Skip to main content

Singapura

Dua kapal Malaysia masih berlabuh di perairan S'pura: Vivian Balakrishnan

Dua kapal kerajaan Malaysia masih berlabuh di perairan Singapura dekat Tuas, menurut Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan di Parlimen pada Isnin (1 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Dua kapal Malaysia masih berlabuh di perairan S'pura: Vivian Balakrishnan

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 01 Apr 2019 10:47PM Dikemas Kini : 01 Apr 2019 10:49PM

SINGAPURA: Dua kapal kerajaan Malaysia masih berlabuh di perairan Singapura dekat Tuas, menurut Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan di Parlimen pada Isnin (1 Apr).

Atas sebab itu, syarat-syarat satu persetujuan antara Singapura dengan Malaysia baru-baru ini belum dilaksanakan, tambah beliau.

Sebagai sebahagian daripada usaha mengendurkan ketegangan dalam pertikaian maritim, kedua-dua negara bersetuju untuk sama-sama menggantungkan pelaksanaan had pelabuhan bertindih.

Kedua-dua pihak juga bersetuju tidak melabuhkan sebarang kapal pemerintah dan menggantung sebarang kegiatan komersil di kawasan tersebut.

Langkah-langkah itu dijadualkan berkuatkuasa dalam tempoh sebulan, selewat-lewatnya 14 April.

"Terdapat dua kapal kerajaan Malaysia yang saya percaya masih berlabuh di sana pada masa ini, maka itu syarat-syarat perjanjian tersebut belum lagi dilaksanakan," kata Dr Balakrishnan pada Isnin.

"Kami berharap saranan-saranan akan dilaksanakan secepat mungkin dalam tempoh masa yang dipersetujui. Ini akan meredakan keadaan di kawasan itu dan kedua-dua pihak kemudian boleh memulakan rundingan had perairan."

Dr Balakrishnan berkata demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Ang Wei Neng yang bertanya tentang manfaat perjanjian dengan Malaysia untuk menggantung tuntutan bertindih, dan jika terdapat kapal-kapal asing di perairan Singapura berhampiran Tuas.

Perjanjian tersebut merupakan satu langkah positif dan konkrit ke hadapan bagi kedua-dua negara, kata Dr Balakrishnan.

"Ia mencerminkan komitmen Singapura untuk meleraikan isu-isu dengan Malaysia secara aman, rasional dan damai, sejajar undang-undang antarabangsa dan untuk memperkukuh hubungan dua hala penting ini sambil melindungi kepentingan negara," katanya.

"Ini merupakan satu proses yang memakan masa namun kedua-dua pihak bersetuju untuk berunding atas dasar muhibah, dan jika kita tidak dapat mempersetujui had sempadan secara damai, kita mungkin akan sama-sama bersetuju merujuk hal ini kepada prosedur penyelesaian pertikaian pihak ketiga antarabangsa yang dipersetujui kedua-dua pihak."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita