Skip to main content

Singapura

Dua murid cemerlang ini antara 99.1% pelajar madrasah yang lulus PSLE

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 99.1 peratus murid madrasah yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini berjaya melangkah ke peringkat sekolah menengah.

Ini berbanding 99.7 peratus yang dicatatkan kohort tahun lalu. 

Seramai 332 murid dari empat madrasah iaitu Madrasah Irsyad, Madrasah Alsagoff, Madrasah Al-Maarif dan Madrasah Wak Tanjong, menduduki peperiksaan nasional itu tahun ini. 

Secara keseluruhan, kadar kelulusan tersebut lebih tinggi daripada peringkat nasional iaitu 98.5 peratus.

Menurut MUIS, kesemua empat madrasah itu berjaya melepasi tanda aras PSLE yang ditetapkan MOE dan boleh terus mengambil murid darjah satu bagi kohort seterusnya. 

Sejak tahun 2014, peratusan murid madrasah yang lulus PSLE kekal melebihi 90 peratus.

Kohort pelajar Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

PELAJAR TERBAIK MADRASAH IRSYAD ZUHRI AL-ISLAMIAH 

Antara murid cemerlang tahun ini ialah Sulaikah Sulaiman dan Muhammad Irfan Muhammad Imran dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah. 

Mereka masing-masing berjaya memperoleh skor sempurna.

Mereka mendapat AL 1 bagi semua subjek dan berjaya mengumpul 4 mata.

Ini bermakna, mereka meraih markah 90 dan ke atas bagi kesemua empat mata pelajaran PSLE. 

Pelajar cemerlang, Sulaikah Sulaiman bersama keluarganya. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

"Saya mengulang kaji pelajaran saya setiap hari dan juga fokus pada Cikgu dalam kelas. Saya juga minta bantuan daripada ibu bapa saya dan guru-guru saya jika ada pelajaran yang saya tidak faham," kata Sulaikah.

Dia berharap untuk melanjutkan pelajaran di Madrasah Aljunied Al-Islamiah untuk mendalami pengetahuannya dalam subjek Bahasa Arab dan buru cita-citanya untuk menjadi seorang saintis.

Pelajar cemerlang, Muhammad Irfan bersama ibubapa. (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Bagi Muhammad Irfan pula, persiapan bagi PSLE turut membawa banyak pengajaran buat dirinya lebih-lebih lagi tentang usaha yang berterusan dan tidak berputus asa.

“Bila dalam kelas, saya memberi sepenuh perhatian kepada pelajaran itu. Saya juga mengulang kaji pelajaran setiap hari,” katanya.

“Pada peperiksaan pertengahan tahun saya dapat AL 1 untuk bahasa Inggeris, saya terlalu yakin dan saya tidak mengulang kaji dengan secukupnya. Dengan itu, saya mendapat AL 4 untuk peperiksaan percubaan tetapi saya belajar daripada kesilapan saya dan pada akhirnya dalam PSLE saya dapat AL1 untuk bahasa Inggeris,” jelasnya.

Irfan berkongsi hasratnya untuk melanjutkan pelajaran di Madrasah Aljunied Al-Islamiah sebelum meneruskan pengajian ke Universiti Al-Azhar untuk memenuhi impiannya menjadi seorang ahli falak (ahli astronomi Islam).

Sumber : BERITA Mediacorp/FT/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita