Dua suspek kes pecah masuk rumah di Bukit Timah dibawa ke tempat kejadian
Dua daripada tiga warga asing yang didakwa pecah masuk sebuah rumah berhalaman di Bukit Timah dibawa ke tempat kejadian oleh polis pada Rabu (14 Mei).

Pegawai polis mengiringi Garcia Iglesias Hector Daniel di tempat kejadian pada 14 Mei 2025. (Gambar: CNA/Lauren Chian)
Ketiga-tiga suspek dituduh menceroboh masuk rumah di Dunearn Close itu pada kira-kira pukul 9.55 malam pada 9 Mei, dan melarikan wang tunai sebanyak S$684,800 dan beberapa barangan lain.
Sebuah van polis berwarna biru gelap yang membawa kedua-dua suspek tiba di tempat kejadian pada kira-kira pukul 1.40 tengah hari tadi.
Warga Mexico, Garcia Iglesias Hector Daniel, 51 tahun, yang memakai kemeja polo berwarna putih, seluar pendek berwarna biru gelap dan selipar adalah suspek pertama yang turun dari kenderaan itu.
Dia memakai pelitup muka dan digari pada bahagian lengan dan kaki.
Suspek diiringi tiga pegawai siasatan polis dan seorang jurubahasa wanita yang bertutur dalam Bahasa Sepanyol.
Para penyiasat menanyakannya beberapa soalan sebelum mereka masuk ke dalam rumah itu.
Garcia, dengan kepalanya tertunduk, dibawa keluar dari rumah itu selepas pukul 2.00 petang.
Tidak lama selepas itu, suspek kedua iaitu warga Mexico-Colombia Garces Murillo Mateo Andres, 48 tahun, turun dari van polis.
Sebelum memasuki rumah itu, para penyiasat menanyakannya beberapa soalan sambil memandang ke arah bukit di permulaan lorong berkenaan.
Dia diiring keluar daripada rumah itu pada kira-kira pukul 2.20 petang, di mana dia berhenti seketika untuk menjawab beberapa soalan daripada para penyiasat sebelum menaiki van.

Pada Ahad (11 Mei), polis mengatakan pihaknya dimaklumkan tentang kejadian pecah masuk di Cluny Park, Dunearn Close dan Eng Neo Avenue antara 9 dengan 10 Mei.
Polis merampas sebuah kereta, sebuah gergaji bundar, pelbagai barang kemas dan wang tunai berjumlah lebih S$6,000, €3,100 dan AS$6,400 daripada ketiga-tiga lelaki itu.
Ketiga-tiga suspek diberkas dalam tempoh 27 jam selepas kes pertama dilaporkan, menurut polis.
Mereka dikenakan satu tuduhan pecah masuk rumah. Jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.