Dua penerima Anugerah Tuisyen Bersama Kumpulan Bantu Diri 2025 ini hargai sokongan, bimbingan tutor
SINGAPURA: Jumlah penerima Anugerah Tuisyen Bersama Kumpulan Bantu Diri tahun ini meningkat 13 peratus berbanding tahun lalu.
Seramai 1,717 pelajar cemerlang diraikan dalam majlis penyampaian anugerah bagi edisinya yang ke-22.
Ia mengiktiraf pelajar-pelajar cemerlang daripada Yayasan MENDAKI, Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (SINDA), Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC) dan Persatuan Serani (EA).
Majlis itu diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Negara Pendidikan Jasmin Lau dan diadakan di Pusat Konvensyen Politeknik Ngee Ann pada Sabtu (30 Ogos).
IRDIENNA QIR'RANA PELAJAR CEMERLANG KATEGORI PSLE (ASAS)
Antara pelajar cemerlang kali ini ialah Irdienna Qir'rana Mohammad Kamaruzaman, 13 tahun yang menerima anugerah dalam kategori PSLE (Asas).
Bagi Irdienna, perjalanan menuju kejayaan itu bukanlah mudah.
Pada awalnya, dia menghadapi pelbagai cabaran akademik termasuk kesukaran dalam membaca, membuat perkiraan dan pemahaman.
Irdienna juga dimasukkan dalam program Sokongan Pembelajaran Matematik (LSM), dan mendaftar bagi Program Tuisyen MENDAKI (MTP) semasa Darjah 1.
Dia berkata: "Cabaran utama yang saya hadapi adalah dalam subjek Matematik dan Sains. Setiap kali saya berasa keliru, tutor MTP sentiasa membantu saya memahami topik-topik yang diajar dengan sabar dan jelas."
Dengan sokongan para tutor dan kerja kerasnya sendiri, Irdienna berjaya mengatasi segala rintangan dan meraih keputusan PSLE di luar jangkaan.
Dia kini merupakan satu-satunya pelajar dari aliran asas di kelas sekolah menengahnya di CHIJ St. Joseph Convent; yang lainnya daripada aliran standard.
"Saya berasa amat gembira kerana hasil usaha saya telah membuahkan kejayaan yang membuat ibu bapa saya berasa bangga. Kejayaan ini juga memberi saya keyakinan untuk terus berusaha gigih di sekolah menengah, dengan sokongan berterusan daripada tutor MENDAKI," ujar Irdienna.
MUHAMMAD DANISH PENERIMA KATEGORI PELAJAR TERBAIK KESELURUHAN GCE N
Seperti Irdienna, penerima kategori Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi Peringkat GCE N, Muhammad Danish Mohamed Samsudin turut menghargai peranan yang dimainkan oleh tutornya.
Danish merupakan antara 16 penerima Pelajar Terbaik Keseluruhan tahun ini.
Berkat usaha gigihnya serta bimbingan oleh tutor MTP, Encik Kanayson Punya Chandra, keputusan peperiksaan Matematik Danish naik daripada gred 6 kepada 1 dalam masa kurang setahun sahaja.
"Encik Chandra telah menolong saya menyelesaikan masalah dalam subjek Matematik. Beliau juga mencipta soalan-soalan bagi topik yang saya kurang baik. Melalui program MTP, saya memperoleh kenangan baharu dan berjaya meningkatkan gred Matematik saya daripada 6 kepada 1," kongsi Danish kepada BERITA Mediacorp.
"Saya berasa amat bangga dan gembira kerana usaha keras saya membuahkan hasil. Anugerah ini akan mendorong saya untuk terus bekerja keras di Politeknik," tambah bekas pelajar Sekolah Menengah Bedok Green itu.
Pelajar berusia 17 tahun itu kini sedang melanjutkan Diploma dalam Kejuruteraan Komputer di Politeknik Temasek.
"Cita-cita saya adalah untuk menjadi jurutera komputer atau perisian di syarikat seperti Apple atau Google," kata Danish.
LEBIH 700 PELAJAR MTP TERIMA ANUGERAH TUISYEN BERSAMA TAHUN INI
Menurut Timbalan Pengarah 'Perform in School' Yayasan MENDAKI, Encik Fairoz D'Cruz, MENDAKI akan terus bekerja rapat dengan badan-badan lain untuk mendampingi para pelajar.
"Tahun ini, lebih 700 pelajar MTP menerima Anugerah Tuisyen Bersama setelah meraih keputusan cemerlang atau menunjukkan peningkatan dalam gred peperiksaan PSLE dan GCE. Ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan ibu bapa dan bantuan pendidikan awal," kongsi Encik Fairoz.
"Bersama badan bantu diri lain, MENDAKI akan terus bekerja rapat dengan sekolah dan para guru untuk menawarkan pelbagai program pendidikan, termasuk tuisyen, sesi bimbingan Matematik secara individu dan pemantauan kerja rumah yang sekaligus membina kemahiran pelajar dan memupuk interaksi," tambahnya.
Dalam ucapannya pula, Cik Lau mengingatkan pelajar bahawa kejayaan tidak dicapai secara sendirian.
“Di sebalik setiap kejayaan pelajar ialah rangkaian sokongan – ibu bapa yang memupuk, tutor yang membimbing dan masyarakat yang kisah dan memperkasa," ucap Cik Lau.
"Sambil kita meraikan pencapaian para pelajar hari ini, mari kita mengingati kepentingan memupuk individu yang menyeluruh. Saya menggalak semua ibu bapa untuk terus menyokong bukan sahaja pertumbuhan akademik anak-anak anda bahkan juga watak, nilai, dan kesejahteraan emosi mereka. Ini adalah asas kejayaan jangka masa panjang dalam kehidupan," tambah beliau.
Sejak dianjurkan pada 2004, Anugerah Tuisyen Bersama merupakan acara tahunan yang meraikan pencapaian akademik pelajar Program Tuisyen Bersama (CTP) dalam peperiksaan PSLE, peringkat GCE N dan O.
Ia hasil kerjasama empat badan bantu diri terdiri daripada MENDAKI, CDAC, EA dan SINDA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.