Dulu 8 kali keluar masuk penjara, Azhar Samsuddin Pitch kini ajar muzik kepada golongan berkeperluan khas
Azhar Samsuddin Pitch merupakan gitaris utama kugiran ParaBeatz, di bawah Faith Music Centre dan jurulatih muzik bagi golongan berlainan upaya. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
SINGAPURA: Sejak usia semuda 16 tahun, Azhar Samsuddin Pitch sudah terjerumus dalam kancah dadah.
Beliau pertama kali ditangkap pada usia 20 tahun.
Sejak itu, Encik Azhar telah keluar masuk penjara sebanyak lapan kali dalam tempoh lebih 30 tahun.
Hukuman paling berat yang pernah dilaluinya adalah dipenjara selama tujuh tahun setengah dengan enam sebatan.
"Kerana masing-masing ingin tahu kan? Kalau seorang daripada rakan saya dah mulakan, kami pun akan cuba. Itu yang buat saya ketagih," ujar Encik Azhar, yang kini berusia 56 tahun.
Namun, ketika terdetik di hatinya untuk memulakan lembaran baharu, Encik Azhar pula diuji masalah kesihatan.
Ia bagaimanapun tidak sekali-kali melenturkan semangat Encik Azhar untuk membina semula kehidupannya, sekalipun pernah tersilap langkah.
Tanpa disangka, muzik menjadi pembakar semangatnya untuk terus bangkit.
Beliau kini merupakan gitaris utama kugiran ParaBeatz, di bawah naungan Faith Music Centre (FMC), selain aktif mengajar muzik kepada golongan berkeperluan khas, sebagai jurulatih muzik di pusat muzik tersebut.
TAK SERIK-SERIK, "KESEDARAN MUNCUL BILA FIKIR UMUR, KEADAAN & KELUARGA SAYA"
Ketagihan dadah membawa padah kepada Encik Azhar apabila kaki kirinya terpaksa dipotong akibat gangrene, yang menyebabkan jangkitan dan darah beku di pinggangnya.
Sejak itu, Encik Azhar berkerusi roda dan pergerakannya terbatas.
Namun, ia belum cukup menyedarkannya untuk tidak membiarkan dirinya tumbang kepada pengaruh dadah.
"Ketika kaki saya dipotong, lepas itu, saya masih ambil (dadah) juga. Saya masih ada orang untuk dihubungi. Biasa untuk kami fikir satu saja cukup, kami boleh kawalkan. Tapi lama-lama, dadah yang kawal kami," ujarnya dengan penuh kesal.
Kasih sayang seorang ibu jelas tiada tolok banding sehingga mampu melembutkan hati Encik Azhar untuk akhirnya benar-benar berubah.
"Kesedaran itu muncul bila saya fikir umur saya, keadaan saya, keluarga saya, arwah mak saya. Walaupun saya keadaan macam ini, macam terus dalam kerosakan, dia percaya satu hari nanti saya akan berubah," kata anak keempat daripada lima adik-beradik itu.
MINAT MUZIK MENGALIR DALAM SANUBARI AZHAR
Pertemuan dengan seorang pemuzik dari pusat pemuzik Faith Music Centre secara kebetulan memutik semula minat Encik Azhar terhadap muzik, yang sudah sekian lama dipendam.
Ini memandangkan beliau sebelum ini sering memain gitar bersama rakan-rakannya ketika waktu mudanya, sewaktu mereka masih terjebak dengan kesalahan dadah.
Dengan semangat berkobar-kobar, Encik Azhar merebut peluang untuk menyertai Program Mentor Kugiran di bawah FMC, pada 2022, yang disokong oleh Geran Latihan SG Enable.
Melalui program selama enam bulan itu, Encik Azhar diasah bakatnya dalam memain gitar elektrik.
Setahun kemudian, bakat Encik Azhar dicungkil untuk menyertai kugiran ParaBeatz sebagai gitaris utama.
Ditubuhkan pada 2019, ParaBeatz merupakan salah satu daripada enam kumpulan di bawah naungan Faith Music Centre.
Selain Encik Azhar, ParaBeatz dianggotai tujuh ahli yang lain, dengan berkelainan upaya, daripada kurang upaya penglihatan sehingga fizikal.
Sejauh ini, ParaBeatz sudah menghasilkan tiga buah single, termasuk lagu "Habis Gelap, Terbitlah Terang", karya pengasas pusat muzik itu, Encik Alvin Yeo.
Ia diilhamkan daripada liku kehidupan yang dilalui kesemua anggota ParaBeatz.
"(Lagu "Habis Gelap, Terbitlah Terang") ada kena mengena dengan kehidupan (kugiran saya). Ia mengisahkan dulu kita dalam kegelapan, tak ada bimbingan. Tapi, bila kita jumpa sesuatu yang bermanfaat, di situlah kita menyanyi. Bangkit daripada jatuh bangun, kita terus ke arah yang lebih baiklah," ujar Encik Azhar.
Encik Azhar seterusnya ditawarkan untuk mengikuti Program Latihan Jurulatih Muzik , kendalian pusat muzik itu.
Disokong oleh Geran Latihan Akademi SG Enable, program itu melengkapi mereka yang kurang berupaya dengan kemahiran untuk menjadi jurulatih muzik.
Kini, sebagai seorang jurulatih muzik, Encik Azhar aktif memberi bimbingan kepada pelajar autistik dan golongan berkeperlan khas daripada pertubuhan seperti Metta Home for the Disabled, Christian Outreach to the Handicapped.
Ia bahkan, merupakan kerja tetap yang pertama baginya. Ini memandangkan sukar baginya mencari pekerjaan setelah dibebaskan daripada penjara, apatah lagi dalam keadaan berkerusi roda.
Encik Azhar ingin terus memperkasa golongan itu dengan kemahiran dan keyakinan untuk tampil membuat persembahan muzik di atas pentas.
"Kalau macam saya cakap keadaan saya macam ni, mereka lebih susah daripada kita kerana mereka dilahirkan sebegitu. Tapi mereka masih ceria, orang pun tak tahu apa-apa," jelasnya sambil membulatkan tekadnya untuk terus menabut bakti.
Mengenang perjalanan kehidupannya, Encik Azhar berkata: "Ia mengubah kehidupan saya. Kehidupan sangat indah buat saya. Saya tidak pernah jangkakan sebelum ini."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.