Dua individu bangkit daripada cabaran hidup demi segulung ijazah
Pada waktu beliau baru sahaja memulakan pengajiannya dalam program sarjana eksekutif pentadbiran perniagaan (MBA) pada Januari 2022, Encik Muhammad Ridwan Mustafa, 46 tahun digemparkan dengan berita mengejut.
SINGAPURA: Pada waktu beliau baru sahaja memulakan pengajiannya dalam program sarjana eksekutif pentadbiran perniagaan (MBA) pada Januari 2022, Encik Muhammad Ridwan Mustafa, 46 tahun digemparkan dengan berita mengejut.
Bapanya didiagnos dengan penyakit strok mata, hernia dan barah kolon, semuanya terjadi dalam tahun yang sama.
Meskipun mempunyai 11 orang adik-beradik, Encik Ridwan mengambil keputusan untuk menjaga dan menguruskan segala janji temu doktor untuk bapanya.
Ini juga kerana beliau antara anak yang paling rapat dengan ayahnya.
"Mereka (adik-beradik lain) pun ada bantu tapi masing-masing ada masalah sendiri. Jadi ini sakit yang kritikal jadi kita nak seseorang yang paling rapat. Jadi apabila dia (bapa) rasa terbuka, dia ingin berkongsi," tambahnya.
PERNAH ULANG KAJI, BELAJAR DI HOSPITAL SEMATA-MATA UNTUK MENJAGA AYAH
Namun, itu bukan alasan baginya untuk mengabaikan pengajiannya.
Bagi memastikan beliau masih dapat mengimbangi kedua-dua pelajaran dan tugas menjaga bapanya, Encik Ridwan perlu melakukan pelbagai pengorbanan.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Kadang-kadang pada hujung minggu, saya belajar di hospital. Jadi isteri saya nanti bawa barang-barang sekolah, buku sekolah, komputer riba. Jadi saya akan di sana untuk membuat laporan atau kajian, semua dekat hospital.
"Saya tidak mahu menunjukkan kepadanya (ayah) yang dia satu beban. Dia dalam situasi ini, dia menghadapi bebannya sendiri jadi kalau saya berputus asa, ia akan mempunyai impak kepadanya jadi itulah sebab mengapa saya teruskan," kata Encik Ridwan.
Mujur isterinya amat memahami keadaannya dan menjadi antara orang kuat yang sentiasa memberinya dorongan.
"Isteri saya adalah kunci dan sumber kekuatan saya sepanjang waktu ini. Dia memastikan semua perkara diuruskan supaya saya dapat memberi tumpuan saya kepada pelajaran saya, pemulihan ayah saya, dan kerja saya. Isteri saya telah banyak berkorban," tambahnya.
MAHU JADI CONTOH UNTUK ANAK-ANAK
Walaupun sudah berkeluarga dan memegang jawatan sebagai ketua sumber manusia (HR), beliau terdorong untuk kembali ke sekolah kerana mahu mengejar impian sejak menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) lagi.
Sebagai seorang ayah, beliau juga mahu menjadi sumber inspirasi buat dua orang puteranya.
"Motivasi saya adalah untuk menunjukkan anak-anak saya bahawa umur tidak pernah menjadi faktor untuk menetapkan sasaran atau mencapai impian. Bagi saya, kalau ada azam dan ketabahan yang tinggi, ia boleh dicapai. Saya mahu tunjukkan kepada mereka melalui tindakan saya sendiri, bukan sekadar kata-kata saja," kata Encik Ridwan yang kini berusia 46 tahun.
CEKALKAN AZAM UNTUK LANJUTKAN PELAJARAN DEMI MENINGKATKAN MUTU HIDUP KELUARGA
Seorang lagi individu yang berkorban demi segulung ijazah ialah Faisarah Sapuan, 28 tahun.
Apabila bapanya terpaksa menjual rumah mereka, keluarganya seramai empat beranak terpaksa berpindah dari flat empat bilik ke flat sewa satu bilik.
Melihat situasi keluarganya itu, Faisarah menanam azam dan berikan tumpuan kepada pelajaran demi mengejar cita-citanya dalam bidang undang-undang.
"Apabila saya di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), saya mendapati ayah saya tidak mampu membiayai pengajian saya. Jadi ia satu kejutan bagi saya untuk cepat-cepat mendapatkan ijazah yang baik untuk saya, keluarga dan mungkin keluarga saya di masa hadapan," kata Faisarah.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selepas tamat pengajiannya di ITE, Faisarah melanjutkan pelajarannya ke peringkat diploma dan peringkat ijazah dalam bidang Undang-undang Perniagaan dan Kriminologi di Universiti Murdoch.
"Apa yang mendorong saya untuk menyambung pelajaran saya adalah untuk mencari pekerjaan yang lebih baik untuk menyara diri dan keluarga. Untuk saya mendapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik, saya bertekad untuk mencuba dan memperbaiki diri saya sebaik mungkin. Saya buat semua ini sambil bekerja sepenuh masa dan belajar secara sambilan," jelasnya.
Kini, Faisarah sudah berumah tangga dan memiliki mahligai empat biliknya sendiri.
Pengalaman tinggal di rumah sewa tidak pernah beliau kesali malah mematangkan lagi dirinya.
"Walaupun saya pernah tinggal di rumah sewa selama beberapa tahun semasa saya belajar, ini tidak menjejas diri saya. Malah, ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus perbaiki diri saya dan keluarga saya," ujar Faisarah.
350 GRADUAN TEMPATAN DARI UNIVERSITI MURDOCH TAHUN INI
Perjalanan mengejar impian kedua-dua Encik Ridwan dan Faisarah sampai ke kemuncaknya pada Sabtu (1 Apr) lalu apabila masing-masing menjadi antara 2,300 graduan Universiti Murdoch tahun ini.
Encik Ridwan menerima sarjana eksekutif pentadbiran perniagaan manakala Faisarah pula menerima ijazah sarjana muda berganda dalam Undang-undang Perniagaan dan Kriminologi.
Dengan pencapaian tersebut, mereka berharap untuk terus cemerlang dalam kerjaya yang diceburi.
(Gambar: Universiti Murdoch)
"Saya merancang untuk memaksimakan pengetahuan yang telah terkumpul dalam pekerjaan saya, supaya ia selari dengan kebolehan dan matlamat saya. Saya tidak akan berhenti belajar, kerana bagi saya pembelajaran itu adalah proses berterusan dan harian," ujar Encik Ridwan.
Bagi Faisarah pula, "Saya kini dalam proses pendaftaran untuk Doktor Juris dalam Undang-undang. Sementara itu, saya harap dapat terus dibimbing oleh kedua-dua bos saya. Saya juga harap saya dapat membantu menyokong masyarakat sebagai Pemimpin Akar Umbi di kawasan East Canberra."
(Gambar: Universiti Murdoch)
Majlis tamat pengajian tahun ini dianjurkan institusi pengajian Kaplan Singapore yang menyaksikan seramai 350 mahasiswa tempatan menerima ijazah dari Universiti Murdoch.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.