Dua graduan NUS ingin tabur bakti kepada masyarakat, ceburi bidang diminati
BERITA Mediacorp: Semasa menjaga arwah neneknya yang menghidap penyakit barah, tekad Muhammad Luqman Abdul Rahman semakin bulat untuk menjadi seorang jururawat.
Beliau ingin pelajari dengan lebih mendalam mengenai penyakit barah dan cara-cara alternatif untuk bantu melegakan rasa sakit yang ditanggung para pesakit .
Impiannya kini tercapai setelah berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejururawatan dari Universiti Nasional Singapura (NUS) .
Encik Luqman yang kini berusia 24 tahun, menanam hasrat untuk terus memberikan rawatan terbaik kepada para pesakit sebaik mampu.
"Saya sedar bahawa kemahiran dan ilmu dalam bidang perubatan membolehkan saya membantu orang-orang di sekeliling saya. Menjalani kursus kejururawatan membolehkan saya mendalami ilmu tersebut dan mengasah kemahiran saya pada masa yang sama," kongsinya kepada BERITA Mediacorp.
Beliau percaya dengan ilmu yang diraih di NUS, ia adalah asas yang kukuh untuk beliau mendalami bidang perubatan serta memberikan rawatan yang lebih baik kepada para pesakit.
MULAKAN PENGAJIAN SEMASA KEMUNCAK PANDEMIK
Ini kemanisan yang kini beliau rasakan setelah mengharungi cabaran yang dihadapinya sepanjang pengajiannya selama 3 tahun itu.
"Saya mula menuntut di NUS sejurus semasa wabak COVID-19 melanda seluruh dunia. Saya dan teman-teman saya terpaksa beralih ke pembelajaran online dalam tempoh masa yang sangat singkat. Pada masa yang sama, kelas-kelas kami di makmal terpaksa diasingkan dan dikurangkan buat sementara waktu. Hal ini mengurangkan masa latihan kami dan juga untuk berinteraksi antara satu sama lain" kata Encik Luqman.
Di samping itu beliau juga harus bijak membahagikan masa.
"Cabaran terbesar saya sewaktu saya menuntut di NUS semestinya mengimbangi masa di antara sekolah, keluarga dan juga pekerjaan saya. Saya turut bekerja sebagai seorang pegawai barisan hadapan sewaktu saya menuntut di NUS," kongsi Encik Luqman.
Namun semua ini tidak melunturkan semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam pembelajarannya. Selain itu, beliau juga bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan sehingga meraih Piala Goh Eng Yeow bagi pendekatan Masyarakat.
"Saya berjaya memimpin Projek EMPATi. Dalam projek tersebut, saya bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi yang lain untuk bantu membaik pulih keadaan di sepuluh buah rumah berdekatan kawasan TJC (Maktab Rendah Temasek) pada bulan Ramadan," ujar Encik Luqman.
INGIN TINGKATKAN KEMAHIRAN DALAM BIDANG PERUBATAN
Beliau kini berhasrat untuk melanjutkan pengajian untuk mengambil Diploma Pengkhususan di Politeknik Nanyang Politeknik dalam bidang Perubatan Kecemasan.
"Saya akan memulakan pengajian di NYP untuk mendalami lagi ilmu dalam bidang Perubatan Kecemasan sebelum memulakan latihan untuk bertugas sebagai seorang pegawai paramedik pada masa hadapan. Saya harap saya dapat melanjutkan pelajaran saya ke peringkat sarjana agar dapat berbakti kepada masyarakat dengan cara yang lain juga," kongsinya.
Bagi seorang lagi graduan NUS tahun ini, pengalaman membesar dalam keadaan serba sederhana dengan bapanya satu-satunya pencari nafkah dan sentiasa perlu berjimat, mendorong Encik Muhammad Husein Fahmi Mohd Adam untuk mendalami bidang kewangan.
Sejak di bangku sekolah rendah lagi, beliau sudah mula memikir tentang bagaimana untuk menguruskan kewangannya.
"Saya mengambil bidang kewangan kerana ia dapat membawa manfaat kepada kehidupan seharian saya," kata Encik Husein Fahmi.
Kini, beliau boleh mencapai cita-citanya itu setelah meraih ijazah Sarjana dalam bidang Kewangan dari NUS.
Meski berdepan dengan cabaran kewangan untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat universiti, beliau berbesar hati menerima bantuan kewangan daripada Yayasan MENDAKI untuk membiayai yuran pembelajarannya.
"Saya hadapi cabaran kewangan namun saya berterima kasih kepada badan-badan dan pihak-pihak berkanun yang telah membantu saya dengan dana untuk melaksanakan perjalanan pelajaran saya," ujarnya.
Dengan pengalamannya itu, beliau juga mahu menyumbang kembali kepada masyarakat.
Untuk itu, beliau menjalankan sebuah projek dalam usaha untuk mengumpul dana untuk diberikan kepada para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan.
Projek itu berjaya meraih dana sebanyak $525,000.
"Saya menjadi seorang pengarah projek di Sekolah Perniagaan NUS. Daripada projek itu, saya dapat bekerjasama dengan ramai orang dari pelbagai latar belakang. Projek tersebut ingin membantu murid-murid yang juga perlukan dana lebih untuk pelajaran mereka," kongsi Encik Husein.
Beliau kini bertugas sebagai pengurus di Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF Board) dan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dalam masa lima tahun akan datang.
Seramai 7,968 pelajar dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berjaya meraih ijazah Sarjana Muda tahun ini.
Sebanyak 30 Majlis Konvokesyen akan diadakan di Pusat Kebudayaan Universiti NUS hingga 15 Julai 2023.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.