Skip to main content

Singapura

Dua pemandu SG kongsi pengalaman daftar tag RFID - perlu tunggu lama dan proses mengelirukan

Tinggal kira-kira dua minggu sebelum Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober untuk semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia dari Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Dua pemandu SG kongsi pengalaman daftar tag RFID - perlu tunggu lama dan proses mengelirukan

Dua pemandu SG, Encik Kamaludeen (kiri) & Cik Suzana (kanan) kongsi pengalaman daftar tag RFID VEP. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Tinggal kira-kira dua minggu sebelum Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) mula dikuatkuasakan pada 1 Oktober untuk semua kenderaan asing yang memasuki Malaysia dari Singapura.

Para pemandu kini mempunyai tiga pilihan untuk mendapatkan tag VEP: mengambilnya sendiri di Johor Bahru, menerimanya melalui kiriman pos, atau mengambilnya dari kaunter maklumat VEP di Woodlands sejak Khamis lalu (12 Sep).

Namun, ramai pemandu mengeluh tentang kesukaran, kekeliruan, dan proses permohonan yang lama.

Dua pemandu berkongsi pengalaman mereka dengan wartawan Nazirah Jamzuri mengenai cabaran dalam pendaftaran tag RFID VEP.

PROSES MENDAFTAR TAG VEP TIDAK MUDAH

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Selepas berbulan-bulan menunggu, Encik Kamaludeen J.M.M Muthalib, 60 tahun, akhirnya menerima tag VEP melalui pos.

Namun, proses pendaftarannya tidak mudah.

Walaupun mendaftar seawal 31 Mei, beberapa hari selepas pengumuman tentang tag VEP diumumkan, permohonan beliau hanya diterima selepas lebih dua bulan.

"Prosesnya ingin cakap senang tidak senang tetapi susah sedikit sahaja kerana kadangkala kita tidak faham apa yang diperlukan. Saya sudah serahkan dokumen-dokumen yang diperlukan semua (namun) lepas itu ada kesalahan," kongsi Encik Kamaludeen kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Mereka hantar satu emel, beritahu apa kesilapan saya. Katanya dokumen yang terdahulu itu tidak lengkap. Jadi sekarang saya perlu menghantar dokumen sekali lagi iaitu Kad Log Kenderaan saya dari Penguasa Pengangkutan Darat (LTA). Selepas itu, saya menunggu lagi tiga hingga empat minggu baru saya mendapat jawapan. Mereka kata semua sudah betul dan lengkap," tambah beliau.

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Sebelum 12 September, pemandu mempunyai dua pilihan untuk mendapatkan tag mereka: mengambilnya sendiri di pusat pengambilan VEP di Danga Bay, Johor Bahru, atau menerima tag melalui kiriman pos.

Bagi mereka yang menerima tag menerusi kiriman pos, mereka perlu memasangnya sendiri pada lampu depan kiri.

PILIH TERIMA TAG MENERUSI KIRIMAN POS; ELAK MENUNGGU DI JOHOR

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Oleh kerana tidak sanggup ke Johor, Encik Kamaludeen memilih untuk menerima tag tersebut melalui pos.

"Dahulu pada tahun 2019, saya pernah ada VEP yang lama. Saya pergi ke tempat itu untuk dipasangkan dan (keadaannya) kecoh. Saya habiskan masa mungkin setengah hari untuk tag itu dipasang di atas cermin depan kereta. Jadi sekarang saya tidak ingin membuat begitu," jelas Encik Kamaludeen.

"Saya ingin memilih jalan yang senang, kiriman pos sahaja. Saya juga ada lihat di laman media sosial bagaimana untuk memasang sendiri. Semua nampak mudah. Jadi saya pilih sahaja jalan ini yang mudah sekali," kata beliau.

Proses pemasangan sangat mudah dengan arahan yang disediakan, dan hanya memerlukan masa kurang dari lima minit.

ADA PEMANDU PILIH KE JOHOR AMBIL TAG VEP YANG AKAN DIPASANGKAN KAKITANGAN DI SANA

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Cik Suzana Jorami, 51 tahun, pula memilih untuk mengambil tag VEP secara peribadi di kaunter VEP di Johor Bahru.

Beliau merasa lebih terjamin kerana kakitangan di situ akan membantu memasang tag itu pada kenderaannya.

Tidak kira cara pengambilan tag, pemandu tetap perlu melakukan "pengakuan tag" mengikut panduan yang disediakan.

Mereka akan segera dimaklumkan setelah tag mereka diaktifkan.

"Saya tidak ingin memilih kiriman pos sebab pertama, saya takut hilang sebab kalau hilang nanti susah untuk mendaftar lagi. Kedua, saya tidak yakin untuk memasangnya, (tidak tahu) betul atau tidak.

Ketiga, ia perlu dipasang di luar di lampu depan. Jadi kita tidak tahu tentang risiko yang ada di sana sebab itu saya sanggup hadapi kesesakan dua jam dalam perjalanan dan dua jam di pusat pengambilan, jadi lebih empat jam," ujar beliau.

(Gambar: Nazirah Jamzuri)

PROSES MENDAFTAR TERUS JADI CABARAN UNTUK PEMANDU

Seperti Encik Kamaludeen, beliau juga mendapati proses pendaftaran mencabar.

Walaupun memohon pada 29 Mei, beliau tidak mendapat maklum balas mengenai kesilapan pada salah satu dokumen yang dimuat naik sehingga mendapatkan bantuan seorang rakan yang menghubungi pejabat VEP.

"Kita semua memberi nombor lesen kereta kami kepadanya dan menyuruhnya untuk memeriksakan satu persatu. Dan saya mendapat tahu untuk permohonan saya, saya tersalah memuat naik kad log. Kemudian, saya membuat apa yang mereka mahu dan lepas itu tiada berita juga. Jadi saya hanya menunggu sahaja.

"Dua minggu kemudian, apabila rakan sekerja saya menghubungi talian itu lagi, saya menumpang tanya untuk memeriksa status. Langsung pegawai itu berkata ia sedang dalam proses dan menyuruh kami tunggu. Saya tunggu sehingga bulan Julai dan saya mendapat emel yang memaklumkan bahawa tag VEP saya itu sudah sedia untuk diambil," jelas Cik Suzana.

Beliau akhirnya buat temu janji ke Johor untuk mendapatkan tag itu pada 18 Ogos.

Terdapat juga cabaran lain, antaranya bagi pemilik kereta terpakai, dalam pemindahan bagi VEP daripada pemilik sebelumnya.

SISTEM PENDAFTARAN TIDAK BEGITU "MESRA PENGGUNA"

(Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Pada pandangan saya, pengambilan tag itu adalah kebimbangan yang terakhir kerana yang memeningkan kepala ialah aplikasinya.

Ramai orang bertanya bagaimana untuk mendaftar, apa yang perlu dimuat naik dan kenapa ada kesilapan begini? Jadi saya cuba untuk menasihatkan mereka tetapi nampaknya mereka masih tersangkut dengan langkah seterusnya. Jadi saya rasa sistem itu juga tidak begitu 'user-friendly' atau mesra pengguna," ujar Cik Suzana.

Sejauh ini, Cik Suzana dan Encik Kamaludeen berkongsi bahawa tag VEP mereka masih belum diaktifkan lagi.

Sejak 12 September, para pemandu Singapura boleh mengambil tag masing-masing dari kaunter maklumat VEP di Woodlands.

Namun, ramai yang mengalami pelbagai masalah, termasuk kesulitan dalam pembayaran online dan kesukaran membatalkan pendaftaran VEP untuk kenderaan terpakai.
Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita