Skip to main content

Singapura

Dua pemegang pas kerja dihukum penjara, gunakan ijazah palsu

Dua warga India dihukum penjara atas kesalahan memberi ijazah palsu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam permohonan pas kerja mereka, kata kementerian itu pada Selasa (27 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Dua pemegang pas kerja dihukum penjara, gunakan ijazah palsu

Universiti Manav Bharti. (Gambar: Manav Bharti University/Facebook)

Diterbitkan : 27 Jul 2021 11:28PM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 11:31PM

SINGAPURA: Dua warga India dihukum penjara atas kesalahan memberi ijazah palsu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam permohonan pas kerja mereka, kata kementerian itu pada Selasa (27 Jul).

Bailwal Sunil Dutt dijatuhi hukuman penjara satu minggu manakala Sutradhar Bijoy dikenakan hukuman empat minggu penjara.

Pas kerja mereka sudahpun ditarik balik dan mereka kini dilarang bekerja di Singapura buat selamanya, kata MOM.

Selain itu, MOM mendakwa seorang lagi pemegang pas kerja dari India, Bhandare Raghavendra, atas kesalahan yang sama.

MOM menjalankan siasatan sejak Februari lalu ke atas 23 warga asing yang meletakkan kelayakan dari Universiti Manav Bharti (MBU) dalam permohonan pas pekerjaan mereka.

MOM menyatakan dalam kalangan individu-individu yang lain, 19 dilarang bekerja di Singapura buat selamanya manakala siasatan masih dijalankan buat seorang lagi.

Siasatan dilancarkan di Singapura setelah MOM dimaklumkan bahawa pemerintah India sedang menyiasat MBU yang disyaki menjual ijazah palsu. MBU adalah institusi bertauliah yang ditubuhkan pemerintah India pada 2009 dan mengeluarkan ijazah-ijazah tulen, kata MOM.

Dua individu yang didapati bersalah itu bekerja sebagai tukang masak dan penolong pengurus gudang di Singapura.

DUA PESALAH

Dutt membuat permohonan bagi Pas S pada Disember 2020 untuk menjadi tukang masak di restoran Al Capone. Dalam permohonannya, Dutt menyatakan dia mempunyai ijazah sarjana muda sastera dari MBU.

Bijoy membuat pengisytiharan yang sama dalam permohonannya pada 2015. Dia memerlukan Pas S untuk bekerja sebagai penolong pengurus gudang di Lye M S Trading.

Menurut dokumen mahkamah, Dutt pada awalnya berdaftar di Universiti Hemwati Nandan Bhaguna pada 2010 tetapi terpaksa menarik diri atas sebab kewangan.

Seorang kenalannya yang dikatakani juga kakitangan di MBU kemudian memberitahu Dutt bahawa dia boleh mendapatkan ijazah dari MBU dengan sekadar membayar sejumlah wang dan tanpa perlu menghadiri kelas.

Antara 2011 dan 2013, Dutt membayar 3,000 rupee (sekitar S$55) setiap enam bulan kepada kenalannya itu, yang kemudian membayar MBU atas namanya. Dutt diberi sijil ijazah sekitar 2013, bersama pelbagai transkrip akademik lain.

Bijoy pula diberitahu bahawa dia memerlukan kelulusan ijazah jika ingin menerima gaji lebih tinggi di Singapura. Menerusi seorang ejen, Bijoy mendapatkan sijil ijazah palsu dari MBU pada harga 40,000 rupee (sekitar S$730).

Pada lewat 2014, Bijoy menerima sekeping ijazah dengan tarikh 28 Sep 2008 di samping transkrip akademik lain yang menunjukkan bahawa dia menuntut di MBU antara 2006 dan 2008.

Dia kemudian memohon pekerjaan di Singapura menggunakan kelulusan palsu itu. Lewat tahun lalu, Bijoy membuat pengisytiharan palsu itu lagi dalam permohonan pembaharuan untuk pekerjaannya sebagai penolong pengurus gudang.

Dia dibayar gaji bulanan antara S$2,600 dengan S$3,000 semasa bekerja di Singapura.

8 PEKERJA ASING DIHUKUM SETIAP TAHUN

MOM menyatakan ia akan terus mengambil langkah-langkah tegas untuk melindungi integriti rangka kerja pas pekerjaan.

Sebarang perisytiharan palsu adalah satu kesalahan di bawah Akta Pengambilan Tenaga Kerja Asing. Kesalahan itu membawa denda sehingga S$20,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pas pekerja pesalah juga akan ditarik balik dan mereka diharamkan bekerja di Singapura buat selamanya.

Sepanjang lima tahun lalu, MOM mengesan secara purata 660 warga asing setiap tahun atas kesalahan memberi kelulusan pendidikan palsu dalam permohonan pas kerja mereka. Sepanjang tempoh yang sama, purata lapan warga asing dihukum atas kesalahan sedemikian setiap tahun.

MOM menyatakan pihak majikan mempunyai tanggungjawab utama untuk pastikan kesahihan dan mutu kelayakan akademik calon-calon yang ingin diambil bekerja.

"Walaupun MOM mengadakan pemeriksaan berdasarkan risiko ke atas kelulusan yang diisytiharkan dalam permohonan pas kerja, sukar untuk mengesan institusi seperti Universiti Manav Bharti, yang ditauliahkan pihak pemerintah asing dan mengeluarkan ijazah tulen di samping menjual yang palsu," kata jurucakap kementerian itu.

"Walau bagaimanapun, MOM secara kerap menyemak dan memperkukuhkan langkah-langkah untuk menjaga kewibawaan rangka kerja pas kerja kami. Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba mencabul sistem."

Sebagai langkah perlindungan tambahan, MOM juga memeriksa kelulusan yang diisytihar dalam permohonan pas kerja menerusi pangkalan data institusi-institusi.

Individu yang menyerahkan permohonan pas kerja berisiko lebih tinggi, seperti mengandungi kelulusan dari institusi yang tidak didapati dalam pangkalan data, atau dipilih untuk analitik data, perlu memberi bukti pengesahan daripada organisasi pemeriksaan pihak ketiga.

Apabila MOM mengesan kelulusan yang palsu, ia menolak permohonan itu dan menghalang warga asing itu daripada mendapatkan pekerjaan di Singapura buat selamanya.

Menurut MOM, pihaknya sedang menyemak senarai penyedia khidmat pengesahan yang diluluskan serta keperluan bagi lebih banyak majikan untuk menyerahkan bukti pengesahan kelulusan bagi menyokong permohonan pas pekerjaan.

Sumber : CNA/IH/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita