Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua lelaki didakwa atas insiden kelar di kedai kopi Depot Road

Dua lelaki, berusia 18 dan 21 tahun didakwa di mahkamah hari ini (17 Nov) atas insiden kelar di sebuah kedai kopi yang menyebabkan mangsa mengalami beberapa kecederaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dua lelaki didakwa atas insiden kelar di kedai kopi Depot Road

Gambar: iStock

Diterbitkan : 17 Nov 2021 10:04AM Dikemas Kini : 17 Nov 2021 12:14PM

SINGAPURA: Dua lelaki, berusia 18 dan 21 tahun didakwa di mahkamah hari ini (17 Nov) berhubung kejadian menyerang seorang lelaki di sebuah kedai kopi yang menyebabkan mangsa mengalami beberapa kecederaan.

Serangan itu berlaku sekitar 9.35 malam pada Ahad (14 Nov) di Depot Road, menurut polis dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Sakis-saksi berkata mereka nampak dua lelaki membawa pisau panjang dan menikam mangsa. Penyerang itu kemudian melarikan diri dan membuang senjata mereka sebelum pegawai polis tiba di tempat kejadian.

Mangsa, 37 tahun itu mengeluarkan darah yang banyak dan mempunyai kesan tikaman di kepala, leher, lutut dan dada. Dia segera dikejarkan ke hospital.

"Gerakan besar-besaran memburu mereka" kemudian dijalankan untuk menjejaki penyerang tersebut dan mereka ditemui di sebuah hotel di Sentosa dan diberkas sekitar 4.45 petang keesokan hari, menurut polis.

Siasatan menunjukkan kedua-dua lelaki yang sebelum ini dibebaskan dari Pusat Latihan Pemulihan didakwa menggunting alat pengesan elektronik mereka untuk mengelak daripada dikesan.

Pisau sepanjang 30 sentimeter yang digunakan dalam serangan tersebut turut ditemui di kawasan semak berdekatan tempat kejadian.

Kedua-dua lelaki itu didakwa di mahkamah kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya dan akan ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Secara berasingan, tiga lelaki, berusia 19 hingga 28 tahun ditahan kerana disyaki menjadi anggota kumpulan kongsi gelap.

Dua daripada mereka, berusia 20 dan 28 tahun dipercayai bertemu dengan penyerang insiden kelar itu selepas kejadian tersebut. Siasatan sedang dijalankan untuk meneliti pelibatan mereka dalam insiden itu, tambah polis.

Mereka yang didapati bersalah menyebabkan cedera parah dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya berdepan hukuman penjara seumur hidup atau jel sehingga 15 tahun berserta denda dan sebatan.

Mereka yang sabit kesalahan menjadi anggota kongsi gelap pula berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.

Polis menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada kegiatan kongsi gelap dan membuat aduan tentang mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas individu yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap. Di mana perlu, polis mungkin melaksanakan Akta Undang-undang Jenayah (Peruntukan Sementara) yang membolehkan penahanan sesiapa yang terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk mereka yang terbabit dalam kegiatan kongsi gelap yang mengancam keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam," tambah polis.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan