Dua buku kanak-kanak dilancar, galak minat baca dalam Bahasa Ibunda
SINGAPURA: Kesukaran mencari buku kanak-kanak dalam Bahasa Melayu yang bermutu tinggi mendorong Cik Nur Fathin Awalludin, 28 tahun, untuk menghasilkan buku kanak-kanaknya sendiri.
Idea menulis buku yang berjudul 'Poskad Dari Turki' itu juga tercetus sewaktu beliau menjaga anak pertamanya semasa cuti bersalin.
Buku sulungnya itu dilancarkan pada Sabtu (24 Jun) di Perpustakaan Daerah Punggol.
"Bila saya mencari bahan-bahan bacaan, dalam bahasa Melayu untuk anak saya, saya mendapati tidak banyak bahan bacaan dalam Bahasa Ibunda kita yang bermutu tinggi," kongsi Cik Fathin kepada BERITAmediacorp.
"Adalah beberapa yang berkualiti tetapi tidak banyak. Tidak sebanyak bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris. Jadi saya memutuskan kalau tidak dapat mencari, mengapa tidak saya menulis sendiri dan menghasilkan sendiri buku ini," tambah beliau.
Menikmati keindahan Cappadocia di Turki, yang diwarnai dengan belon-belon udara panas, popular dengan pelancong dalam bentuk poskad, serta jalan cerita yang menarik.
Ini antaranya, menanti para pembaca cilik dalam 'Poskad Dari Turki'.
DAPAT ILHAM MENONTON DRAMA TURKI SEMASA CUTI BERSALIN
Menurut Cik Fathin, beliau mendapat ilham menulis buku itu apabila melayari drama-drama Turki semasa cuti bersalin.
Beliau juga membuat kajian tentang bandar-bandar di negara itu.
"Semasa menulis buku ini, saya pun banyak membuat kajian dan banyak membaca tentang bandar-bandar di Turki. Saya juga menonton video, sekarang banyak video di YouTube dan di saluran-saluran pelancongan tentang Turki," kata Cik Fathin.
"Jadi dari situ, saya dapat memahami keindahan dan keunikan bandar-bandar tertentu," tambahnya.
Ini membuatnya lebih tertarik kepada Turki dan ingin berkongsi keindahan bandar-bandarnya menerusi watak 'Ilhan', seorang kanak-kanak yang menerima poskad-poskad dari sahabatnya di Turki.
"Saya harap anak-anak yang membaca buku ini, dan mungkin orang dewasa, ibu atau ayah yang membacakan kepada anak-anak mereka, mendapat ilmu atau pengetahuan baru tentang Turki, yang sebelum ini mereka tidak pernah ketahui tentang bandar-bandar yang istimewa dan menarik di sana," ujar Cik Fathin.
HASIL JUALAN DIDERMAKAN KEPADA MANGSA GEMPA BUMI TURKI
'Poskad Dari Turki' terbitan Iqrak itu berharga S$15, dan untuk setiap buku yang dijual bagi 200 naskah pertama, S$5 akan didermakan untuk membantu mangsa gempa bumi Turki.
Buku itu turut didedikasikan khas buat anaknya, Ashryn Muhammad Rashdan, yang kini berusia sembilan bulan.
Orang ramai boleh membelinya menerusi akaun Instagram @pinthestory .
BUKU DWIBAHASA 'MEMERANG DI KOTA' DILANCARKAN; GUNA KAEDAH SEPERTI AR
Menariknya, ia menerapkan pelbagai elemen interaktif termasuk kaedah baru seperti Realiti Terimbuh (AR), animasi serta lagu tema.
Berjudul 'Memerang Di Kota', ia sebahagian daripada Siri Biodiversiti Ungu Pen, yang dihasilkan oleh sepasang adik-beradik Rhaimie Wahap dan Rizal Wahap, menyusuli kejayaan buku bergambar pertama mereka yang dilancarkan pada 2021 berjudul 'Pengembaraan Tim'.
"Sebenarnya saya mendapat ilham apabila saya dapat melihat memerang secara liar dan kemudian tercetusnya idea untuk menulis buku mengenai memerang dan kebelakangan ini, ada tanggapan yang memerang sangat ganas tetapi dengan buku ini, saya harap ia dapat menukar tanggapan tentang haiwan ini," ujar penulis buku itu, Encik Rhaimie.
Seperti buku pertama, si pembaca boleh menggunakan aplikasi 'Artivive' pada telefon bijak mereka untuk melihat watak-watak dalam buku itu "hidup semula".
Namun, apa yang membezakan buku kedua itu berbanding yang pertama ialah ia mengandungi lebih banyak maklumat, menurut penulis.
"Kali ini, ia memaparkan kesemua tempat-tempat di Singapura termasuk tumbuh-tumbuhan dan untuk AR, ia mempunyai lebih banyak informasi daripada 'Pengembaraan Tim', buku sebelumnya," menurut Encik Rhaimie.
PENERIMAAN BUKU PERTAMA MENGGALAKKAN
Dalam pada itu, Pengasas Bersama Ungu Pen, Cik Maria Mahat turut berkongsi bahawa penerimaan buku pertama bagi siri biodiversiti itu "amat menggalakkan".
"Kami mendapat maklum balas yang amat positif dari kalangan ibu bapa dan juga pendidik di mana mereka dapat menarik minat pembaca yang asalnya tak minat untuk membaca buku sebegini jadi itu antara penerimaan yang amat positif bagi kami," kongsi Cik Maria.
Mendapati masih ada lagi jurang yang "amat ketara" dalam kandungan dan penerbitan buku biodiversiti, ia menjadi antara dorongan untuk Ungu Pen terus menghasilkan siri biodiversiti itu.
"Kandungan mengenai biodiversiti memang amat luas dan kami rasakan ada jurang yang amat ketara dalam penerbitan buku, dan juga kandungan dalam isu-isu tentang pelestarian dan juga kemampanan alam semula jadi," ujar Cik Maria.
"Kami rasa kami harus memperkenalkan haiwan dan juga flora dan fauna ini kepada pembaca cilik kami. Kandungan seperti ini amat dialu-alukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu United Nations kerana mereka mempunyai matlamat Pembangunan Pelestarian Alam dan Dunia jadi kami harap kami dapat memenuhi 17 objektif tersebut," tambahnya.
Turut hadir sebagai tetamu kehormat untuk acara pelancaran buku itu ialah Dr Hadijah Rahmat, tokoh pendidik dan pengkaji bahasa dan budaya Melayu.
Beliau memuji buku-buku dalam Siri Biodiversiti itu sebagai "menarik dan bernilai", lebih-lebih lagi kerana memilih latar belakang kota Singapura untuk mengetengahkan unsur-unsur alam.
"Ini adalah buku yang ditulis dalam dwibahasa Melayu dan Inggeris. Jadi kita tahu latar belakang masyarakat kita sekarang lebih banyak menggunakan Bahasa Inggeris di rumah. Jadi kehadiran versi dwibahasa ini memudahan kanak-kanak yang datang dari keluarga (berbahasa) Inggeris, belajar Bahasa Melayu juga. Jadi itu membantu pembelajaran dan pengajaran Bahasa Melayu untuk kanak-kanak di Singapura," tambah beliau.
'Memerang Di Kota' dijual pada harga S$19.90 dan boleh didapatkan di laman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.