Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua graduan NIE ini ingin terus sumbang kepada sastera Melayu, guna teknologi pancing minat pelajar

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bahasa dan budaya membentuk jati diri seseorang.

Itulah prinsip yang dipegang graduan jurusan Sastera dalam Pengajian Melayu dan Pendidikan dari Institut Pendidikan Kebangsaan Singapura (NTU-NIE), Fadhli Rusydi Fadzil dan mahu diterap dalam diri anak-anak didiknya.

Menurutnya, bahasa dan budaya bukan sekadar untuk dikenali dan difahami tetapi juga untuk dihayati dan dihargai.

"Saya rasa di kelas bahasa Melayu tempat yang saya boleh jadi bebas dan jadi diri sendiri. Menerusi permainan, lakonan, nyanyian dan juga main peran, saya dibentuk menjadi manusia yang yakin dan peka akan siapa diri saya," kongsi Encik Fadhli kepada wartawan Nurfazirah Azman.

Beliau yang kini mengajar di Sekolah Menengah Northbrooks menanam tekad untuk menjadi guru bahasa Melayu yang dapat membina keyakinan para pelajar dan berharap dapat memupuk dalam diri mereka rasa cinta kepada bahasa ibunda.

SUMBANG KEPADA BIDANG KESUSASTERAAN MELAYU SG

Selain mengajar, beliau juga giat menyumbang kepada bidang kesusasteraan Melayu Singapura.

Antara karya terbitan beliau sejauh ini adalah "Di Sebalik Jendela" dan "Kulihat Layu dalam Melayu".

"Saya rasa saya sangat bertuah kerana bidang yang saya ceburi ini membenarkan saya untuk membuat semua dalam satu masa. Contohnya, dalam modul-modul sastera dan bahasa, saya berpeluang untuk berkreatif.

"Itulah peluang yang saya gunakan untuk menulis puisi, sajak dan cerpen untuk mendokumentasikan pengalaman saya sebagai seorang pelajar dan juga kini sebagai seorang guru," tambah beliau.

Encik Fadhli juga dinobatkan juara dalam Peraduan Puisi Kebangsaan pada 2023 dan meraih tempat pertama dalam sayembara Anugerah Pena Emas dalam kategori cerpen.

Dengan tujuan untuk menyemai rasa cinta kepada bahasa dan menggalak penggunaan bahasa dalam kalangan belia, khususnya mereka yang sudah tamat pengajian, Encik Fadhil menghasilkan kandungan pembelajaran di media sosial.

"Selepas sekolah menengah dan juga maktab rendah, kurang pendedahan untuk mereka kepada bahasa Melayu. Oleh itu, di ruang inilah saya gunakan untuk menarik minat mereka untuk terus menggunakan bahasa Melayu. Maka itu saya peka terhadap apa yang mereka sukar dan senangi.

"Contohnya, bahasa yang saya gunakan tidak begitu 'formal' dan juga diselang-selikan dengan bahasa 'slanga' supaya mereka lebih selesa dengan bahasa dan kandungan yang disajikan," kongsi Encik Fadhli.

Namun, beliau akur bahawa cabaran terbesar baginya adalah untuk membina keyakinan diri sebagai seorang pendidik sepanjang proses pengajian di NTU-NIE.

"Saya terdedah kepada pelbagai profil yang rencam. Ada profil yang cekap, ada profil yang memerlukan lebih bimbingan.

"Oleh itu, saya perlu tahu bagaimana untuk menyesuaikan apa yang saya ingin ajar, mengikut tahap kemampuan mereka dan walaupun mencabar sebenarnya, ketika saya melihat perkembangan positif mereka, itu memberikan saya sedikit keyakinan bahawa apa yang saya buat itu berkesan dan efektif," kata Encik Fadhli.

INGIN TEROKA PENGGUNAAN AI, CHATGPT DALAM PEMBELAJARAN

Dalam pada itu, Encik Fadhli turut berkongsi bahawa beliau ingin meneroka pendekatan yang berbeza dalam pembelajarannya.

"Sebagai seorang guru bahasa Melayu yang baharu, pastinya saya ingin cuba pelbagai pendekatan yang baharu. Contohnya, dengan menggunakan AI dan juga seperti ChatGPT. Itu penting dan itu sangat penting untuk membuat bahasa Melayu lebih seronok bagi pelajar dan juga lebih relevan," ujar Encik Fadhli.

Bagaimanapun beliau masih menitikberatkan pendekatan dan pembelajaran secara tradisional.

"Saya juga rasa penting bagi guru bahasa Melayu yang baharu untuk juga cekap dengan cara-cara yang tradisional. Contohnya, dengan menggunakan bahan bahan yang autentik seperti buku masak, surat khabar dan sebagainya untuk pelajar melihat cara penggunaan bahasa itu dalam pelbagai bentuk, bukan hanya dalam cara teknologi seperti di Instagram dan sebagainya," kata Encik Fadhli.

Beliau antara 11,000 pelajar yang diraikan dan terima ijazah mereka dalam majlis Konvokesyen NTU 2024 yang berlangsung hingga 2 Ogos ini.

"SASTERA MELAYU ADA POTENSI UNTUK DIKEMBANGKAN DI SG" - KHAIROOL HAQUE

Seorang lagi pelajar cemerlang yang meraih ijazah dalam kursus yang sama ialah Muhammad Khairool Haque Abdul Kadir.

Didorong oleh minatnya dalam bidang sastera Melayu, Encik Khairool melanjutkan pembelajarannya ke NTU-NIE selepas meraih sijil Diploma dalam bidang Pendidikan.

Berkat kegigihannya, beliau meraih markah cemerlang buat praktikum dan penghargaan Dekan bagi Penyelidikan Pendidikan Sarjana Muda buat kertas penyelidikannya.

Sebelum ini Encik Khairool juga pernah meraih Hadiah Buku Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura.
"Bagi saya, setiap daripada apa yang diterima dari sudut anugerah semuanya merupakan sesuatu yang penting dan sesuatu yang bermakna bagi diri saya dan setiap daripada anugerah itu merupakan sebahagian daripada perjalanan yang lebih besar dan lebih tinggi yang saya sangat syukuri," kata Encik Khairool.

Sejak berumur 17 tahun, Encik Khairool sudah menerima pelbagai anugerah kesusasteraan termasuk Hadiah Pena Emas, Hadiah Penulis Muda ASEAN dan baru-baru ini dianugerahkan Anugerah Harapan.

Menurutnya, sastera adalah satu wadah baginya untuk mencurahkan pemikirannya dan cara beliau berkomunikasi.

"Bagi saya, sastera Melayu Singapura mempunyai potensi untuk kita kembangkan, untuk kita ada bakat-bakat yang boleh kita gilap, boleh dibimbing supaya dapat mudah-mudahan nanti menyumbang kepada sastera Nusantara dan seterusnya sastera dunia.

"Sastera itu penting untuk dilestarikan kerana sastera ini menjadikan bahasa itu mempunyai pemikiran, mempunyai wacana, mempunyai ideologi, mempunyai perkara-perkara yang lebih halus yang kalau tanpa perkara tersebut bahasa kita akan menjadi kaku," kata Encik Khairool.

Semasa pengajiannya di NIE, beliau hadapi pelbagai cabaran. Antaranya membahagikan masa antara sekolah, penulisan, menghadiri acara sastera dan keluarganya.

Namun menurutnya ia tidak pernah menghambat prestasinya.

"Itu semua bagi saya bukan sesuatu yang menghambat bahkan menjadi pemangkin untuk saya lebih mengatur masa, berusaha gigih mengorbankan waktu, tidur dan sebagainya. Bagi saya, itu macam tidak ada apa-apa berbanding dengan apa yang diterima dari sudut ilmu dan sebagainya," kongsi Encik Khairool.

Beliau berhasrat untuk memberikan yang terbaik sebagai seorang guru dan terus menyumbang kepada landskap atau arena kesusasteraan Melayu di Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan