Skip to main content

Singapura

Dua pelajar cemerlang PSLE pilih laluan madrasah, DSA untuk capai potensi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Dec 2025 08:38PM Dikemas Kini : 11 Jan 2026 05:11PM

SINGAPURA: Sejak kecil lagi, Danish Mohammad Azhar telah menanam cita-cita untuk menjadi seorang pemimpin agama.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan formal dalam pengajian Islam, bekas pelajar Sekolah Rendah Zhonghua itu telah memperoleh biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Madrasah Al-Arabiah selepas meraih keputusan memberangsangkan dalam Peperiksaan PSLE.

"Saya hendak menjadi ustaz pada masa hadapan," kata Danish.

Namun, peralihan ke alam madrasah bukan tanpa cabaran. Danish mengakui beliau perlu bekerja lebih keras untuk menyesuaikan diri dalam penggunaan Bahasa Arab.

Beliau turut menyedari bahawa rakan-rakannya di madrasah telah mempunyai enam tahun asas dalam pengajian Islam, sedangkan beliau baru sahaja mahu bermula.

"Persiapan saya untuk memasuki madrasah adalah untuk menghafal surah-surah di dalam Al Quran serta mempelajari Bahasa Arab untuk memasuki sekolah madrasah saya," kata Danish.

"Ia adalah satu cabaran kerana saya tidak fasih dalam berbahasa Arab serta susah untuk saya menyebut beberapa perkataan. Mungkin juga saya tidak mempunyai motivasi kerana sangat susah kerana rakan sedarjah saya di madrasah, mereka sudah pelajari pengajian Islam selama enam tahun, tetapi saya baru sahaja hendak belajar," tambah beliau.

Walaupun begitu, Danish menantikan peluang untuk menimba lebih banyak ilmu tentang Islam, menjalin persahabatan baharu serta memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan madrasah agar dapat meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.

Seorang lagi pelajar yang berjaya memasuki sekolah idamannya ialah Faiz Zaid.

Beliau telah berjaya melayakkan diri ke Maktab Rendah Temasek melalui Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) atas pencapaian yang menyerlah dalam bidang kepimpinan.

Faiz telah menunjukkan sifat kepimpinan yang jelas dan konsisten dari darjah satu hingga darjah enam.

Antara jawatan kepimpinan yang pernah digalas oleh Faiz termasuk menjadi Ketua Kelas, Ketua Pengawas dan Kapten Pasukan Bola Sepak sekolahnya.

"Saya berasa amat teruja bersyukur dan lega sebab saya sudah bekerja keras untuk mendapat keputusan sebegini," kata Faiz.

"Sebenarnya saya tidak menjangka untuk menerima keputusan seperti ini tetapi saya sudah berdoa, bekerja keras dan memang tidak putus asa selama ini," tambahnya lagi.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan perkembangan Faiz semasa kecil agak terlewat berbanding kanak-kanak lain.

Semasa usianya tiga tahun, Faiz telah menerima intervensi melalui Program Intervensi Awal untuk Bayi dan Kanak-Kanak (EIPIC) berikutan kelewatan pertuturan dan pembelajaran, sebelum disahkan layak untuk mengikuti pendidikan arus perdana di sekolah rendah.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal kehidupannya, ketekunan serta motivasi diri yang tinggi membolehkan Faiz terus melangkah jauh.

"Harus sentiasa konsisten, jika tidak dapat keputusan yang anda inginkan, anda harus terus melangkah. Tidak boleh berdiam diri. Ada banyak peluang," kata Faiz.

Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita