Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua lulusan SMU teroka laluan kerjaya, lakukan sehingga 9 'internship'

Anggaran Waktu Membaca:
Dua lulusan SMU teroka laluan kerjaya, lakukan sehingga 9 'internship'

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Bukan satu tapi sembilan latihan amali atau 'internship' di dalam dan luar negara yang dilakukan Jo-Adam Saiful Mizra dalam tempoh lima tahun menuntut di Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Bagi Jo-Adam, ia merupakan peluang untuk dirinya lebih memahami dan melakar laluan kerjayanya.

"Sejak tahun pertama, saya sudah memohon kepada pelbagai syarikat untuk cuba mempelajari tentang industri-industri berbeza. Saya sudah bekerja di bank, firma teknologi dan juga rangkaian-rangkaian karyawan dalam pelbagai peranan. Ini termasuk jabatan kewangan, sumber manusia (HR), peranan berkaitan pengurusan projek.

"Ia lebih kepada laluan penerokaan berbanding keperluan pengalaman pekerjaan. Saya rasa ia telah membantu saya lebih matang sebab saya pelajari tentang pelbagai jenis industri," kata Jo-Adam, anak bongsu dua beradik itu.

“”
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain bantuan daripada pihak universiti, bekas pelajar Institusi Raffles yang juga aktif dalam pelbagai aktiviti sekolah mengambil inisiatif sendiri untuk meluaskan jaringan kenalan.

Ini katanya, membuka lebih banyak peluang baginya kepada syarikat-syarikat tersebut.

"Banyak kalinya menerusi rangkaian kenalan di mana saya mencari peluang-peluang. Alternatifnya seperti pelajar-pelajar SMU lain, saya juga menggunakan 'LinkedIn' untuk mencari 'internship' tersebut secara online," ujar Jo-Adam, yang berkongsi beliau menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran sehingga 12 jam setiap minggu.

DAPAT PEKERJAAN DI AMERIKA SYARIKAT

Selain syarikat-syarikat gergasi seperti Maybank dan DBS, pemuda 25 tahun itu juga mencari peluang di syarikat-syarikat pemula atau 'start-up' untuk meraih pengalaman.

Menerusi pengalaman yang diraih, beliau lebih memahami kemahiran yang ada pada dirinya seperti pengekodan, pemasaran dan komunikasi.

Disebabkan prestasi cemerlang di salah satu syarikat antarabangsa, Iterative Health, Jo-Adam berjaya mendapat tawaran kerja dari syarikat itu dan akan berhijrah ke Amerika Syarikat tidak lama lagi.

"Saya akan bekerja dalam sebuah syarikat pemula perubatan dalam bidang kewangan. Membantu mereka dalam kewangan strategik, bajet dan juga tugas-tugas lain berkaitan kewangan. Saya sukakan industri-industri yang saya boleh lihat manfaatnya. Saya rasa dalam jangka masa panjang, ini akan dapat membantu orang ramai," kata Jo-Adam.

Kerja keras dan kecemerlangannya membuahkan hasil sehingga beliau berjaya meraih GPA sempurna 4.0.

Beliau menamatkan pengajiannya dengan ijazah Sarjana Muda Pengurusan perniagaan dalam bidang pengurusan perhubungan dengan anugerah 'Summa Cum Laude'.

Beliau turut dianugerahkan dengan Anugerah Mahasiswa Perniagaan Lulusan Cemerlang Persatuan Bank Singapura yang bernilai sehingga S$1,500 dalam bentuk sijil, pingat emas dan wang tunai.

“”
(Gambar: Syawal Yusoff)
BEKAS PELAJAR MADRASAH RAIH PELUANG BELAJAR DI UNIVERSITI CAMBRIDGE

Seorang lagi graduan SMU tahun ini yang juga sama melihat pentingnya latihan amali ialah Siti A'isyah Mohd Najib, 24 tahun.

Sepanjang empat tahun pengajiannya, lulusan bidang Sains Kemasyarakatan itu sempat melakukan empat latihan amali.

"Saya tidak tahu sebenarnya bidang yang saya ingin ceburi pada masa hadapan. Jadi pada saya ikut pepatah Inggeris, ‘cast a wide net’ itulah motivasi saya mengapa saya ingin memasuki bidang teknologi, bidang badan bukan pemerintah (NGO), bidang pemerintah juga. Pada umur 20-an ini, ini adalah masa untuk saya meraih pelbagai pengalaman," kata A'isyah, anak sulung daripada enam beradik.

Beliau menjalani latihannya di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), TikTok dan Daughters of Tomorrow.

“”
(Gambar: Siti A’isyah Mohd Najib)
Bahkan pengalamannya di Daughters of Tomorrow itu meningkatkan keprihatinannya terhadap isu-isu kemiskinan, melibatkan wanita, kanak-kanak dan pendidikan.

"Saya dapat jumpa dengan wanita-wanita dari latar belakang yang kurang bernasib baik. Mereka tidak mempunyai sokongan keluarga, tidak mempunyai, barangkali sesetengah wanita itu juga tidak punya sokongan daripada segi mental, daripada segi penjagaan. Jadi tak ada orang yang memberi mereka sokongan untuk terus menceburi, ceburi pelajaran ataupun pengajian mereka dengan lebih lanjut. Jadi itu membuat saya rasa isu ini seringkali terlepas pandang di Singapura," ujar A'isyah.

Sepanjang di SMU, bekas pelajar Madrasah Al-Maarif dan Politeknik Ngee Ann itu juga pernah terpilih menjalani sebuah program 'summer school' selama enam minggu di Universiti Cambridge.

“”
(Gambar: Siti A’isyah Mohd Najib)
"Sebagai seorang pelajar madrasah, itu tidak pernah terlintas pun dalam minda saya untuk pergi ke salah satu universiti terbaik di dunia. Saya dapat menceburi modul-modul yang saya takkan dapat menceburi bila saya di SMU. Contohnya Sejarah Timur Tengah dan Psikologi Forensik.

"Rasa takut ada tapi rasa bangga pun ada juga kerana rasa seperti saya telah mengambil semua peluang yang diberikan pada saya daripada umur saya lagi kecil lagi di madrasah hingga ke politeknik hingga ke universiti. Jadi rasa sebak pun ada bila di ada dekat situ," kongsi A'isyah, yang juga berniaga secara kecil-kecilan menjual makanan semasa menuntut di SMU.

Kajiannya juga pernah dipilih untuk dibentangkan dalam satu persidangan Badan untuk Personaliti dan Psikologi Sosial di San Francisco di mana beliau menerima anugerah 'Diversity Undergraduate Registration'.

“”
(Gambar: Syawal Yusoff)
A'isyah juga membuktikan latihan amali bukan sahaja memberi pengalaman baru tapi pemahaman mendalam sehingga berjaya tersenarai dalam Senarai Dekan selama dua tahun.

Hasil kerja kerasnya, A'isyah berjaya tamatkan pengajian dengan ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dalam bidang psikologi dan sains politik dengan 'Magna Cum Laude'.

Meskipun belum lagi menetapkan kerjaya pilihannya, anak sulung enam beradik ini berazam untuk menyumbang kembali kepakarannya kepada masyarakat.

"Saya boleh menyumbang kepada pendidikan. Pendidikan adalah sesuatu yang saya sangat gemari kerana latar belakang saya sebagai pelajar madrasah. Saya tahu ada banyak cara untuk mencapai sesuatu impian," ujar A'isyah.

SMU CATAT JUMLAH GRADUAN TERTINGGI DALAM 20 TAHUN

Mereka merupakan antara 3,737 graduan SMU tahun ini.

Ini termasuk mereka yang tamat pengajian di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Juris dan Doktor Falsafah.

Jumlah itu merupakan yang tertinggi sejak universiti itu ditubuhkan pada tahun 2000.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan