Skip to main content

Singapura

Dua lelaki didakwa atas penipuan GST libatkan S$181 juta jualan palsu

Dua lelaki didakwa di mahkamah pada Selasa (5 Ogos) berhubung pelibatan mereka dalam penipuan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jenis “missing trader fraud”, yang melibatkan jumlah jualan palsu sekitar S$181 juta.

Anggaran Waktu Membaca:
Dua lelaki didakwa atas penipuan GST libatkan S$181 juta jualan palsu

Mahkamah Negara Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 05 Aug 2025 01:18PM
  • Dua lelaki didakwa di mahkamah pada Selasa (5 Ogos) berhubung pelibatan mereka dalam penipuan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jenis “missing trader fraud”, yang melibatkan jumlah jualan palsu sekitar S$181 juta.
  • Derrick Yeo Wei Kin, 40 tahun, dan Yeo Kian Huat, 73 tahun, dipercayai menubuhkan empat syarikat palsu dan menggunakannya untuk menjalankan perniagaan berbentuk penipuan antara November 2017 hingga April 2018.
  • Derrick Yeo dituduh mengemukakan tiga tuntutan bayaran balik GST palsu kepada IRAS dalam cubaan menipu pihak berkuasa agar membayar balik S$11.8 juta.
  • Jika sabit kesalahan atas tuduhan penipuan perdagangan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Dua lelaki didakwa di mahkamah pada Selasa (5 Ogos) berhubung pelibatan mereka dalam penipuan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) jenis “missing trader fraud”, yang melibatkan jumlah jualan palsu sekitar S$181 juta.

Penipuan jenis "missing trader" berlaku apabila penjual mengutip GST daripada hasil jualan tetapi tidak membayar cukai tersebut kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS). Penjual itu dikenali sebagai "missing trader".

Sementara itu, perniagaan di peringkat seterusnya dalam rantaian bekalan terus menuntut bayaran balik daripada IRAS untuk GST yang dibayar ke atas pembelian mereka.

Derrick Yeo Wei Kin, 40 tahun, dan Yeo Kian Huat, 73 tahun, dipercayai menubuhkan empat syarikat palsu dan menggunakannya untuk menjalankan perniagaan berbentuk penipuan antara November 2017 hingga April 2018.

Tidak jelas sama ada kedua-dua lelaki itu mempunyai hubungan kekeluargaan.

Menurut kenyataan polis, mereka dipercayai menjual barangan daripada satu syarikat kepada syarikat-syarikat lain pada harga yang dinaikkan, dengan jumlah keseluruhan sekitar S$181 juta.

Jualan dan pembelian antara syarikat-syarikat itu dipercayai merupakan urus niaga palsu yang diwujudkan untuk membolehkan mereka menuntut GST daripada IRAS.

Derrick Yeo dituduh mengemukakan tiga tuntutan bayaran balik GST palsu kepada IRAS dalam cubaan menipu pihak berkuasa agar membayar balik S$11.8 juta.

Dia juga didakwa memalsukan penyata bayaran pembekal dan menyerahkannya kepada IRAS bagi mendapatkan kelulusan permohonan pendaftaran GST bagi salah satu syarikat palsu berkenaan.

Selain itu, dia turut dikatakan membuat tuntutan palsu di bawah skim bayaran balik GST pelancong dengan menipu IRAS untuk membayar balik lebih S$140,000 walaupun tiada pembelian dilakukan di bawah skim tersebut.

Kedua-dua lelaki warga Singapura itu masing-masing berdepan empat tuduhan penipuan perdagangan di bawah Akta Syarikat.

Apabila ditanya pendirian mereka terhadap tuduhan tersebut, Derrick Yeo berkata: “Saya tidak bersalah.” Manakala Yeo Kian Huat pula berkata bahawa dia akan “membela diri di mahkamah”.

Kedua-dua mereka tidak diwakili peguam, dan Derrick Yeo mempunyai beberapa pertuduhan lain yang sudah dikemukakan terhadapnya sebelum ini.

Kes mereka ditangguhkan bagi sidang praperbicaraan.

Jika sabit kesalahan atas tuduhan penipuan perdagangan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita