Skip to main content

Singapura

Dua penerima biasiswa MDDI ini ingin sumbang kepada keselamatan siber & komunikasi yang berkesan di SG

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Aug 2025 09:20PM Dikemas Kini : 14 Aug 2025 09:03AM

SINGAPURA: Seramai 81 penuntut dari berbilang jurusan dan latar belakang menerima biasiswa oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta lembaga-lembaga berkanun seliaannya dan agensi-agensi Keselamatan Siber (CSA), Agensi Teknologi Pemerintah (GovTECH), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada Selasa (12 Ogos).

Kerencaman dalam bidang pengajian yang diikuti para penerima biasiswa kali ini mencerminkan bidang kerja MDDI yang luas.

Dalam ucapannya, Menteri Negara Kanan, MDDI, Tan Kiat How berkata peranan kementerian itu akan menjadi lebih penting lagi dalam tahun-tahun mendatang.

Related article image
Menteri Negara Kanan, MDDI, Tan Kiat How. (Gambar: MDDI)

Ini sedang pemerintah berusaha untuk mempertingkatkan tahap kecekapan dan kesediaan para pegawai perkhidmatan awan dalam bidang digital, data dan kecerdasan buatan (AI).

"Pada asasnya, ia bukan sekadar tentang teknologi dan alat. Ia berkaitan dengan sikap dan pemikiran kita ^untuk bersikap terbuka terhadap teknologi,dengan dorongan untuk sentiasa memperbaiki cara kita melakukan sesuatu. Inilah DNA kita sejak dari awal era pengkomputeran dan pendigitalan. Rakyat Singapura perlu mendakap pemikiran dan sikap ini agar dapat meraih manfaat sepenuhnya daripada gelombang baharu teknologi AI," ucap Encik Tan.

"Rakyat Singapura perlu menghayati sikap dan pemikiran ini agar dapat meraih sepenuhnya manfaat daripada gelombang baharu teknologi AI. Walaupun penggunaan teknologi membawa potensi besar untuk pertumbuhan, terutamanya bagi ekonomi kecil dan terbuka seperti Singapura, kita juga harus berusaha memastikan teknologi tidak memburukkan jurang dalam masyarakat kita," tambah beliau.

Menurutnya lagi, terdapat 64,600 pegawai perkhidmatan awam kini yang menjadi pengguna aktif khidmat bantuan 'chatbot AI' yang dipanggil Pair.

Ini sekitar sepertiga daripada keseluruhan 150,000 pegawai perkhidmatan awam.

Jumlah itu meningkat daripada 50,000 berbanding Mei.

AHMAD SYU'AIB INGIN SUMBANG KEPADA LANDSKAP KESELAMATAN SIBER SG

Related article image
Penerima biasiswa, Ahmad Syu’aib Salim. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Biasiswa itu merupakan sebahagian daripada usaha bersama 'keluarga MDDI' untuk memupuk bakat dalam sektor-sektor teknologi, maklumat dan media bagi membangunkan keupayaan mereka untuk memimpin kerja-kerja pembangunan digital dan komunikasi pemerintah dalam sektor-sektor awam dan swasta.

Antara penerima biasiswa itu ialah Ahmad Syu’aib Salim, 23 tahun, yang menerima Biasiswa Sarjana Muda, 'Smart Nation'.

Pelajar tahun ketiga Universiti Nasional Singapura (NUS) itu kini mengikuti pengajian dalam peringkat Sarjana Muda (Kepujian) dalam Sains Komputer dengan Matematik.

Beliau memang berminat untuk mendalami ilmu dalam bidang keselamatan siber.

Menurutnya, bidang itu sangat penting khususnya dalam era di mana semakin ramai orang menggunakan peranti teknologi dan berkomunikasi dalam alam maya.

Biasiswa itu lantas membuka peluang baginya menyumbang kembali kepada masyarakat terutama dalam landskap keselamatan siber di Singapura selepas tamat pengajian.

"Saya amat berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam bagaimana sesuatu dibina atau dicipta, contohnya seperti laman web dan aplikasi mudah alih. Lantas, saya ingin mereka sebuah sistem yang lebih terjamin bagi penduduk Singapura untuk menggunakannya dengan lebih selamat," kongsi Encik Syu'aib kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Bagi saya, ini amat penting kerana ramai penduduk Singapura mempunyai akses kepada alam dalam talian melalui komputer dan telefon bimbit. Lantas, saya ingin mencipta sebuah persekitaran yang lebih selamat bagi mereka," tambahnya.

LANDSKAP DUNIA SIBER SENTIASA BERUBAH

Related article image
Penerima biasiswa, Ahmad Syu’aib Salim. (Gambar: MDDI)

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang keselamatan siber, Encik Syu'aib aktif menyertai beberapa program berkaitan bidang itu termasuk CSA CyberXperience serta melibatkan diri dalam menghasilkan aplikasi mudah alih 'Orbital' sebagai sebahagian daripada pembelajaran akademiknya.

"Saya dapat lihat banyak syarikat dan perniagaan yang inginkan laman web atau aplikasi mudah alih secepat mungkin agar dapat menggunakannya dan disebabkan ini, pembangun aplikasi mereka tidak menitikberatkan keselamatan siber dan lantas, terdapat banyak ruang yang boleh digunakan (oleh pihak tertentu) untuk menyerang," ujar Encik Syu'aib.

Selepas tamat pengajian, Encik Syu'aib berhasrat untuk terus mendalami ilmu dalam bidang itu agar dapat mempelajari dan memahami perkembangan terkini berkaitan landskap dunia siber yang sentiasa berubah.

MOHAMAD HEIKEL KHARSANI BURU IJAZAH SARJANA DI UK

Related article image
Penerima biasiswa, Mohamad Heikel Kharsani. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Di samping menarik dan membangunkan bakat-bakat muda, MDDI juga berusaha untuk membangunkan lagi keupayaan profesional dan khusus bagi pegawainya menerusi Biasiswa Possiswazah MDDI.

Antara sembilan penerimanya tahun ini ialah Encik Mohamad Heikel Kharsani, 40 tahun.

Meskipun sudah berkhidmat hampir 14 tahun dalam sektor perkhidmatan awam, beliau tetap gigih berusaha memperoleh ilmu baharu bagi mengasah dan memperkukuh kemahirannya.

"Saya berbesar hati dan bersyukur kerana menerima biasiswa ini. Ia amat bermakna kerana ia adalah satu pengesahan kerja keras saya selama ini dan juga satu pengesahan bagi kepercayaan orang lain terhadap potensi saya. Ia juga memberi saya motivasi dan semangat baharu untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan," kongsi Encik Heikel kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Dengan biasiswa itu, Encik Heikel akan ke United Kingdom untuk mengikuti pengajian peringkat Sarjana Sastera (MA) dalam Komunikasi Politik di Goldsmiths, Universiti London.

"Saya ingin berkembang secara profesional dan peribadi. Memandangkan situasi politik di seluruh dunia ini semakin berpecah-belah, sudah tiba masanya untuk saya menambah dan memperoleh ilmu dan kemahiran yang baharu untuk menjadi pakar komunikasi yang lebih mahir supaya saya dapat bekerja dengan lebih berkesan di pertengahan perkembangan global sekarang ini," menurut Pegawai Informasi itu.

"Saya menanti-nantikan (peluang) bertukar-tukar perspektif dan ilmu bersama rakan-rakan pelajar antarabangsa lain dan juga pakar-pakar di luar negara semasa pengajian saya nanti dan saya percaya itu boleh membantu saya meluaskan perspektif saya dan melakukan kerja saya dengan lebih berkesan lagi apabila kembali ke Singapura," tambah beliau.

INGIN SUMBANG KEPAKARAN DALAM KOMUNIKASI DI SG, DEKATI BELIA

Related article image
Penerima biasiswa, Mohamad Heikel Kharsani. (Gambar: MDDI)

Buat masa ini, Encik Heikel berkhidmat di Jabatan Strategik Komunikasi dan Media di Kementerian Undang-Undang serta memegang jawatan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Undang-undang.

"Selepas pengajian, saya berhasrat untuk kembali dan berharap saya dapat menjadi pakar komunikasi yang lebih mahir dan melakukan kerja-kerja harian saya dengan lebih berkesan seperti menukil mesej-mesej yang lebih berkesan supaya rakyat Singapura dapat memahaminya dengan lebih ringkas apa yang mahu disampaikan oleh pihak pemerintah," ujar beliau.

Dengan mesej-mesej yang berkesan itu, Encik Heikel percaya ia dapat memperkukuhkan lagi kepercayaan antara rakyat Singapura dan juga pihak pemerintah.

Ini juga diharap dapat dilakukannya dengan mendekati golongan belia.

Encik Heikel berkata: "Saya berharap saya dapat memainkan peranan untuk memperbaiki komunikasi daripada pihak pemerintah kepada rakyat Singapura terutama warga-warga muda kerana kebanyakan daripada mereka mendapatkan berita daripada platform online. Mendekati mereka amat penting kerana mereka adalah masa hadapan Singapura."

Beliau akan memulakan pengajiannya pada 19 September ini dan dijangka dapat menamatkannya dalam masa setahun.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita