Dua lulusan Maktab Seni LASALLE kejar impian sehingga terima Sarjana Muda Seni (Kepujian)
Setelah menunggu sekian lama, impian Muhamad Lokman Mohammad, 35 tahun untuk menggenggam segulung ijazah tercapai jua akhirnya.
SINGAPURA: Setelah menunggu sekian lama, impian Muhamad Lokman Mohammad, 35 tahun untuk menggenggam segulung ijazah tercapai jua akhirnya.
Beliau menjadi antara 832 penuntut Maktab Seni LASALLE yang menamatkan pengajiannya tahun ini.
Lokman menerima ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Seni Halus.
Bapa dua orang anak itu kembali ke bangku sekolah tiga tahun lalu demi mengejar impian yang dipendam sejak dulu lagi.
"Saya tidak mahu membebankan ibu bapa saya. Kewangan itu adalah satu cabaran dalam keluarga saya. Jadi untuk saya dapat meneruskan pendidikan pada usia lebih muda, duit perlu dikeluarkan ibu bapa saya. Ia mengambil masa untuk saya menyimpan duit dan teruskan pendidikan di mana. Saya boleh bayar yuran sekolah dengan duit saya sendiri," kata Lokman, yang mula menjadi guru seni di sekolah menengah sejak 2015.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Memandangkan anak-anaknya baru berusia empat dan lapan tahun, beliau juga perlu mengimbangi tuntutan sekolah dan keluarga.
Beliau bersyukur kerana mempunyai guru-guru dan rakan-rakan sekolah yang sangat memahami sepanjang pengajiannya di LASALLE.
"Bila saya berjumpa dengan guru-guru saya, kita boleh berunding untuk saya hadiri kelas secara berasingan. Oleh itu, saya boleh mengikuti kelas-kelas dan tidak ketinggalan walaupun saya perlu menjaga anak-anak saya," ujar Lokman.
MAHU JADI INSPIRASI BUAT PARA PELAJARNYA
Karya yang dihasilkan untuk projek akhir tahunnya di LASALLE berjudul 'Cakap-Cakap: Masuk Telinga Kiri, Keluar Telinga Kanan' menggabungkan arca dengan elemen bunyi-bunyian.
Ia juga lebih bermakna kerana diilhamkan dari pengalamannya sendiri.
Menjelaskan karyanya itu: "Saya juga menggunakan simpulan bahasa seperti 'berbual dengan tembok' dan juga 'tin kosong nyaring bunyinya'. Ia menunjukkan apakah kegagalan dalam berkomunikasi."
(Gambar: Maktab Seni LASALLE)
Selain membawa pulang ijazah, Lokman turut menjadi antara 16 pelajar dianugerahkan dengan Anugerah LASALLE bagi Kecemerlangan Akademik.
Beliau kini kembali mengajar di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang.
Di samping mahu menjadi inspirasi untuk keluarga dan para pelajarnya, beliau berazam untuk terus menyumbang kepada seni.
"Akan selalu ada peluang untuk karya-karya kami dipamerkan dan kita boleh terus menjadi seniman. Walaupun saya bertugas sebagai seorang guru mengajar di sekolah, jika ada sebarang peluang untuk saya menyertai pameran atau pertunjukan seni, saya akan menyertainya," ujar Lokman.
MAHU TAMPILKAN GAYA MUSLIMAH YANG PELBAGAI
Seorang lagi lulusan LASALLE yang menamatkan pengajiannya tahun ini ialah Khairina Sari Ramlan, 25 tahun.
Beliau menerima Sarjana Muda Seni (Kepujian) dalam Rekaan Fesyen dan Tekstil.
Minat kepada bidang fesyen sudah berputik sejak kecil lagi dan boleh dikatakan 'darah fesyen' itu sudah mengalir di dalam tubuhnya.
"Kedua-dua nenek saya ialah tukang jahit dan pakcik saya juga dahulu seorang pereka fesyen. Dari dulu lagi ibu bapa saya sentiasa katakan 'oh nenek ialah tukang jahit dan mereka juga sukakan fesyen'. Saya memang sukakan pakaian dari kecil jadi mengapa tidak mencuba fesyen," jelas Khairina, anak bongsu daripada dua beradik.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sekurang-kurangnya 40 rekaan sudahpun dihasilkannya sepanjang menuntut di LASALLE.
Namun, antara koleksi pakaian yang menjadi kebanggaannya adalah yang ditampilkan dalam projek akhir tahunnya.
Mengambil hanya tiga bulan untuk dihasilkan, koleksi bertajuk 'Underneath The Veil' menampilkan enam rekaan fesyen yang disesuaikan dengan cara pemakaian hijab yang berbeza.
"Untuk koleksi ini saya ingin menceritakan cabaran-cabaran yang dialami oleh seseorang Muslimah dari negara lain dan menunjukkan betapa cantiknya hijab. Dari hijab ke kimar ke burqa. Bagaimana saya mereka koleksi itu, saya tengok dari segi macam mana saya boleh gayakan hijab dalam pelbagai bentuk," ujar Khairina.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Buat masa ini, Khairina sibuk dengan beberapa projek-projek bebas atau yang ditempah khas.
Selain dapat peluang memperagakan rekaan-rekaannya di pentas antarabangsa dan berkolaborasi dengan jenama-jenama besar, Khairina berharap dapat bina jenamanya sendiri satu hari nanti.
Khairina menambah: "Saya ingin mengeluarkan koleksi yang sopan. Jadi tidak tentunya untuk orang yang Muslimah. Terdapat berjuta cara untuk menggayakan tudung dan bagaimana anda boleh tetap kelihatan sopan dan berpakaian gah. Jadi saya rasa kita boleh menjadi lebih kreatif dalam meneroka bagaimana untuk menggayakan hijab."
Tahun lalu, Khairina pernah muncul sebagai salah seorang finalis rancangan realiti di Suria, 'So Stylo!'
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.