Skip to main content

Singapura

Dua pelajar dewasa kongsi perjalanan timba ilmu demi kekal relevan

Anggaran Waktu Membaca:
Dua pelajar dewasa kongsi perjalanan timba ilmu demi kekal relevan

Cik Raziana Bibi Abdul Rasheed (kiri) dan Encik Mohamad Malaysia Kassim (kanan). (Gambar: Politeknik Nanyang, Hidir Ezat)

SINGAPURA: Pembelajaran bukanlah satu fasa yang berakhir dengan sijil, tetapi satu proses yang berkembang seiring dengan perjalanan hidup.

Bagi seorang penerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat SkillsFuture (SFLLA), Raziana Bibi Abdul Rasheed, 30 tahun, semangat untuk terus menimba ilmu tidak pernah terhenti meskipun sudah lama menamatkan pengajian formal.

Keinginan untuk mempertingkatkan diri itulah yang akhirnya mendorong beliau kembali ke bangku pengajian selepas beberapa tahun bekerja, sekali gus membuka peluang baharu dalam kerjayanya dalam bidang farmasi.

"Selepas tamat pengajian, saya mengambil sedikit masa untuk meneroka pelbagai peluang kerjaya sebelum akhirnya menemui hala tuju saya dalam bidang farmasi," kata Raziana.

"Pada ketika itu, saya merasakan penting untuk lebih memahami diri sendiri, jenis persekitaran kerja yang sesuai untuk saya berkembang, bagaimana saya boleh menyumbang secara bermakna, dan jenis pekerjaan yang memberi saya rasa tujuan yang lebih jelas," katanya lagi.

Beliau terdorong untuk kembali mengikuti pembelajaran yang lebih tersusun menerusi Diploma Lanjutan dalam Sains Farmaseutikal di Politeknik Nanyang(NYP), yang ditaja oleh Hospital Besar Changi.

Usaha beliau dalam pelajaran akhirnya diiktiraf menerusi Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat SkillsFuture oleh Politeknik Nanyang.

Related article image
Cik Raziana merupakan penerima Anugerah Sepanjang Hayat SkillsFuture. (Gambar: Politeknik Nanyang)
Beliau dalam kalangan tiga penuntut yang terpilih menerima anugerah tersebut dari Politeknik Nanyang.

Bagi Raziana, anugerah tersebut bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap usahanya, malah mencerminkan sokongan yang diterima sepanjang perjalanan pembelajarannya.

"Ia mengingatkan saya bahawa usaha yang konsisten, walaupun kecil, boleh membawa kepada sesuatu yang bermakna dari semasa ke semasa," kongsi Raziana.

"Bagi saya, anugerah ini bukanlah satu titik penamat, tetapi satu dorongan untuk terus belajar, berkembang, dan menyumbang dengan lebih bermakna dalam peranan saya," tambahnya lagi.

Selain itu, beliau juga masih berada pada peringkat awal untuk meneroka bagaimana AI boleh diaplikasikan dalam bidang kesihatan, khususnya bagi latihan dan pembangunan kakitangan.

"Pada masa ini, minat saya tertumpu kepada bagaimana AI boleh digunakan sebagai alat pembelajaran yang mudah diakses, di mana bahan latihan, garis panduan kerja dan rujukan dalaman boleh disepadukan ke dalam satu platform yang membolehkan kakitangan mendapatkan maklumat dengan cepat," kata Raziana.

"Bagi saya, ini adalah tentang memperkasakan mereka untuk belajar secara lebih berdikari, membina keyakinan dalam membuat keputusan, serta mewujudkan budaya pembelajaran berterusan yang lebih kukuh di tempat kerja," tambahnya lagi.

GENGGAM SEMBILAN DIPLOMA DI USIA 64 TAHUN

Semangat untuk terus belajar bukan sahaja dikongsi oleh golongan muda yang ingin memajukan kerjaya, malah turut menjadi pegangan mereka yang sudah berdekad-dekad berada dalam alam pekerjaan.

Bagi Encik Mohamad Malaysia Kassim, perjalanan menuntut ilmu tidak terhenti dengan hanya satu sijil.

Sehingga kini, beliau yang berusia 64 tahun telah berjaya meraih sembilan ijazah diploma dengan yang terkini adalah Diploma Khusus dalam Perancangan, Operasi dan Perlindungan Sistem Kuasa dari Politeknik Singapura.
Related article image
Hingga kini, beliau telah meraih sembilan diploma. (Gambar: Politeknik Singapura)
Beliau merupakan salah seorang daripada lulusan Program Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET).

"Dunia sekarang banyak berubah. Jadi, untuk berjaya dalam kehidupan, kita perlu mempunyai kebolehan untuk melakukan pelbagai tugas dan menguasai lebih daripada satu kemahiran. Kalau hanya bergantung pada satu kemahiran sahaja, agak sukar untuk kita menghadapi cabaran-cabaran yang wujud pada masa kini," kata Encik Mohamad.

"Sebab itu, saya akan terus menimba ilmu dan memperbaiki diri agar dapat menjadi contoh yang baik kepada anak-anak saya tentang pentingnya pembelajaran sepanjang hayat," tambahnya lagi.

Menurut beliau, menuntut ilmu tidak mengenal usia, sebaliknya bergantung kepada keinginan untuk terus mempertingkatkan diri, terutamanya dalam bidang teknologi.

"Saya percaya pembelajaran sepanjang hayat itu sangat penting kerana ilmu ibarat makanan untuk kehidupan. Tidak kira tua atau muda, setiap hari kita perlu makan untuk terus hidup. Begitu juga dengan ilmu — kita perlu sentiasa belajar dan menambah pengetahuan sepanjang masa," kata Encik Mohamad.

"Pada zaman sekarang, teknologi berkembang dengan sangat pantas. Oleh itu, setiap insan perlu terus memperbaiki diri dan menambah kemahiran agar kekal relevan serta mampu menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah," tambahnya lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita