Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua lelaki dituduh curi dari pengurup wang dibawa keluar dari pesawat di Lapangan terbang Changi dan ditahan

Anggaran Waktu Membaca:
Dua lelaki dituduh curi dari pengurup wang dibawa keluar dari pesawat di Lapangan terbang Changi dan ditahan

(Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 23 Apr 2023 12:21AM Dikemas Kini : 23 Apr 2023 07:41AM

SINGAPURA: Dua lelaki yang dituduh mencuri dari seorang pengurup wang diberkas di Lapangan Terbang Changi selepas penerbangan mereka dilarang meninggalkan Singapura.

Polis menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang pencurian berjumlah sekitar AS$75,000 (S$100,133) oleh seorang pengurup wang di Coleman Street pada Jumaat (21 Apr).

Menurut polis, suspek berusia 45 dan 54 tahun, pernah melakukan pertukaran mata wang dolar Singapura kepada dolar Amerika sebanyak empat kali sebelum kejadian itu.

"Selepas membiasakan diri dengan pengurup wang itu, kedua-dua lelaki itu memintanya menyediakan AS$75,000 untuk pertukaran dengan dolar Singapura pada 20 Apr," kata polis dalam satu kenyataan media pada Sabtu (22 Apr).

Pada petang 21 April, dua lelaki tersebut meminta untuk melihat wang sebanyak AS$75,000 (S$100,133) yang terdiri daripada wang kertas AS$100, dengan alasan ingin mengesahkan jumlahnya.

Pengurup wang itu yang sudah agak berusia, membungkus wang itu ke dalam beg plastik dan meletakkannya di dalam sebuah beg bimbit, kata polis.

"Apabila beg itu tidak dapat diselitkan di bawah ruang kaunter untuk dikembalikan kepada pengurup wang tersebut, dua lelaki berkenaan dikatakan berpura-pura mengeluarkan beg plastik yang mengandungi wang dari beg besar itu untuk diletakkan ke dalam beg kulit lebih kecil, supaya dapat dimuatkan di bawah ruang itu," tambah polis.

"Dua lelaki itu kemudian mendakwa akan kembali dengan pasport dan mata wang dolar Singapura lalu meninggalkan beg kulit hitam tersebut dengan pengurup wang tersebut."

Apabila mereka tidak kembali selepas sejam, pengurup wang itu membuka bag kulit tersebut dan mendapati wang sebanyak AS$75,000 (S$100,133) telah ditukar dengan dolar AS dan mata wang Euro palsu.

Wang tersebut dibungkus dalam tiga beg plastik yang mengandungi duit kertas AS$1 dan AS$100, kata polis.

Dua lelaki tersebut dikenal pasti sebagai warga asing. Mereka telah menaiki pesawat yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Changi menuju ke Frankfurt, Jerman.

Pihak berkuasa Singapura berjaya menahan pesawat itu daripada meninggalkan Singapura.

Dua lelaki itu diiring keluar dari pesawat tersebut dan diberkas.

Wang sebanyak AS$74,600 (S$99,600) ditemui pada dua lelaki itu, kata polis.

Ia menambah bahawa suspek berjaya diberkas dalam tempoh lapan jam.

Hukuman terhadap kesalahan mencuri di tempat kediaman adalah penjara sehingga tujuh tahun serta denda.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan