Skip to main content

Singapura

Dua pelajar politeknik ini sudah ada perniagaan kafe sendiri, imbangi masa dengan sekolah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Meskipun baru berusia 17 tahun dan masih menuntut di politeknik, Qays Zara Muhammad Farid dan rakan baiknya, Aesha Ai Jia Patel sudah bergelar pengasas sebuah kafe.

Mereka memulakan perniagaan kafe yang dinamakan ‘Siesta’ pada 20 September tahun lalu.

Antara sajian utama yang ditawarkan kafe itu ialah roti bakar ataupun ‘toasties’ dan pelbagai minuman istimewa.
Gambar: Siesta
Qays Zara menjelaskan kepada wartawan Nur Syafeera Sofian bahawa ia semua bermula apabila beliau bekerja di restoran Overrice.

Setelah berkhidmat selama setahun setengah, beliau meraih kepercayaan pemilik restoran itu, Megan Lim. Beliau juga dianggap sebagai antara pekerja terbaik di situ.

Dari situ, Cik Lim dan pihak pengurusan menyedari ketekunan dan semangat Qays serta melihat potensi yang ada dalam dirinya.
Gambar: Siesta
“Mereka melihat bahawa saya seorang yang bersemangat apabila bekerja dan saya mempunyai etika kerja yang baik,” kata Qays.

Oleh itu, Cik Lim memberikan Qays peluang untuk mengubah ruang di tingkat dua restoran Overrice menjadi sebuah kafe yang kini dinamakan ‘Siesta.’

Kesemua kos operasi perniagaan ditanggung oleh Overrice.

KAWAN SEJAK SEKOLAH MENENGAH

Qays memilih tema "rasa selesa seperti di rumah" sesuai dengan nama kafe ‘Siesta’.

Menurutnya, 'Siesta' bermaksud ‘rehat’ dalam bahasa Sepanyol.

Setelah mendapat kepercayaan itu, Qays meminta Aesha, rakan baiknya sejak sekolah menengah, untuk membantunya dalam perniagaannya.

“Sebab utama mengapa saya memilih Aesha ialah kerana dia mahir dalam rekaan digital dan dia seseorang yang boleh membuat kerjanya dengan baik,” jelas Qays.

Pada mulanya, Aesha hanya membantu mereka menu dan logo kafe. Namun, beliau kini cuba melakukan lebih daripada itu.

“Saya tidak sangka saya akan terlibat sebagai seorang pengasas, tetapi akhirnya kita menjalankan perniagaan bersama,” kata Aesha.

IMBANGKAN MASA URUSKAN KAFE DENGAN SEKOLAH

Menguruskan kafe pada usia muda pastinya bukan sesuatu yang mudah. Ini lebih-lebih lagi kerana kedua-dua mereka masih di bangku sekolah.

Qays Zara merupakan seorang pelajar jurusan Pengurusan Acara di Politeknik Republik sementara Aesha pula mengikuti kursus Perhubungan dan Media Digital di Politeknik Singapura.

“Masa yang paling mencabar adalah apabila kita baru sahaja bermula. Menyesuaikan diri dengan beban kerja yang tinggi pada awalnya agak mencabar,” kata Aesha.

Qays juga berkongsi, “Saya perlu bergegas dari sekolah ke kedai. Kita juga perlu menguruskan operasi kedai dan tugas-tugas lain seperti pengurusan akaun dan mengekalkan imej jenama.”

Walaupun merasa letih, mereka perlahan-lahan terbiasa dengan beban kerja dan menguruskan masa mereka dengan baik.

“Jika anda diberi peluang, teruskan sahaja kerana anda tidak tahu apa yang anda boleh capai,” nasihat Qays.

Anda boleh ikuti lebih banyak perkongsian pengasas 'Siesta' dalam siri video "Makan Apa Itu?" di laman media sosial BERITA Mediacorp.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita