Dua wanita Melayu/lslam diiktiraf atas sumbangan terhadap landskap teknologi SG
SINGAPURA: Dua dekad yang lalu, seorang klien enggan percaya bahawa Cik Reyna Razali ialah seorang jurutera keselamatan siber.
Kini, Cik Reyna merupakan Pengarah Kanan keselamatan siber bagi syarikat teknologi dan khidmat kewangan Visa, yang bertanggungjawab membangunkan dan memperluas fungsi arkitektur keselamatan di Singapura.
"Hakikatnya kita golongan minoriti bukan sahaja di Singapura, malah di peringkat dunia iaitu sebagai seorang Melayu, (dari) ASEAN, seorang Muslim dan seorang wanita dalam persekitaran yang didominasi lelaki," kongsi Cik Reyna kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Tetapi kita tidak seharusnya mengambil cabaran ini secara negatif. Menjadi seseorang dalam golongan minoriti membuatkan kita unik," tambahnya.
Beliau merupakan salah seorang yang dipilih tersenarai dalam 100 Wanita Dalam Teknologi Singapura (SG100WIT) tahun ini, daripada 525 pencalonan yang diterima.
Dianjurkan Persatuan Komputer Singapura (SCS) dan disokong Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), senarai SG100WIT merupakan satu inisiatif yang mengiktiraf dan meraikan wanita yang berperanan memacu inovasi, mempimpin projek-projek teknologi transformasi dan membentuk ekonomi digital negara.
PIMPIN DENGAN TELADAN DAN HORMAT, MENENTANG STEREOTAIP
Memimpin pasukannya dengan penuh teladan dan hormat dan menentang segala stereotaip, itulah pegangan Cik Reyna.
Cik Reyna berkata: "Memang penting untuk wanita Melayu/Islam berada di posisi kepimpinan dalam STEM ini kerana perwakilan boleh mengubah hasil dan membuka lebih banyak peluang untuk menggabungkan inklusiviti, empati dan rasa hormat.
"Nilai-nilai ini penting untuk kita bawa ke meja perbincangan, bukan sahaja untuk mewujudkan keselamatan psikologi, tetapi juga meningkatkan rasa kebersamaan untuk semua tidak kira kaum, agama atau jantina."
Selain itu, Cik Reyna juga aktif sebagai mentor untuk memberi bimbingan kepada mereka dari pelbagai lapisan peringkat, bagi menggalak perkembangan dan peluang kerjaya.
INGIN BANTU WARGA EMAS LANGGANI TEKNOLOGI
"Saya ingin menggunakan pengetahuan saya tentang keselamatan siber dalam perniagaan yang bukan berkaitan dengan teknologi. Matlamatnya adalah untuk memberi kesedaran literasi digital kepada warga emas atau mereka yang kurang mahir teknologi kerana mereka mudah terjebak dalam penipuan dan maklumat palsu," kongsi Cik Reyna.
Mengulas tentang halangan yang dihadapi wanita Melayu/Islam untuk menceburi bidang STEM, Cik Reyna berpendapat pemikiran positif penting untuk mengharunginya.
"Halangan yang selalunya dihadapi oleh wanita Melayu/Islam adalah merasa takut atau risau ditolak terutamanya jika berhijab atau rasa tidak cukup hebat untuk bersaing dengan lelaki," ujar Cik Reyna.
"Tetapi apapun kerisauan kita, kita perlu bermotivasi dan berusaha mencapai yang terbaik mengikut kemampuan dan potensi kita. Kita perlu percaya diri sendiri bahawa kita boleh melakukannya. Beranikan diri dan keluar dari zon keselesaan kita untuk mengejar minat dan cita-cita," tambahnya.
PERLU BUKA MINDA, BELAJAR SECARA BERTERUSAN SEDANG TEKNOLOGI BERUBAH
Untuk wanita Melayu/Islam yang berminat untuk menceburi industri itu, ini nasihat beliau: "Ciri-ciri bagi mereka yang berminat dalam bidang STEM ini, selalunya 'problem-solving skills' atau kemahiran menyelesaikan masalah dan 'critical thinking' atau pemikiran kritis. Kita harus membuka minda kita."
"Selain daripada itu, kemahiran komunikasi dan kemahiran teknikal adalah penting dan pastikan ada pengalaman praktikal atau 'hands-on' kerana pekerjaan dalam industri ini bukan hanya teori semata-mata. Yang paling utama, kita mesti ada minat untuk belajar secara berterusan kerana teknologi berubah dengan sangat cepat dan bidang ini sangat mencabar."
PELAJAR INSTITUSI RAFFLES KIERA NADINE MUHAMMAD NAZRI TERSENARAI DALAM 25 BELIA WANITA DALAM TEKNOLOGI
Bagi Kiera Nadine Muhammad Nazri, 18 tahun, keberanian mengorak langkah pertama dalam dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) membuka peluang baginya membina keyakinan dan pengalaman baharu.
Daripada program Microsoft Hackathon hinggalah kerja-kerja sukarelawan di Project Hope dan Willing Hearts, pelajar Institusi Raffles itu sedar STEM bukan hanya tentang penemuan bahkan satu tanggungjawab kepada masyarakat.
"Minat saya dalam STEM bermula ketika saya berumur lapan tahun. Ketika itu, saya sering membantu ibu mencari maklumat kesihatan untuk keluarga dan tertanya-tanya mengapa teknologi yang mampu menyelamatkan nyawa masih belum dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat. Ini mencetuskan minat saya terhadap sains sebagai alat perubahan," kongsi Kiera kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
KIERA NADINE ANTARA YANG USULKAN INISIATIF Y:WAIT MEMPERKASA WANITA MUDA DALAM STEM
Menyedari kurangnya belia wanita, khususnya Melayu/Islam dalam teknologi, Kiera terdorong memulakan inisiatif Y:WAIT bagi memperkasa wanita muda dalam STEM.
Menurut Presiden dan Pengasas Bersama inisiatif itu, Y:WAIT mengadakan bengkel Kecerdasan Buatan (AI), dasar teknologi serta 'Design Sprint' atau Sprint Reka Bentuk.
Atas sumbangan itu, Kiera antara 25 bakat muda tersenarai dalam kategori ‘Belia Wanita dalam Teknologi', yang mengiktiraf bakat muda berusia antara 13 hingga 35 tahun.
Ia menyaksikan jumlah pencalonan tertinggi iaitu 110 pencalonan, sejak dilancarkan pada 2021.
"Saya sendiri pernah berasa terpencil dalam bilik mesyuarat atau pertandingan teknologi. jadi, saya tidak mahu pengalaman itu berulang bagi orang lain," ujar Kiera.
"Kami membina masyarakat yang memberikan pengetahuan dan membina keyakinan dalam dunia teknologi. Hari ini, Y:WAIT telah melibatkan lebih 200 gadis muda," tambahnya.
INGIN SUMBANG KEPADA DASAR TEKNOLOGI BERETIKA, LATIH PELAJAR ATASI MASALAH DUNIA
Meski masih muda lagi, Kiera bercita-cita tinggi.
Pengiktirafan itu lantas dijadikan landasan untuk membawa lebih ramai belia wanita ke dalam dunia STEM.
"Saya ingin menyumbang kepada pembentukan dasar teknologi dan inovasi beretika. Saya sedang membina kurikulum lintas sekolah di bawah Y:WAIT untuk melatih pelajar perempuan dalam membangunkan projek AI untuk mengatasi masalah di dunia," menurut Kiera.
"Cita-cita saya ialah untuk menjadi penasihat dasar dalam teknologi di mana teknologi bukan hanya canggih tetapi adil, boleh diakses dan membina masyarakat yang penyayang," tambah beliau.
Kisah dua wanita dari dua generasi itu mencerminkan kemajuan besar pemimpin wanita dalam landskap teknologi Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.