Skip to main content

Singapura

Dua syarikat TCM disiasat berhubung krim kulit mengandungi bahan ubat kuat

Dua syarikat perubatan tradisional Cina (TCM) kini disiasat berhubung satu krim kulit yang didapati mengandungi bahan ubat kuat yang boleh membawa kesan sampingan, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (23 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Dua syarikat TCM disiasat berhubung krim kulit mengandungi bahan ubat kuat

Krim Pi De Kang Dermatitis didapati mengandungi steroid (clobetasol) dan agen antikulat (miconazole). (Gambar: Penguasa Sains Kesihatan)

SINGAPURA: Dua syarikat perubatan tradisional Cina (TCM) kini disiasat berhubung satu krim kulit yang didapati mengandungi bahan ubat kuat yang boleh membawa kesan sampingan, menurut Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu (23 Jul).

Krim Pi De Kang Dermatitis, yang diimport oleh Da Zhong Tang dan dibekalkan oleh Chinese Medical Centre, didapati mengandungi steroid clobetasol dan agen antikulat yang dikenali sebagai miconazole.

HSA sudah mengarahkan kedua-dua syarikat TCM itu supaya menghentikan penjualan krim tersebut dan menjalankan penarikan balik produk bagi semua kelompok produk yang sudah diberikan kepada para pelanggan.

Pihak berkuasa itu menyatakan bahawa krim tersebut diuji susulan maklum balas daripada seorang pelanggan, dan kedua-dua firma sedang disiasat kerana mengimport dan membekalkan produk yang tercemar. Ia menambah bahawa proses penarikan balik kini sedang dijalankan.

Clobetasol propionate merupakan sejenis steroid kuat yang lazimnya diberikan untuk merawat keradangan kulit seperti ekzema kronik dan psoriasis. Ia hanya boleh digunakan di bawah pengawasan ketat pakar perubatan, menurut HSA.

Penggunaan krim yang mengandungi steroid tanpa pengawasan untuk jangka panjang boleh menyebabkan kulit menjadi tipis, manakala perbuatan berhenti menggunakannya secara mendadak selepas penggunaan berpanjangan pula boleh mengakibatkan gejala yang tidak diingini, menerusi rasa terbakar, kemerahan, kegatalan, kesakitan atau kulit menggelupas.

Steroid sedemikian juga boleh menyebabkan kesan sampingan apabila disapu pada permukaan kulit yang luas atau digunakan bagi tempoh yang lama. Ini termasuk tekanan darah tinggi, katarak, gangguan otot dan tulang, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom Cushing, yang dicirikan oleh wajah bulat seperti "bulan" dan obesiti pada bahagian atas badan dengan anggota badan yang kurus.

Kanak-kanak dan bayi lebih terdedah kepada kesan steroid dan oleh itu, berdepan risiko lebih tinggi mengalami kesan sampingan berkaitan steroid.

Miconazole pula digunakan untuk merawat jangkitan kulat, dan penggunaannya yang tidak sesuai boleh menyebabkan kerengsaan kulit, kegatalan, ruam dan rasa terbakar pada kulit.

HSA menasihatkan pengguna krim Pi De Kang Dermatitis agar berjumpa doktor secepat mungkin sekiranya mereka sedang menggunakannya, kerana pemberhentian penggunaan secara mendadak bagi krim yang mengandungi steroid tanpa pengawasan perubatan boleh memburukkan lagi keadaan kulit atau menyebabkan gejala penarikan steroid topikal.

Semua penjual dan pembekal mesti menghentikan penjualan krim tersebut dengan serta-merta, menurut HSA.

“HSA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjual dan membekalkan produk yang didapati tercemar dengan bahan-bahan yang kuat,” tambahnya.

Penjual dan pembekal boleh didakwa dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau didenda sehingga S$10,000.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita