Dulu jurulatih gim kanak-kanak, kini guru tadika yang cemerlang
SINGAPURA: Encik Zulqarnain Rashid, 35 tahun, merupakan salah seorang daripada 245 guru tadika lelaki di Singapura.
Menurut Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA), golongan lelaki hanya membentuk satu peratus daripada keseluruhan tenaga pengajar dalam pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.
Bekas jurulatih gim kanak-kanak itu, memutuskan untuk menjadi guru tadika setelah didorong oleh salah seorang pengurusnya 11 tahun yang lalu.
"Orang tua saya menyokong keputusan ini, walaupun mereka agak terkejut pada mulanya. Kawan-kawan pula bertanya, 'Betul ke ni? Awak hendak bekerja di sini? Semua guru perempuan, awak seorang sahaja lelaki. Tak rasa malu ke?'” kongsi Encik Zulqarnain.
Beliau juga menghadapi keraguan daripada ibu bapa yang kurang yakin dengan guru tadika lelaki, kerana mereka percaya guru wanita memiliki sifat keibuan yang lebih sesuai.
Selain itu, ada ibu bapa yang khuatir mengenai keselamatan anak-anak mereka.
“Ada daripada mereka yang berkata awak guru lelaki awak tidak boleh sentuh murid-murid, awak tidak boleh peluk mereka, dekat dengan murid-murid itu.'
Tetapi walaupun memang betul saya tidak dapat memeluk murid-murid, tetapi saya boleh ‘high-five’ untuk menunjuk mereka bahawa saya gembira dengan apa yang mereka lakukan di sekolah,” jelas beliau.
Encik Zulqarnain berkata semua guru perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disediakan di PCF Sparkletots.
PENGALAMAN MEMBANGGAKAN
Menurut Encik Zulqarnain, beliau bangga apabila diberitahu murid-muridnya cemerlang di sekolah rendah.
Beliau berkongsi satu pengalaman manis bersama ibu salah seorang bekas muridnya.
“Ibunya melihat saya di stesen MRT, terus dia menangis. Apabila saya mengajar budak tersebut di dalam kelas K2 lapan tahun lalu, beliau merupakan seorang yang pendiam, tidak berbual, membaca, dan pada mulanya ibunya merasa putus asa.
“Tetapi saya memberikan beliau keyakinan bahawa kita tidak boleh berputus asa. Kami harus menghadapinya sama-sama, dan semasa di kelas K2 itu saya mengajarnya. Alhamdulillah dia berada di darjah 5 sekarang dan merupakan ketua kelas. Dia lebih yakin untuk berhadapan dengan orang luar dan berkomunikasi,“ cerita Encik Zulqarnain.
Pengalaman tersebut membangkitkan semangat beliau untuk menjadi guru terbaik.
CIRI-CIRI GURU PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK YANG BAIK
Encik Zulqarnain percaya bahawa seorang guru tadika perlu memiliki sifat penyabar, penyayang, dan kemampuan berkomunikasi yang baik dengan kanak-kanak.
Menurutnya, anak-anak tadika bukanlah nakal, tetapi mereka hanya suka bermain.
“Alhamdulillah saya ada ‘junior-junior’ saya dari sekolah menengah yang kini berada di dalam bidang ini. Mereka menganggap saya sebagai ‘role model’ mereka.
“Jadi, kalau anda ada rasa minat terhadap bidang pendidikan awal kanak-kanak, anda patut mencubanya. Jangan pedulikan apa yang orang lain katakan,“ ujar Encik Zulqarnain yang baru-baru ini menerima Anugerah Kualiti Perkhidmatan Cemerlang PCF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.