Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua wanita ini mahu angkat martabat perubatan tradisional Melayu

Resipi jamu diwarisi turun-temurun daripada nenek moyangnya yang bergelar bidan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dua wanita ini mahu angkat martabat perubatan tradisional Melayu

Cik Dania Safia (kiri) dan Cik Masmunah Abdullah (kanan) berusaha memartabatkan perubatan tradisional Melayu.

SINGAPURA: Resipi jamu diwarisi turun-temurun daripada nenek moyangnya yang bergelar bidan.

Dipanggil ‘Emas cair’, gabungan 12 herba sarat dengan antioksidan dan berupaya mengurangkan kolesterol serta menguatkan sistem imuniti.

Sebagai pengamal herba tradisional sejak dari remaja lagi, Cik Dana Safia yakin ia ada potensi untuk dipasarkan.

Maka wujud JAMU by Dana Safia, yang diusahakan bersama ibunya, Cik Sadiah Abu Bakar.

"Kalau soalan macam betul ke ini boleh ada faedahnya? Ia bukan kesan plasebo. Bila kita mengamalkannya setiap hari, dengan konsisten, ia akan membantu anda melawan jangkitan-jangkitan virus. Badan anda, sistem imun anda sendiri dapat membantu melawannya," kata Ketua Pengurusan Autentik Palate Pte Ltd Dana Safia.

DAPAT ILHAM HASIL JAMU WAKTU "CIRCUIT BREAKER"

Dilancarkan pada Januari lalu, idea menghasilkan pilihan minuman herba tradisional timbul ketika tempoh 'circuit breaker'.

Ketika bosan duduk di rumah, Cik Dana membuat kajian lebih mendalam tentang campuran herba serta cara dan proses lebih baik untuk menyediakannya.

Bahkan, beliau juga mendapatkan khidmat sebuah agensi kreatif untuk menghasilkan jenama serta strategi pemasaran.

JAMU by Dana Safia kini menawarkan dua jenis minuman herba untuk lelaki dan wanita dengan bahan-bahannya diperolehi dari Indonesia, Malaysia dan India.

Untuk menghasilkan 10 botol jamu mengambil masa sehingga enam jam!

"Jamu ini memang sangat-sangat baik untuk kita meminumnya. Anak-anak sekarang tak memahami. Mereka banyak menggunakan benda-benda yang moden buat masa ini. Jadi yang lama-lama ini mereka tinggalkan," kata Cik Sadiah pula.

MAKANAN BAGI IBU DALAM PANTANG

Kesibukan hidup golongan profesional, pula menjadi pencetus idea kepada Mamanda Royal Wellness untuk menyediakan khidmat penyediaan makanan bagi ibu dalam pantang.

Menu makanan pantang bagi ibu yang baru melahirkan anak itu mula ditawarkan Oktober tahun lalu, diilhamkan daripada petua orang tua-tua dahulu.

"Kami memastikan bahan makanan yang digunakan dapat membantu ibu lepas bersalin memperkukuhkan sistem imuniti, menggalakkan peredaran darah yang baik, mengeluarkan angin dalam badan, memperbaiki jahitan akibat pembedahan dan merangsangkan bekalan susu badan," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Mamanda Food Solutions Masmunah Abdullah.

Dalam mencipta resipi-resipi beliau, Cik Masmunah banyak menerapkan unsur perubatan Melayu dari rempah ratus, herba serta menggunakan ikan haruan dan gamat.

Usahanya diharapkan dapat mengangkat martabat perubatan tradisional, jika tidak dipelihara dan dipulihara, akan dilupakan begitu sahaja.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan