Skip to main content

Singapura

Dua rakyat Singapura antara lapan yang ditangkap dalam serbuan dadah di hotel KL susuli kematian seorang lelaki

Anggaran Waktu Membaca:
Dua rakyat Singapura antara lapan yang ditangkap dalam serbuan dadah di hotel KL susuli kematian seorang lelaki

Media tempatan mengenal pasti lokasi serbuan itu sebagai sebuah hotel lima bintang di Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur. (Gambar fail: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 25 May 2026 05:25PM Dikemas Kini : 25 May 2026 05:26PM
KUALA LUMPUR: Polis Malaysia menahan lapan lelaki, termasuk dua rakyat Singapura, dalam serbuan di sebuah hotel Kuala Lumpur yang dikaitkan dengan aktiviti dadah yang disyaki selepas seorang tetamu tempatan meninggal dunia awal pagi Ahad (24 Mei).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Hoo Chang Hook, berkata operasi itu dijalankan selepas pihak berkuasa menerima laporan mengenai kematian seorang lelaki Malaysia berusia 31 tahun di Hospital Kuala Lumpur, lapor media tempatan.

Lelaki itu disahkan meninggal dunia di jabatan kecemasan hospital tempat dia dibawa dari sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral. Jalan Stesen Sentral terletak tidak jauh dari KL Sentral - hab transit terbesar di Malaysia.

Saluran berita tempatan The Star mengenal pasti premis itu sebagai sebuah hotel lima bintang.

“Bertindak atas maklumat risikan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menyerbu bilik hotel tempat si mati menginap pada jam 4 pagi,” kata Hoo dalam satu kenyataan pada Ahad, seperti yang ditukil oleh akhbar New Straits Times (NST).

Semasa serbuan itu, polis menahan lapan individu terdiri daripada pelbagai warga negara- termasuk dua rakyat Malaysia, dua rakyat Singapura dan seorang masing-masing dari Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.

“Polis juga merampas satu paket plastik lutsinar yang dipercayai mengandungi 1.5gram ketamin dan tiga pil disyaki ekstasi seberat 0.7gram, dengan nilai anggaran RM225 (S$72.69),” kata Hoo, seperti yang dutukil oleh The Star.

Kesemua lapan suspek ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya, lapor NST.

Mengulas mengenai kematian lelaki berusia 31 tahun itu, Hoo berkata pada Ahad bahawa bedah siasat sudah selesai, dengan laporan punca kematian masih menunggu keputusan makmal.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Hoo berkata siasatan awal mendapati mangsa dibawa turun dari bilik hotel oleh rakannya kira-kira jam 3.10 pagi selepas dia tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke jabatan kecemasan di Hospital Kuala Lumpur.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita