematik, anda hanya perolehi sembilan (markah)," imbasnya.

"Namun saya memberitahu guru saya pada masa lalu, saya tidak mendapat sebarang markah atau hanya satu markah."

Dengan menjalani beberapa sesi pelajaran tertumpu bersama seorang guru, Sufian cemerlang dalam mata pelajarannya menjelang akhir tahun dan dipindahkan ke Sekolah Penjara Kaki Bukit untuk menduduki peperiksaan peringkat GCE N.

Sufian lulus dengan tiga kepujian tertinggi (distinction) dan melanjutkan pelajarannya dalam kursus elektronik dan rangkaian komputer di Nitec.

Sufian dibenarkan untuk meluangkan masa enam bulan terakhir tempoh hukuman penjaranya di sebuah rumah tumpangan dan ini juga membantu mengubah pandangannya.

"Di sana, saya diajar untuk bersikap positif," ujarnya.

Poster-poster yang ditampal di dinding mengingatkan Sufian untuk, misalnya, menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan, berkomunikasi serta bersifat bertanggungjawab. Beliau berkata beliau cuba mengamalkan satu falsafah hidup setiap hari.

Sejak dibebaskan dari penjara pada 2012, Sufian cuba untuk menukar pemikiran positifnya kepada tindakan.

Bapa Sufian, yang memperkenalkannya kepada dunia yang bergelumang dengan dadah apabila beliau masih di bangku sekolah rendah, dibebaskan dari penjara pada minggu lalu dan kini menetap bersamanya.

Sufian memastikan beliau sentiasa ada di sisi bapanya serta saudara lelaki ketiganya, yang dibebaskan dari penjara sekitar tiga tahun lalu.

Antara masalah yang dihadapi bekas pesalah dadah ketika menjalani pemulihan adalah kepercayaan.

Bagi Sufian sendiri, ia mengambil masa dua tahun setelah beliau dibebaskan dari penjara untuk memenangi semula kepercayaan keluarganya.

Maka apabila segelintir rakan sebaya berkongsi keprihatinan tentang ibu bapa mereka tidak lagi percaya pada mereka, beliau akan membalas: "Anda baru keluar dari penjara untuk satu atau dua minggu, anda fikir mereka akan percaya anda?

Ia bukan mudah.Kami sudah banyak melukakan hati mereka jadi kami perlu menerima hakikat ini."

Kini, Sufian adalah satu-satunya pakar sokongan rakan sebaya di Nams dan antara 14 pegawai sedemikian di IMH, yang bekerjasama dengan pakar psikiatrik, jururawat serta karyawan kesihatan bersekutu.

Selain Sufian, Nams juga mempunyai empat kakitangan lain yang mempunyai masa silam mengalami ketagihan dadah.

Sufian, yang merupakan bapa kepada lima orang anak yang berusia antara empat hingga 18 tahun - kini memegang diploma dalam bidang khidmat sosial. Beliau mengendalikan sebuah kumpulan sokongan luar dengan bekas rakan sekerja pada hujung minggu untuk membantu individu yang mengalami ketagihan dadah serta keluarga mereka.

Sufian mampu menjalani pengalaman seumpama itu dengan sikap terbuka masyarakat untuk memberikannya peluang kedua.

"Pada masa lalu, ia lebih sukar untuk masyarakat menerima orang macam kami tetapi kini, rakyat Singapura agak bersikap terbuka," ungkapnya.

"Saya mengambil kesempatan ini sebaik-baiknya dan saya menghargainya."

“Sejauh ini, perjalanan saya benar-benar memeritkan tetapi tiada rasa kesal pun dalam diri saya kerana ia melenturkan saya untuk menjadi diri saya hari ini."
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan