Skip to main content

Singapura

Dua projek terakhir tertangguh dek pandemik siap dibina; 17,000 flat BTO baharu tahun ini: HDB

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah selesai membina kesemua 92 projek Bina-Ikut-Tempah (BTO) yang tertangguh akibat pandemik, dengan dua projek terakhir dijangka selesai pada bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Jan 2025 01:15PM Dikemas Kini : 21 Jan 2025 12:45AM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah selesai membina kesemua 92 projek Bina-Ikut-Tempah (BTO) yang tertangguh akibat pandemik, dengan dua projek terakhir dijangka selesai pada bulan ini.

Pada tahun hadapan, HDB menyatakan pada Isnin (20 Jan) ia telah menepati jadual untuk selesai membina sekitar 17,000 flat baharu dari 27 projek.

Menyusuli lawatan ke Punggol Point Cove, iaitu salah satu projek yang tertangguh, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata walaupun pandemik mungkin ibarat kenangan silam bagi ramai orang, sektor binaan mengalami "kesan sampingan berpanjangan akibat COVID" disebabkan oleh langkah pemberhentian kerja yang belum pernah berlaku sebelum ini serta kesan terhadap rantaian bekalan, kos dan tenaga kerja.

"Dengan kerja keras semua dalam ekosistem pembinaan, kami dapat menyelesaikan pembinaan kesemua projek BTO HDB yang tertangguh akibat COVID," kata Encik Lee.

DUA PROJEK TERAKHIR YANG TERTANGGUH SUDAH SIAP

Di fasa kedua Punggol Point Cove, lima daripada enam blok siap dibina pada November dan Disember tahun lalu, manakala blok yang terakhir siap dibina pada awal bulan ini selepas tertangguh selama 12 bulan daripada tarikh asalnya.

Projek itu terdiri daripada 1,179 flat fleksi dua bilik, tiga, empat dan lima bilik daripada enam blok keseluruhannya.

Setakat 15 Januari, seramai 657 isi rumah atau 59 peratus daripada 1,109 unit yang ditempah telah mengambil kunci masing-masing.

Dilancarkan pada September 2019, projek BTO itu terjejas oleh gangguan berkaitan pandemik, termasuk penggantungan kerja-kerja binaan semasa tempoh sekatan pemutus litar atau 'circuit breaker' pada pertengahan tahun 2020 dan penukaran kontraktor.

HDB menamatkan khidmat CKR Contract Services pada Julai 2023 selepas syarikat itu "berkali-kali gagal memenuhi sasaran sewajarnya", menurut HDB.

Sebulan kemudian, Qingjian International (South Pacific) Group Development Co dilantik untuk menyelesaikan baki kerja yang tertunggak.

Ini menandakan penyelesaian kesemua flat dalam Daerah Punggol Point, termasuk fasa pertama projek-projek BTO Punggol Point Cove, Punggol Point Woods dan Punggol Point.

Ketiga-tiga projek itu siap dibina pada 2024.

Sementara itu di Kempas Residences yang terletak di kawasan Boon Keng, blok terakhir siap dibina pada pertengahan bulan ini, selepas ia tertangguh selama enam bulan daripada tarikh asalnya.

Setakat 15 Januari, sebanyak 37 isi rumah atau tujuh peratus daripada 555 unit yang ditempah telah mengambil kunci masing-masing.

Projek BTO yang terletak berhampiran Serangoon Road, Lavender Street dan Boon Keng Road mempunyai 583 unit fleksi dua bilik, tiga dan empat bilik merentasi empat blok perumahan.

Para pemilik rumah flat dalam fasa kedua Punggol Point Cove telah mengambil kunci masing-masing sejak November tahun lalu, manakala para penduduk Kempas Residences baru mula mendapatkan kunci masing-masing pada pertengahan bulan ini.

Menurut HDB, pemilik flat yang lain daripada kedua-dua projek yang baharu siap dibina itu akan dimaklumkan tidak lama lagi.

18,000 FLAT SIAP DIBINA PADA 2024

Menurut HDB, lebih 18,000 flat dari 22 projek BTO siap dibina pada tahun lalu.

Tujuh belas daripadanya merupakan projek yang tertangguh dek pandemik, manakala satu projek - Harmony Village @ Bukit Batok - mengalami sedikit penangguhan disebabkan oleh penukaran kontraktor.

Selebihnya lagi empat projek - Alkaff Breze, Champions Bliss, Parc Glen @ Tengah dan Grove Spring @ Yishun - dibina tanpa sebarang penangguhan, sekaligus mencerminkan pemulihan pasca pandemik yang stabil dalam industri pembinaan sejak 2023, menurut HDB.

Dua projek mempunyai masa menunggu lebih singkat di bawah tiga tahun iaitu Parc Glen @ Tengah dan Grove Spring @ Yishun.

Secara keseluruhan, mengambil kira tempoh penangguhan disebabkan oleh pandemik, masa menunggu bagi flat-flat dari kesemua 22 projek itu adalah sekitar dua hingga lima tahun.

Menurut HDB, terdapat 110 projek BTO yang masih dalam proses pembinaan.

Jumlah itu meningkat daripada 95 pada tahun lalu, disebabkan oleh kenaikan dalam bekalan BTO sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dengan penyelesaian projek-projek yang tertangguh akibat pandemik, kini tiada sebarang projek yang tertangguh dalam kalangan projek yang sedang dalam pembinaan," menurut HDB.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita