Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua lelaki didapati bersalah; rompak rumah kedai di Little India pada 2017

Kumpulan tersebut membawa lari S$300,000, wang yang sepatutnya dihantar pulang kepada keluarga-keluarga pekerja hijrahan yang lain di Bangladesh.

Anggaran Waktu Membaca:
Dua lelaki didapati bersalah; rompak rumah kedai di Little India pada 2017

(Gambar hiasan: Ekaterina Bolovtsova/Pexels)

SINGAPURA: Dua lelaki didapati bersalah pada Jumaat (24 Dis) kerana turut serta dalam rompakan di sebuah rumah kedai di Little India pada 2017.

Mereka mencuri sebanyak S$300,000 dari rumah kedai tersebut.

Thava Kumaran Ramamutty yang berusia 37 tahun dan Muhammad Ridzuan bin Mohammad Yusof, 32 tahun didapati bersalah, masing-masing atas dua tuduhan memecah masuk pada waktu malam dan juga merompak.

Pada 11 Disember 2017, Thava, Ridzuan dan tiga rakan subahat menyasarkan empat warga Bangladesh yang menjalankan skim penghantaran wang secara haram.

Pada sekitar 3.00 pagi, mereka memecah masuk rumah kedai berkenaan menggunakan kunci yang diperolehi daripada orang dalam.

Mereka menyamar sebagai pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan bersemuka dengan mangsa di rumah kedai di Rowell Road.

Mereka menahan keempat-empat mangsa tersebut dan mencuri wang, yang dikumpul daripada warga Bangladesh yang bekerja di Singapura untuk dihantar kepada keluarga mereka.

Kelima-lima lelaki itu kemudian melarikan diri dalam sebuah kereta disewa, dengan plat lesen palsu.

Pada 29 Dis, Thava memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan sosial 30 hari dan diberkas di Johor Bahru pada April 2018 kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Dia ditahan Polis Diraja Malaysia bersama seorang lagi subahatnya, Shanker Maghalingam yang memasuki Malaysia secara haram menggunakan bot bermotor dari Changi Creek di Singapura.

Kedua-duanya dihantar pulang ke Singapura.

Tiga daripada anggota kumpulan tersebut - Shanker, Juraimi Jupri dan Nor Mohamad Azril Sajli - sudah mengaku bersalah atas kesalahan mereka.

Lagi tiga rakan subahat mereka juga mengaku bersalah kerana menyewa kereta yang digunakan untuk melarikan diri dan memasang plat lesen palsu. Mereka adalah: Valerie Emmanuelle Ramanee, Udaya Kumar Manoker dan Mohamed Safit Hasan Mohamed Ayub.

Kes mereka sudah dibicarakan, namun, kes Thava dan Ridzuan masih menunggu dibicarakan.

Thava dan Ridzuan akan kembali dihadapkan ke mahkamah pada 25 Januari.

Dua lelaki yang mengendalikan perniagaan penghantaran wang secara haram - Alamgir Md dan Sikder Sujan - juga sudah mengaku bersalah kerana menyediakan khidmat tidak berlesen.

Jika didapati bersalah memecah masuk pada waktu malam, mereka boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda.

Bagi kesalahan merompak secara berkumpulan, bersama lima atau lebih orang, pesalah boleh dipenjara antara lima dengan 20 tahun dan disebat sekurang-kurangnya 12 kali.

Sumber : Today/NY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan