Skip to main content

Singapura

Dua pemandu van korban masa keluarga, tawar khidmat pengangkutan di Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
Dua pemandu van korban masa keluarga, tawar khidmat pengangkutan di Aidilfitri

Encik Ryan Fahmie Sahari, 25 tahun, menawarkan khidmat pengangkutan bersama pemandu secara tetap sejak awal 2024, sebelum memperluaskan perkhidmatan itu pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri sejak 2025. (Gambar: Ryan Fahmie Sahari)

SINGAPURA: Takbir bergema, kuih-muih tersusun rapi, pintu rumah terbuka luas menyambut kunjungan sanak saudara dan semua saling bermaafan.

Namun di tengah-tengah kemeriahan itu, ada ruang yang tidak terisi dalam sebuah keluarga lima beranak.

Ruang itu sepatutnya diisi oleh anak bongsu, Encik Ryan Fahmie Sahari, 25 tahun.

Walaupun sempat bersama keluarga pada pagi Aidilfitri menunaikan solat sunat, menikmati juadah dan bersalaman, Encik Fahmie tidak kekal lama di flat empat biliknya.

Ini kerana beliau sudah pun berada di belakang stereng van mini 13 tempat duduk miliknya sendiri.

Bukan untuk beraya bersama ahli keluarga, malah membawa pelanggannya dari satu rumah ke satu rumah.

Di bawah syarikatnya sendiri, RnF Transport, Encik Fahmie menawarkan khidmat pengangkutan bersama pemandu secara tetap sejak awal 2024, sebelum memperluaskan perkhidmatan itu pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri sejak 2025.

“Biasanya mereka yang menggunakan khidmat saya kerana mereka nak himpunkan seluruh ahli keluarga dan bergerak bersama. Dalam kalangan mereka juga ada yang berusia dan tidak mempunyai kemudahan pengangkutan,” kongsi Encik Fahmie yang sebelum ini bekerja sebagai penghantar makanan selepas Perkhidmatan Negara (NS).

Menurutnya, jumlah tempahan tahun ini hampir sama seperti tahun lalu, dengan kebanyakan pelanggannya terdiri daripada pelanggan berulang yang mengenali perkhidmatannya melalui media sosial.

“Tempahan lazimnya minimum enam jam, malah ada yang mencecah sehingga 12 jam dalam sehari,” kata Encik Fahmie.

Walaupun perlu memandu dalam tempoh yang panjang, merentas dari timur ke barat Singapura untuk membawa keluarga beraya, setiap perjalanan itu sering mengingatkannya kepada sesuatu yang lebih dekat di hatinya.

“Bagi saya, ia mengingatkan kembali kenangan lama bila lihat kanak-kanak seronok beraya, terima duit raya, dan seluruh ahli keluarga dapat berkumpul dan bergelak tawa dalam satu kenderaan,” ujar Encik Fahmie.

Namun, tidak setiap hari pada bulan Syawal dipenuhi tempahan.

“Pada hari-hari yang lebih lengang, saya mengambil peluang untuk meluangkan masa beraya bersama keluarga pula,” tambahnya.

Kadar bayaran pula mengikut jam, dengan harga lebih tinggi dikenakan pada hari pertama Hari Raya memandangkan permintaan yang tinggi dan kekurangan pemandu.

Selain itu, peningkatan kos bahan minyak juga mendorongnya untuk membuat sedikit pelarasan harga.

Meskipun ia merupakan pilihannya sendiri untuk bekerja, Encik Fahmie mengakui ada rasa yang sukar diungkapkan apabila tidak dapat meluangkan Hari Raya sepenuhnya bersama keluarga.

Namun, beliau tetap merasakan kehangatan Aidilfitri dalam cara yang berbeza.

“Kadang-kadang pelanggan ajak saya beraya bersama mereka, ada yang bawakan kuih-muih dan bungkuskan lauk raya untuk saya. Mereka menganggap saya macam sebahagian daripada keluarga mereka,” ujar beliau.

Namun, Encik Fahmie bukan satu-satunya yang memilih untuk bekerja pada musim perayaan.

TEMPAHAN KHIDMAT PENGANGKUTAN MENINGKAT PADA MUSIM RAYA TAHUN INI

Bagi Encik Muhd Taufiq Abdul Aziz, 38 tahun, bekerja pada Hari Raya merupakan satu pengorbanan yang dibuat demi mencari rezeki untuk isteri dan tiga orang anaknya.

Dengan nada tenang, Encik Taufiq berkata: “Saya mendapatkan persetujuan daripada keluarga terlebih dahulu dan anak-anak faham. Mereka tahu ayah kerja untuk cari rezeki."

Dalam sehari, beliau bekerja sehingga 10 hingga 13 jam, membawa beberapa keluarga untuk menziarahi sebanyak 10 rumah.

Menurut Encik Taufiq, permintaan terhadap perkhidmatannya meningkat tahun ini, dengan lima tempahan pada hari pertama Hari Raya dan lima lagi pada hari kedua, berbanding hanya tiga tempahan yang diterimanya tahun lalu.

Sepanjang hujung minggu pula, perkhidmatannya penuh ditempah, dengan setiap tempahan lazimnya berlangsung antara 10 hingga 13 jam sehari.

Bagi memenuhi permintaan yang meningkat, Encik Taufiq membahagikan tempahan kepada rangkaian kenalannya yang turut menawarkan khidmat serupa.

Kadar bayaran pula lebih tinggi pada hari pertama dan kedua Hari Raya, iaitu sekitar $60 sejam berbanding kadar biasa $55 sejam.

“Untuk Hari Raya, tempahan biasanya dibuat lebih awal, ada yang sebulan sebelum. Tapi masih ada juga yang pada saat terakhir,” katanya.

“Secara purata, pelanggan memperuntukkan sekitar 45 minit hingga satu jam bagi setiap kunjungan, dengan sekitar dua jam diperuntukkan untuk perjalanan pergi dan pulang,” kongsinya yang memulakan perkhidmatan pemandu ini sejak 2023.

Related article image
Pelanggan Encik Muhd Taufiq Abdul Aziz pada Hari Raya kedua. (Gambar: Muhd Taufiq Abdul Aziz)
Melalui platform media sosial seperti TikTok, Encik Taufiq membina rangkaian pelanggan dari kosong, dan kini, syarikantnya, TXA Transport Services, menerima tempahan tinggi terutama semasa musim perayaan.

Sebelum ini, Encik Taufiq berkecimpung dalam perniagaan agensi pembantu rumah bersama keluarga selama enam tahun.

Walaupun ada rasa sedih kerana Hari Raya hanya disambut setahun sekali, beliau melihat pekerjaan itu sebagai satu tanggungjawab.

“Ada keluarga di luar sana yang perlukan pengangkutan. Kita bantu mereka supaya boleh beraya dengan lebih mudah,” katanya.

Melalui perkhidmatannya, Encik Taufiq berharap ia dapat membantu memastikan setiap keluarga dapat berkumpul dan menyambut Hari Raya bersama.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita