Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua tahun sambut Tahun Baru di rantauan, dua mahasiswa kongsi pengalaman

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi kebanyakan orang, cuti hujung tahun ini merupakan satu peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga dan sama-sama menyambut tahun baru. 

Namun keadaannya berbeza bagi rakyat Singapura yang sedang menuntut di universiti luar negara. 

Keadaan COVID-19 yang tidak menentu serta kebimbangan jika ia akan menjejas pengajian mereka di sana, membuatkan ramai di antara mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga di ambang tahun baru ini. 

(Gambar: Anisah Sandisi)

Antaranya ialah Anisah Mohamad Sandisi, 20 tahun, seorang mahasiswa Universiti Al-Azhar. 

ABANG DAN KAWAN-KAWAN PENGUBAT RINDU 

Tahun ini merupakan kali kedua dia berada di Mesir untuk menyambut tahun baru, tanpa keluarga di sisi.

Sejak ke Mesir pada November 2020, dia hanya dapat berhubung dengan keluarga tersayang menerusi panggilan telefon dan video. 

Dengan aturan perjalanan yang bertukar-tukar mengikut perkembangan COVID-19, mahasiswi dalam jurusan Syariah Islam itu perlu berfikir masak-masak dahulu sebelum membuat keputusan untuk pulang kerana ia boleh menjejas pengajiannya. 

"Saya memilih untuk tidak pulang sekarang atas sebab peperiksaan saya yang hampir dekat. Jadi besar kemungkinan, undang-undang untuk kuarantin apabila kita pulang ke Singapura akan menjejas pendudukan peperiksaan saya nanti," ujar Anisah. 

Jika sebelum COVID-19, Anisah biasanya menyambut tahun baru bersama keluarganya di rumah. 

Kali ini, dia memujuk hati untuk memendamkan rasa hibanya demi memberi tumpuan sepenuhnya bagi peperiksaan yang akan datang. 

"Rasa sedih itu ada kerana tidak dapat menyambut tahun baru dengan keluarga, tetapi lebih kepada rindu yang teramat kepada keluarga saya," kongsi mahasiswa tahun dua ini yang mengambil jurusan Syariah Islamiah. 

"Selalunya pada tahun baru, saya dan keluarga akan meluangkan masa sama-sama. Mak akan selalu mengajak saya untuk memasak dan bapa akan mengajak saya mengemas rumah bersama-sama," tambahnya lagi. 

Meskipun sudah dua tahun tidak berjumpa dengan keluarga secara bersemuka, dia tetap bersyukur dapat berhubung dengan mereka melalui talian.

"Saya selalu menghubungi keluarga saya di Singapura dan bertanyakan khabar mereka seperti 'Mak, bapak di Singapura ada benda baru terjadi ke?” atau “Mak baru beli peti ais dan 'air fryer' baru ke?" kongsi penuntut itu yang merupakan anak bongsu.

Mujur dia tidak bersendirian di Mesir kerana ada abang dan rakan-rakannya di sana bersamanya yang sentiasa menyokong dan menceriakan Anisah. 

KEADAAN BERTAMBAH BURUK DI UK 

Senasib dengan Anisah adalah mahasiswa tahun kedua Universiti Durham di United Kingdom (UK), Herman Putra Khalid, turut memilih untuk menyambut tahun baru di rantauan.

(Gambar: Herman Putra Khalid)

Ini juga merupakan kali kedua dia menyambut tahun baru di UK. 

Kes-kes di kota Durham tidak seteruk di bandar-bandar lain UK namun jumlah kes semakin bertambah.

"Situasi sekarang ini dinamik dan tidak ada kepastian berhubung peraturan jadi jika saya pulang ke rumah dan tidak boleh pulang kembali ke UK untuk penggal kedua, ini agak menyusahkan," ujar penuntut jurusan undang-undang itu.

Herman turut bimbang jika terpaksa melanjutkan semesternya menerusi pembelajaran online yang pada pendapatnya "bukan suatu idea yang baik" kerana perbezaan waktu antara Singapura dan UK.

Jika kelasnya bermula pada jam 4 petang di sana, Herman perlu bersengkang mata pada 12 tengah malam di sini. 

SAMBUTAN TAHUN BARU 2022 BERBEZA TANPA PERINTAH BERKURUNG 

Meskipun kes baru di UK melonjak tinggi dan mencatatkan 189,213 kes baru COVID-19 pada Khamis (30 Dis), UK belum mengetatkan lagi langkah-langkah mengekang penularan virus itu menjelang tahun baru. 

Oleh itu, penuntut seperti Herman boleh mengubat rindu dengan meluangkan masa bersama rakan-rakannya dengan meneroka kawasan di sekitar kota Durham. 

"Seperti tahun dahulu, saya akan menyambut tahun baru dengan rakan-rakan Universiti saya tetapi untuk tahun ini, kami akan pergi melancong di tepi pantai yang tidak terlalu berjauhan daripada Universiti kami," kongsi Herman.

Jika tahun lalu, dia terpaksa menyambut tahun baru dalam serba sederhana akibat perintah berkurung.

"Kita akan mengadakan satu sesi berkumpul kecil di rumah kawan, makan bersama dan saya berharap kita juga boleh menyaksikan pertunjukan bunga api berhampiran pantai," menurut Herman. 

Namun, bagi anak watan Singapura ini, sambutan tahun baru di negara orang semestinya tidak sama dengan sambutan tahun baru di Singapura bersama keluarga dan rakan-rakan tersayang.

"Saya memang rindu keluarga, kawan-kawan dan makanan di Singapura. Ini memandangkan sudah dua tahun saya berada di sini tidak dapat pulang ke Singapura," kata mahasiswa itu. 

"Walaupun saya amat mencintai UK, hati saya berada di Singapura. Lagipun, keluarga saya yang baru sahaja melancong ke sini untuk berjumpa saya, sudah pun pulang jadi perasaannya lebih berat bagi saya," tambahnya lagi.

HARAPAN TAHUN BARU 2022 

Bagi kedua-dua mahasiswa tersebut, harapan tahun baru mereka serupa - agar keadaan COVID-19 bertambah lebih baik lagi.

"Saya ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua, terutamanya kawan-kawan dan keluarga saya," ucap Herman.

"Harapan saya untuk 2022 ialah agar ia berubah menjadi lebih baik, dan semua kekal gembira, sihat walafiat dan selamat dalam masa mencabar ini dan masa depan," tambahnya lagi.

Seperti Herman, Anisah juga berharap pada 2022, keluarga-keluarga di Singapura mahupun di perantauan diselamatkan daripada wabak penyakit ataupun musibah lain. 

"Saya harap kita semua selalu berada dalam keadaan aman dan makmur. Harapan saya juga agar semua jangan lelah dalam menuntut ilmu, terus maju dan meneroka seluruh aspek kehidupan dalam segi fizikal, mental dan rohani," menurut mahasiswa ini. 

"Marilah kita berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan seluruh ummah," tambahnya lagi. 

Jika tiada aral melintang, Anisah berharap dapat pulang ke Singapura selepas peperiksaannya pada Februari nanti manakala Herman pula pada Ogos 2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan