Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua pemain professional e-sukan Valorant didakwa tetapkan keputusan perlawanan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dua pemain profesional e-sukan didakwa pada Jumaat (5 Ogos) atas kesalahan menetapkan keputusan perlawanan di kejohanan Valorant pada 2020, selepas pihak penganjur mendapati mereka meletakkan taruhan terhadap pasukan lawan.

Dua warga Singapura itu, Malcolm Chung Wai Kiat, 24 tahun, dan Tan Shern Ryan, 20 tahun, masing-masing, dikenakan dua tuduhan melibatkan rasuah dan judi jarak jauh secara haram.

Pasangan tersebut merupakan anggota pasukan Resurgence yang bersaing dalam permainan video menembak itu. Chung menggunakan nama pemain "Germsg" manakala, Tan pula "Dreamycsgo".

Semasa di kejohanan Piala Asia Tenggara Siri Valorant Ignition Epulze Royal pada 2020, pasukan yang berpangkalan di Singapura itu menentang pasukan Jepun, Blackbird Ignis pada 22 September.

Tan didakwa memberi Chung S$3,000 untuk meletakkan taruhan dalam laman web perjudian 12Play dan berjanji akan memberi Chung sebahagian daripada hasil kemenangan kerana menetapkan keputusan perlawanan itu.

Resurgence kalah kepada Blacknird Ignis, 0-2.

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Tan didakwa menyerahkan wang kepada Chung menerusi seseorang bernama Tan Shuen Brendan, walaupun masih tidak jelas sama ada Tan akan turut didakwa.

Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), yang mengemukakan dakwaan terhadap Chung dan Tan, enggan mengulas sama ada Tan Shuen Brendan akan turut didakwa, memandangkan kes sekarang sedang dibicarakan.

Selepas perlawanan itu, timbul tuduhan berlaku penetapan keputusan perlawanan dan Riot Games, yang menganjurkan kejohanan Siri Valorant Ignition dengan kerjasama penganjur lain, melancarkan siasatan.

Dalam satu kenyataan pada Jun 2021, pemaju permainan Amerika itu berkata siasatan mendapati Chung memberitahu pemain Resurgence yang lain mengenai taruhannya.

"Riot mendapati pemain Resurgence yang lain enggan sengaja kalah dalam perlawanan itu, tetapi dengan sengaja menyembunyikan isu dari pengurusan dan (penganjur perlawanan) pegawar Valorant Esports kerana mereka bimbang hukuman dan risiko terhadap kontrak bersama Resurgence," ujarnya.

Berikutan perlawanan itu, Chung cuba membayar anggota pasukan lain namun, mereka menolak pembayaran itu, kata Riot Games. Pasukan itu dibubarkan pada Oktober 2020.

Chung dan Tan diharamkan daripada menyertai kejohanan Valorant selama 36 bulan, manakala empat anggota pasukan lain digantung bermain antara enam bulan dan satu tahun.

Jika sabit kesalahan kerana rasuah, Tan dan Chung boleh dikenakan denda sehingga S$100,000 setiap seorang, dipenjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya.
Sumber : CNA/SS/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan