Dua kucing spesies terancam diselamatkan dari flat HDB, dipulangkan ke M'sia
Pihak berkuasa menyelamatkan dua ekor Kucing Batu Asia (Asian leopard cat) dari sebuah flat perumahan awam di Singapura dan menghantarnya ke Malaysia, di mana haiwan-haiwan tersebut akan dilepaskan ke habitat asalnya.
(GAmbar: WRS)
SINGAPURA: Pihak berkuasa menyelamatkan dua ekor Kucing Batu Asia (Asian leopard cat) dari sebuah flat perumahan awam di Singapura dan menghantarnya ke Malaysia, di mana haiwan-haiwan tersebut akan dilepaskan ke habitat asalnya.
Dalam kenyataan bersama pada Jumaat (7 Feb), Lembaga Taman Negara (NParks) dan dua badan lain yang terlibat dalam operasi itu menyatakan operasi mengembalikan haiwan tersebut adalah "kemenangan ke atas pemburuan dan perdagangan haram haiwan liar".
Kucing Batu Asia merupakan spesies sangat terancam dan merupakan jenis kucing liar terakhir Singapura.
Unit siasatan jenayah berhubung haiwan di bawah Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan berkenaan Keprihatinan Haiwan (ACRES) mendapat maklumat pada Julai tahun lalu bahawa dua ekor haiwan tersebut, seekor jantan dan seekor betina, disimpan secara haram dalam sebuah flat HDB, menurut kenyataan bersama itu pada Jumaat.
Setelah mengesahkan maklumat, Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) melakukan siasatan. Fungsi berkaitan haiwan di bawah AVA sudah diambil alih oleh NParks.
Siasatan pihak berkuasa mendapati meskipun spesies tersebut asalnya terdapat di Singapura, haiwan yang ditemui di flat itu adalah bukan dari populasi tempatan dan mungkin diimport secara haram. Pemiliknya didenda S$500 di bawah Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport).
Haiwan-haiwan tersebut dirampas dan dihantar ke Pusat Penjagaan Kesihatan dan Penyelidikan Hidupan Liar (WHRC) kendalian Wildlife Reserves Singapore, di Taman Haiwan. Sepasukan doktor haiwan melakukan pemeriksaan kuarantin menyeluruh, menurut kenyataan oleh NParks, WRS dan ACRES.
Selama tujuh bulan bersama WRS, haiwan-haiwan tersebut diberi makanan semula jadi bagi menyiapkan untuk pelepasan ke habitat liar. WRS juga mengambil langkah untuk menyediakan haiwan-haiwan tersebut dari segi fizikal dan mental untuk kekal di habitat liar.
Ujian baka mendedahkan keturunan haiwan tersebut berasal dari Malaysia, lantas keputusan dibuat untuk melepaskan kedua-dua haiwan itu ke hutan di Malaysia demi pemuliharaan spesies tersebut, menurut kenyataan itu lagi.
Dr Sonja Luz, pengarah bagi khidmat pemuliharaan, penyelidikan dan veterinar di WRS berkata beliau berbesar hati kucing-kucing liar itu dapat kembali ke tempat tinggal asal.
"Mengambil haiwan liar dari sekitaran semula jadi bukan hanya membahayakan haiwan itu malah menyebabkan risiko kepupusan haiwan liar," kata beliau.
WRS meletakkan cip mikro pada kedua-dua Kucing Batu itu dan menyerahkan haiwan-haiwan tersebut ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum dibawa ke Pusat Hidupan Liar Nasional di Perak, Malaysia.
Di sana haiwan-haiwan tersebut akan melalui proses pemulihan lanjut sebelum dilepaskan ke lokasi hutan yang tidak didedahkan. Haiwan-haiwan itu akan dipantau Perhilitan bagi memastikan ia dapat menyesuaikan diri di dalam hutan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.