Dua pelajar ini bangkit dari cabaran kesihatan dan keluarga, cemerlang dalam PSLE
Di saat rakan-rakan sebayanya sibuk membuat persiapan buat Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), Azaan pula berulang-alik ke hospital untuk menjalani rawatan intensif setelah disahkan menghidap leukemia hanya kira-kira empat bulan sebelum menduduki peperiksaan nasional itu.
Pelajar dari Sekolah Rendah Bedok Green itu berkongsi bersama wartawan Nurfazirah Azman bahawa ia merupakan satu pengalaman yang sangat mencabar fizikal dan emosinya.
Sebahagian besar masanya dihabiskan menjalani rawatan intensif di hospital.
Malah, ada juga hari yang Azaan perlu ke hospital bagi rawatan sejurus selepas menjawab kertas soalan di sekolah.
"Saya berasa sangat sedih kerana saya tidak boleh pergi ke sekolah dengan kawan-kawan saya," kata Azaan.
Namun, penyakit itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk kekal positif, teruskan pembelajaran dan cuba sebaik mampu dalam peranannya sebagai seorang pemimpin pelajar.
Sebelum jatuh sakit, Azaan merupakan seorang murid serba boleh.
Dia pernah menjadi kapten pasukan ragbi, seorang ahli Majlis Pelajar dan mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan Matematik berprestij tahun ini.
Selepas didiagnos, rutin hariannya berubah drastik. Badannya menjadi lemah dan beliau kurang tenaga untuk melakukan aktiviti harian.
"Cabaran yang saya hadapi ialah membuat aktiviti-aktiviti yang biasa di rumah saya kerana saya sangat saya tidak kuat semasa saya sakit. Berat badan saya telah merosot dan tidak ada banyak tenaga. Apabila saya mandi, saya harus menggunakan kerusi kerana saya tidak boleh diri lama-lama," kongsi Azaan.
CEKALKAN SEMANGAT UNTUK LAKUKAN TERBAIK DALAM PELAJARAN
Walaupun diuji dengan cabaran fizikal, Azaan tidak membiarkan dirinya tercicir dalam pelajaran.
Semasa menjalani rawatan di hospital, Azaan cuba mengikuti kelas secara hibrid.
Meskipun bukan berada di bilik darjah secara fizikal, beliau tetap aktif mengajukan soalan, menyertai perbincangan dan menyiapkan tugasan tepat pada masanya.
Selain ahli keluarga, guru-guru dan rakan sekelas turut memainkan peranan besar dalam mendorongnya untuk tidak berputus asa.
"Guru-guru dan kawan-kawan saya selalu cakap kepada saya untuk jangan berputus asa apabila menghadapi benda-benda yang terlalu mencabar," kata Azaan.
Sokongan moral ini memberikan Azaan kekuatan untuk terus berjuang, bukan sahaja demi kesihatannya tetapi juga masa depannya.
Walaupun terpaksa melepaskan impiannya untuk ke sekolah idamannya menerusi Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) berdasarkan prestasinya dalam sukan ragbi, semangatnya tidak goyah.
Azaan kekal positif dan memanfaatkan peluang untuk meneroka bidang lain yang membuka ruang bagi perkembangan baharu.
Dia memasang impian untuk menjadi seorang usahawan kerana ia juga lebih sesuai dengan keadaan kesihatannya.
"Apabila saya besar, saya mahu membuat pilihan saya sendiri dan tidak mahu mendengar arahan-arahan orang lain," ujar Azaan.
Selain itu, aktiviti yang membantunya kekal positif ialah bermain badminton dan 'Lego'.
"Pada masa lapang saya dan beberapa kawan-kawan saya akan pergi ke Kelab Masyarakat Bedok untuk bermain badminton di gelanggang. Selepas didiagnos penyakit ini, ramai ahli keluarga saya memberikan hadiah 'Lego' kepada saya," katanya.
GALAS TANGGUNGJAWAB SEBAGAI KAKAK
Seorang lagi pelajar yang tabah mengharungi ujian dalam menghadapi peperiksaan PSLE tahun ini ialah Nur Ammara Filzah Muhammad Hafiz, pelajar dari Sekolah Rendah Lakeside.
Di sekolah, Ammara dikenali sebagai murid yang berdikari, matang dan sentiasa mengambil berat terhadap rakan-rakannya.
Sebagai ketua darjah, beliau mengurus kehadiran dan memastikan keadaan kelas teratur.
Kreativitinya terserlah apabila beliau melakarkan sebuah carta interaktif untuk membantu rakan-rakan catat kemajuan dalam pembelajaran mereka.
Namun di sebalik perwatakan tenang dan cerianya, Ammara sebenarnya memikul tanggungjawab besar di rumah.
Ini terutama sekali selepas ibunya jatuh sakit dan memerlukan rawatan intensif.
Bagi mengimbangi masa antara pelajaran dan tanggungjawab di rumah, Ammara akan melakarkan jadual harian.
"Saya boleh saya imbangi masa di rumah dengan membuat jadual belajar saya sendiri dan apabila saya pulang dari sekolah, saya akan belajar selama satu hingga dua jam.
"Pada waktu rehat, saya akan bermain dengan adik-adik saya dan saya akan menolong kakak saya dengan tugasan rumah. Selepas waktu rehat, saya akan sambung dengan pelajaran saya. Pada waktu malam, saya akan menolong ayah dan kakak saya," kongsi Ammara.
Dia mengambil alih sebahagian tugasan rumah seperti memasak dan menjaga adik-adiknya.
Pada penggal ketiga persekolahan, kesihatan ibunya memburuk dan terpaksa ditempatkan di wad berasingan.
Ini merupakan antara detik yang paling sukar baginya.
“Cabaran yang saya lalui apabila ibu saya kurang sihat ialah saya harus melawan perasaan sedih dan risau tentang keadaan ibu saya. Pada mulanya ibu saya dirawat di hospital dan beliau diletak dalam wad berasingan. Oleh itu, saya tidak boleh melawat ibu saya dan saya berasa sedih," kata Ammara.
Dia akur bahawa emosi yang tidak stabil kadangkala menjejas tumpuannya dalam pelajaran.
Namun dia bersyukur kerana dikelilingi oleh individu yang sentiasa memberinya dorongan.
“Saya dikelilingi oleh orang yang mengambil berat tentang diri saya dan menyokong saya. Kawan-kawan saya akan menceriakan hari-hari saya.”
“Mereka akan tanya khabar ibu saya dan mereka akan memberi kata-kata perangsang. Oleh itu, saya mahu berjaya dan membanggakan ibu serta semua yang menyokong saya," ujar Ammara.
INGIN MENJADI GURU PRASEKOLAH
Ammara bercita-cita untuk menjadi seorang guru prasekolah kelak.
“Sebenarnya saya mahu menjadi guru prasekolah kerana saya mahu menjadi inspirasi kepada kanak-kanak kecil. Saya pun ingin membantu kanak-kanak ini untuk berjaya dengan mengasuh, membimbing dan mendidik mereka.
"Saya pun mahu menjadi guru yang memberi semangat dan motivasi serta membantu mereka membina keyakinan dan mencapai impian mereka," kongsi Ammara.
Ketabahan Ammara bukan sahaja diiktiraf sekolahnya, malah beliau turut dicalonkan untuk menerima Anugerah Edusave Character 2025.
Berkat kegigihannya, beliau berjaya mendapat markah skor 20 dalam PSLE yang melayakkannya untuk sertai Kumpulan Penempatan 3 di sekolah menengah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.