'Dulu menadah ihsan, kini penghulur bantuan'; bekas banduan sumbang bakti kepada golongan memerlukan
Gambar: Aaron Low/TODAY
SINGAPURA: Pada 2010, Encik Mohd Firdaus Abdul Rahim adalah sebahagian daripada sekumpulan lelaki muda yang mengejutkan Singapura dalam kes jenayah berkaitan kumpulan samseng yang melibatkan perbuatan mengelar. Insiden itu menyebabkan beberapa remaja lain dimasukkan ke hospital.
Kini, Encik Firdaus membuka lembaran baru dan mahu berbakti semula kepada masyarakat yang dianiayainya lebih sedekad lalu.
Bersama-sama para bekas banduan lain, lelaki berusia 36 tahun itu berhimpun berhampiran blok-blok flat sewa di North Bridge Road pada Ahad petang (17 April) untuk melakukan kerja amal. Kumpulan itu pergi dari rumah ke rumah untuk mengagih-agihkan 100 beg plastik merah yang berisi barangan dapur dan barangan keperluan kepada para penduduk.
Encik Firdaus, yang dibebaskan daripada skim Tahanan Undang-undang Jenayah pada November 2020 dan kini bekerja dengan e-peruncit Lazada, baru-baru ini menyertai rakannya, Johari Mohd Salleh, dalam usaha murni untuk menyumbang semula kepada masyarakat.
Encik Johari, 27 tahun, memulakan inisiatif itu pada lewat tahun lalu. Sejak itu, beliau sudah berjaya menarik kira-kira 30 bekas banduan sebagai relawan - kebanyakan daripada mereka kini tinggal atau pernah berdiam di estet perumahan awam North Bridge Road.
Menurut Encik Johari, kumpulan tersebut sudah mengumpulkan sekitar S$2,000 dalam kalangan mereka sendiri untuk membeli kebanyakan barangan itu. Ini termasuk gula tebu, biskut, pelitup dan kurma untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan.
Ketika ditanya apa yang mendorong mereka untuk membuka lembaran baru, Encik Firdaus berkata bahawa ibu bapanya meninggal dunia ketika dia berada di dalam tahanan.
Selepas dibebaskan, Encik Firdaus menyedari bahawa ramai warga emas tinggal di kawasan kejiranannya dan dia mahu menolong mereka setelah tidak lagi berkesempatan untuk menjaga serta membantu kedua-dua orang tuanya.
"Dahulu, kami melakukan banyak perkara buruk," tambahnya sambil tertawa. "Sekarang, kami mahu menyumbang semula kepada masyarakat."
Encik Johari, yang kini bekerja sebagai seorang penolong gudang, berkata bahawa mereka berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak kerja amal pada masa hadapan, berkemungkinan di kawasan seperti Boon Keng dan Bukit Merah. Encik Johari meluahkan harapan agar lebih ramai bekas banduan akan turut serta untuk menghulurkan bantuan.
Ini adalah kerja amal ketiga oleh kumpulan itu dan yang terbesar pernah dilakukan mereka setakat ini. Minggu lalu, mereka memberikan sebanyak 100 paket nasi ayam sumbangan restoran Zoul’s Corner.
Di kedua-dua kerja amal itu, kumpulan tersebut turut ditemani Encik Amrin Amin, mantan setiausaha kanan parlimen bagi Ehwal Dalam Negeri yang juga mantan Anggota Parlimen.
Encik Amrin, yang menyifatkan dirinya sebagai penyokong tujuan murni oleh kumpulan bekas banduan itu, berkata beliau berpendapat bahawa ia adalah "satu usaha luar biasa" dan dorongan mereka tercetus daripada keinginan untuk mencegah golongan belia daripada melakukan kesilapan serupa.
"Saya rasa ia juga menghantar isyarat yang sangat kuat kepada masyarakat. Orang yang bertatu, orang yang pernah terpalit dengan sejarah peristiwa hitam, mereka tidak semestinya buruk. Kita seharusnya memberi mereka peluang dan berfikir baik-baik tentang ciri-ciri positif dalam diri mereka," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.